Merayakan Deepavali dengan acara kesenian

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, perayaan Deepavali memang tidak asing dengan aku sebab masa kecik-kecik dulu berjiran dengan keluarga India. Setiap kali perayaan pasti dapat merasa makan maruku dan berbagai manisan. Semasa belajar di Universiti rakan sekelas yang rapat pun India, jadi budaya India tidak terlalu asing. Kan kita 1Malaysia.

Perayaan Deepavali tidak kurang meriahnya seperti perayaan Aidil Fitri dan Tahun Baru Cina. Kalau orang Melayu menyambut Aidil Fitri sibuk dengan pelita yang dipasang sekeliling rumah, masyarakat Cina dengan tanglungnya dan masyarakat India pula dengan Kolam yang diukir indah di depan rumah.

Paling best menonton video perayaan PETRONAS yang ditunggu setiap kali perayaan oleh rakyat Malaysia. Terbaru PETRONAS menerbitkan Our Deepavali sebagai Webfilm untuk perayaan Deepavali 2013. Jom kita sama-sama saksikan video tersebut di halaman YouTube PETRONAS.

Memang nostalgia betul bila mendapat jemputan dari PETRONAS melihat persediaan menyambut perayaan Deepavali dan cara untuk membuat seni India iaitu Kolam. Kolam merupakan hiasan yang diletakkan di atas lantai di hadapan rumah. Kebiasaannya sehari sebelum hari sambutan, ahli keluarga akan menyediakan bahan-bahan seperti beras berwarna-warni yang akan digunakan untuk membuat Kolam tersebut.

Kolam seni yang indah ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu versi tradisional yang menggunakan beras putih semata-mata dan juga versi ranggoli yang menggunakan pelbagai bahan seperti kekacang, beras, dan banyak lagi. Semua bahan-bahan ini perlulah boleh dimakan oleh serangga seperti semut. Tujuan asal Kolam ini dibina adalah untuk memberi derma dalam bentuk makanan bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada serangga-serangga atau haiwan sekitar. Ini ilmu baru yang diperolehi setelah dijemput oleh PETRONAS, selama ini tak pernah tahu pun yang Kolam ini tujuannya untuk memberi derma makanan kepada serangga dan haiwan sekitar ingatkan hanya untuk hiasan bagi memeriahkan perayaan Deepavali.

Beras atau bahan-bahan yang selamat dimakan digunakan untuk membuat hiasan Kolam ranggoli

Proses penyediaan Kolam ini dimulakan dengan membuat lakaran di atas lantai mengikut rekaan yang telah dirancang dengan lebih awal. Kemudian setiap bentuk lakaran akan disusun dengan beras atau bahan-bahan berwarna yang telah disediakan lebih awal. Proses ini kebiasaannya dilakukan bersama-sama ahli keluarga termasuk kanak-kanak kecil yang pastinya berminat dengan pelbagai warna yang tersedia. Ia umpama pertandingan mewarna yang biasa dilakukan menggunakan kertas dan pensil warna, tetapi ini menggunakan beras dan bahan-bahan berwarna.

Kolam ini biasanya akan dibiarkan sepanjang tempoh perayaan diraikan. Ia merupakan sejenis seni hiasan India yang telah wujud sejak sekian lama. Sehingga hari ini, Kolam ini telah menjadi bukan sekadar perhiasan india tetapi ianya juga telah menjadi hiasan untuk acara keraian yang lain.

Beras sedang disusun dan dikemaskan untuk hiasan Kolam ranggoli

Tahukan anda sudah menjadi tradisi turun temurun di mana pada pagi Deepavali sebelum terbit matahari, mandian minyak akan disediakan untuk seluruh ahli keluarga mereka. Mandian minyak ini menggunakan minyak linseed. Tujuan ianya dibuat adalah untuk tujuan kesihatan di mana semasa minyak ini disapu, urutan pada anggota badan akan membantu mengurangkan suhu badan. Selain itu, sentuhan antara ibu bapa dan anak-anak akan mengeratkan perhubungan kekeluargaan antara mereka. Kebiasannya mandian minyak ini diadakan setiap bulan, namun disebabkan budaya sudah berubah, aktiviti ini hanya dilakukan setahun sekali pada hari Deepavali.

Pelbagai rempah ratus seringkali digunakan dalam hidangan Deepavali

Ketupat dan rendang akan dihidangkan untuk Aidil Fitri berbeza pula untuk kaum India pada perayaan Deepavali hanya makanan vegetarian atau makanan berasaskan tumbuhan yang akan dihidangkan. Pasti ramai yang tahu tradisi makanan vegetarian ini. Proses penyediaan makanan untuk jamuan meraikan perayaan Deepavali ini melibatkan banyak rempah ratus yang biasanya disediakan khusus untuk perayaan ini. Kuih-muih atau biskut manis juga disediakan sebagai lambang kehidupan yang bagus dan baik semasa perayaan ini. Kemanisan yang berkait rapat dengan kehidupan yang bahagia.

Peluang untuk menyaksikan persediaan seperti bagaimana untuk membina Kolam Ranggoli dan sebagainya untuk perayaan Deepavali ini memang sesuatu yang menarik. Semasa sekolah rendah sempat berjiran dengan keluarga hindu yang memang baik orangnya. Antara budaya yang dipelajari adalah sekiranya mereka memberikan kuih-muih atau buah-buahan. Sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa untuk memberi balasan, kita perlu sekurang-kurangnya mengisi gula di dalam bekas tersebut. Ini sebagai lambang untuk menjayakan perhubungan yang baik antara satu sama lain.

Terima kasih kepada PETRONAS yang sudi menjemput kami.

Jangan lupa tengok hasil penggambaran ini di Channel Youtube Rasmi Petronas


Spread the love

67 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!