Sejarah Kalendar Tahun Hijrah?

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Setiap kali tibanya 1 Muharram yakni tahun baru Hijrah. Pasti akan ada peringatan untuk melakukan doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah.

Orang ramai diminta untuk beramai-ramai meluangkan masa hadir membaca doa akhir tahun secara berjemaah selepas asar dan juga turut membaca doa awal tahun selepas maghrib.

Persoalannya, dari mana asalnya amalan ini?

Jangan salah faham, berdoa adalah digalakkan bahkan amalan berdoa memang amalan yang sangat baik. Kita boleh sahaja berdoa di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Cuma persoalan di sini timbul apabila adanya acara Khusus Doa Akhir dan Awal tahun Hijrah dan dinisbahkan sebagai amalan keagamaan. Adakah ia berasal dari Nabi Muhammad S.A.W?

Sebab harus diingat, tidak dikenal istilah “Tahun Hijrah” semasa hayat Nabi Muhammad S.A.W hatta termasuklah ketika zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq R.A.

Orang Arab Jahiliyyah termasuklah di awal Islam hingga ke Zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq R.A, mereka tiada kalendar tahunan. Mereka mengira berdasarkan peristiwa besar yang berlaku.

Contohnya apabila ditanya bilakah Nabi Muhammad S.A.W lahir? Rata-rata kita akan kata tahun Nabi dilahirkan adalah pada Tahun Gajah.

Ini berdasarkan peristiwa ketika Nabi S.A.W dilahirkan adalah pada tahun di mana tentera bergajah Abrahah datang menyerang Mekah.

Manakala tarikh-tarikh yang menyatakan bila Nabi Muhammad S.A.W lahir, seperti pada 12 RabiulAwal, 20 April adalah perkiraan oleh Ilmuan/Ahli Sirah terkemudian.

Bahkan masih juga terdapat perselisihan di kalangan Ahli Sirah bilakah tarikh sebenar Nabi S.A.W dilahirkan. Sebab ada juga yang menyatakan Nabi S.A.W dilahirkan pada 9 Rabiul Awwal tahun pertama peristiwa bergajah bersamaan 570/571 (M).

Namun umum mengetahui Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan pada hari Isnin. Itu pun disebabkan Nabi sendiri mengatakannya:

Hari Isnin itu ialah hari aku dilahirkan…

Akhirnya ia menjadi sunnah kepada umat Nabi Muhammad S.A.W untuk berpuasa sunat pada hari Isnin.

Bukan itu sahaja, berapakah umur Saidatina Khadijah R.A dan umur Saidatina A’isyah R.A ketika berkahwin dengan Nabi S.A.W pun turut diperselisihkan oleh Ahli Sirah.

Ada yang menyatakan Saidatina Khadijah R.A berkahwin dengan Nabi ketika berumur 40 tahun bahkan ada yang menyatakan ketika berumur 28 tahun.

Manakala Saidatina A’isyah R.A pula, ada yang menyatakan umurnya semasa usia kanak-kanak (6 atau 7 tahun) bahkan ada yang menyatakan juga Saidatina A’isyah R.A berkahwin dengan Nabi Muhammad S.A.W semasa usianya remaja (19 tahun).

Mengapa ini berlaku?

Ini terjadi, disebabkan sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada ketika itu tidak mencatatkan apa-apa tarikh, seperti tarikh kelahiran, peristiwa dan seumpamanya kerana majoriti orang Arab pada zaman tersebut tidak tahu menulis dan membaca.

Sebab itu masyhur dinyatakan bahawa orang Arab pada zaman Jahiliyyah adalah golongan ummi yakni buta huruf dan juga merupakan golongan penghafal atau mempunyai ingatan yang kuat.

Oleh itu adalah perkara yang pelik juga bila ada masyarakat pada zaman sekarang menyambut Maulidur Rasul (contohnya).

Sebab apa?

Kerana bukan sahaja setakat tidak pernah berlaku pada zaman sahabat dan tabien, bahkan bukan kebiasaan orang Arab ketika itu menyambut hari lahir.

Berbalik kepada Tahun Hijrah. Kalendar Tahun Hijrah muncul buat pertama kalinya adalah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A.

Ini berlaku tatkala terjadinya perluasan Empayar Islam hingga ke kawasan bukan orang Arab. Lebih-lebih lagi orang-orang bukan Arab ini seperti Rom dan Parsi memang sudah ada kalendar tahunan mereka sendiri.

Terdapat juga masalah lain yang timbul seperti apabila satu surat perjanjian hendak ditulis atau seumpamanya.

Contohnya. Ketika hendak tulis tahun, tahun apa atau tahun bila? Bila ingin menyatakan bulan Syaaban, bulan Syaaban bila? Syaaban akan datang atau 2 kali Syaaban (2 tahun lagi). Banyak kes-kes terjadi pada ketika itu seperti orang yang tidak berpegang pada janji.

Oleh itu, bagi memudahkan urusan pentadbiran, maka Tahun Hijrah diperkenalkan oleh Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab R.A setelah beliau bermesyuarat dengan para sahabat.

Semasa mesyuarat berlangsung, antara cadangan tarikh peristiwa yang dicadangkan untuk dijadikan kalendar tahunan adalah seperti tahun Nabi S.A.W dilahirkan, namun ditolak kerana tak mahu menyerupai seperti kalendar Orang Nasrani yang mengira kalendar tahunan mengikut Nabi Isa A.S dilahirkan.

Bahkan ada juga yang mencadangkan tahun Saidatina Khadijah R.A dan bapa saudara Nabi, Abu Talib meninggal dunia, tapi ditolak sebab pada tahun tersebut turut dikenali sebagai tahun kesedihan.

Akhirnya tahun hijrahnya Nabi ke Yathrib/Madinah yang diambil dan dijadikan Kalendar Tahunan.

Namun tiada pula doa Awal tahun dan akhir tahun dibaca pada tahun-tahun berikutnya bagi menandakan permulaan dan pengakhiran tahun.

Kesimpulannya. Kalendar Tahun Hijrah hanya diperkenalkan untuk memudahkan urusan surat menyurat, perjanjian dan pentadbiran kerajaan, itu sahaja.

Harus diingat juga, Hijrah Nabi ke Yathrib (Madinah) pun bukannya berlaku pada bulan Muharam, tetapi pada bulan Safar. Bahkan Nabi Muhammad S.A.W tiba di Madinah pula pada bulan Rabiul Awwal.

Demikian sejarah bagaimana bermulanya Kalendar Tahun Hijrah. Semoga dengan ilmu ini, kita akan lebih memahami sejarah Islam sendiri.

Sumber: Tzkrh.com


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!