Rahsia kerap balik ke kampung

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sebuah kisah untuk renungan kita bersama.

Semasa membeli kuih untuk menyorok (bahasa Kedah untuk sarapan), saya terlihat seorang anak jiran saya yang tinggal di Seremban manakala orang tua masih di kampung.

Saya menegurnya, “Kerap balik kampung, tak menunggu raya atau cuti sekolah?”

Dia berkata, “Cikgu, walau seribu rakaat solat sunat saya kerjakan, walau beribu sedekah jariah saya berikan, walau seribu kebaikan saya tunaikan ketika saya berjauhan dari orang tua saya, tidak akan sama dengan satu kunjungan melihat emak ayah saya yg telah tua, tak akan sama dengan senyuman mereka berdua bila melihat saya melangkah ke pintu rumah, tak akan sama dengan renungan puas emak saya melihat saya menyuap nasi berlauk asam pedas, gulai batang pisang yang dimasaknya.

Kepenatan, keletihan meredah hujan dan panas dalam perjalanan yang jauh, ratusan ringgit terkorban untuk petrol dan tol adalah pengorbanan yang tak ternilai pada sisi Allah hanya kerana untuk menggembirakan mereka berdua.

Itu saya rasa lebih baik dari berehat di rumah di depan TV, memenuhi hobi dan sukan atau melangut di kompleks perniagaan di hujung minggu.

SubhanALLAH…

Jawapannya bagai satu tazkirah yang cukup bermakna untuk menjelaskan betapa besarnya ganjaran bagi pengorbanan seorang anak, bahkan ia melebihi jihad.

Pada anda yang berjauhan dengan ibu bapa, ambillah iktibar dari hal ini. Jangan berkira wang ringgit, penat lelah untuk balik berziarah ibu bapa.

Jangan tunggu raya, jangan tunggu cuti sekolah tetapi carilah ruang sekerap mungkin. Jika tidak pun, buatlah panggilan untuk bercakap sepatah dua sebaik ada kesempatan.

Lebihkanlah memberi keutamaan untuk berziarah ibu bapa dari ziarah yang lain. Bagi anak yang tinggal dekat pun, kunjungilah ibu bapa seketika.

Emak saya dahulu yang tinggal berdekatan dengan rumah saya, akan bertanya jika satu hari saya tidak mengunjunginya.

Maka setiap hari saya In Shaa ALLAH, akan ke rumahnya, walau sekadar berpusing motor di laman rumahnya dan dia mendengar bunyi motor saya, cukuplah.

Hanya orang yang telah tua akan merasai betapa mereka merindui anak-anak yang tidak terzahir dengan cara memeluk cium seperti zaman mereka kanak-kanak, tetapi memadailah dgn mengisi pandangan di mata tuanya.

Saya bentangkan kepada anda untuk memikirkan dan mungkin anda boleh menyelami lebih jauh dengan membaca nukilan saya. Pada yang masih ada ayah bonda, ziarahlah mereka sekerap kesempatan yang ada sementara kamu boleh melihat mereka.

Kepada ibu bapa kita yang telah pergi meninggalkan kita untuk selamanya, maka basahkan lidah mu dengan Zikrullah dan niat hadiahkan kepada mereka.

Semoga bermanfaat.

kredit: Masjid Ar Rahman


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!