Pengalaman menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan dan berhari raya di tanah suci

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

2 tahun lepas, kami sekeluarga dengan izin Allah, diberi peluang menunaikan umrah pada bulan puasa. Yang seronoknya, kami dapat tunaikan pada 10 hari terakhir Ramadan.

Suasana di sana, masyaAllah luar biasa. Lain daripada yang lain. Sesungguhnya jemaah yang datang untuk tunaikan solat di Masjid Haram, pada 10 malam terakhir lebih ramai berbanding jemaah pada waktu haji.

Cuaca panas seperti biasa, itu yang membuatkan lebih kering tekak dan cepat lapar. Demi untuk beribadah, ku gagahkan juga. Ulang alik daripada hotel ke masjid untuk tunaikan fardhu 5 waktu.

Mencari peluang berbuka di dalam Masjid al-Haram

Suatu hari, ayah aku berpesan, “cubalah cari peluang untuk rasa berbuka di dalam Masjid”

Maka, aku mencari hari yang sesuai untuk berbuka di dalam masjid.

Kalau nak berbuka di dalam masjid, sebelum asar kau dah kena pergi dan duduk iktikaf dalam masjid sampailah waktu berbuka. Kalau tidak, kau berbuka dekat dataran luar tu je lah. Haha

Rezeki aku pada hari itu, dapatlah berbuka di dalam masjid. Ya Allah, ketika duduk di dalam, luar biasa ramainya. Waktu itu, ramai orang membaca al-Quran, berzikir, berusrah dll sebelum waktu berbuka.

Sebelum 30 minit nak berbuka, semua dah membuat persiapan. Kami duduk menghadap antara satu sama lain, di tengah-tengah kami, terbentang saprah memanjang sehingga hujung.

Kemudian diletakkan kurma, roti dan air zamzam. Ada juga bawa makanan dan minuman siap-siap sebelum masuk ke masjid.

Ada wakil-wakil yang menyediakan semua itu. Sungguh terharu melihat mereka yang hidangkan makanan untuk kami. Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka.

30 minit berlalu, azan mula berkumandang. Jemaah di dalam masjid membaca doa dan mula menjamah makanan yang ada di hadapan mereka. Seronok betul.

Berbuka sambil mendengar laungan merdu azan. Tak dapat nak bayangkan suasana ketika itu, sangat terharu. Selesai berbuka, kami pun solat maghrib dan selesai maghrib, barulah kami sambung semula makan yang berat.

Hari silih berganti pada 10 hari terkahir bulan Ramadan di bumi Mekah. Yang wajib, perlu dilaksanakan iaitu menunaikan solat fardhu 5 waktu di Masjid Haram.

Walaubagaimana pun, kenangan berbuka puasa di dalam Masjid bersama jemaah yang lain dan sangatlah ramai tak boleh nak dilupakan dan ianya sangat indah.

Solat Tarawih panjang di Masjid al-Haram

Seperti biasa, solat tarawih yang sunat juga tidak boleh ditinggalkan. Pahala dan ganjarannya sangatlah besar lebih lebih lagi ianya ditunaikan di salah satu Masjid yang diberi ganjaran berlipat kali ganda.

Di sana, bukan 8 rakaat tetapi dibuat sebanyak 20 rakaat dan 3 rakaat witir. Bayangkanlah Imam suara merdu yang mendayu-dayu dan membaca 1 rakaat 1 muka ayat al-Quran. Tak ke goyang lutut aku waktu itu. Haha

Tapi itu bukan cabaran yang sebenar. Aku masih mampu lagi untuk bertahan sampai ke perjuangan rakaat yang terahkir.

Dan kalau nak difikirkan balik, Ya Allah, beruntung sungguh mereka yang hari-hari boleh pergi ke sini dan dapat tunaikan solat berjemaah. Sangat kuat mereka.

Alhamdulillah, hari-hari dapatlah aku tunaikan solat tarawih di Masjid Haram sehingga hari terakhir Ramadan. Syukur ya amat.

Pada hari terkahir itu dan pada rakaat terkahir, imam selepas ruku’, ketika i’tidal, mulalah diangkat tangannya untuk berdoa kepada Allah taala.

Mula sahaja doanya, MasyaAllah, sangat sangatlah khusyuk dan bersungguh-sungguh ketika meminta. Ketika itu, ada juga suara tangisannya.

Aku cubalah untuk memahami, tapi payah sungguh. Mungkin arab yang aku faham lain sikit. Haha. Tetapi air mata aku turut terjatuh membasahi bumi sewaktu imam membaca doa.

45 minit sudah berlalu, Imam dan makmum tetap khusyuk menadah tangan. Aku yang berdiri ketika itu dah mula ketar kaki. Dalam hati aku, “bilalah imam ni nak sujud ya”. Lama sungguh doanya.

Demi kesungguhan dan waktu yang bukan selalunya dapat, aku tetap gagahkan untuk berdiri walaupun dah mula tak tahan. Sampailah di penghujung doa dan selepas itu, imam mula sujud. Alhamdulillah, tanda lega di kaki aku.

Akhirnya, semua selesai. Syukur sangat. Iyalahkan, bila difikirkan semula, aku ni bukannya hari-hari dapat peluang untuk solat di sini. Di kesempatan yang ada ni lah, lagi-lagi dalam bulan Ramadan dan pada malam terakhir, aku cuba bersama-sama jemaah yang lain bermunajat kepada Allah taala. Pengalaman inilah yang sangatlah seronok dan indah.

Syawal pertama di Kota Suci Mekah

Raya pertama di tanah suci Mekah

Alhamdulillah, keesokkan harinya, kami sekeluarga dapat menyambut hari raya. Kami mendengar khutbah raya, tunaikan solat hari raya dan bertakbir raya di Masjid Haram. Pengalaman berhari raya pertama di Mekah, sungguhlah percaturan Allah sangat menakjubkan.

Semoga bermanfaat.

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!