Haji Akbar ditunggu umat Islam

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, beruntunglah jemaah haji yang terpilih ALLAH untuk tahun 2014 apabila Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan wukuf jatuh pada hari Jumaat yang diyakini bakal menjadi Haji Akbar. Haji Akbar ini adalah haji yang ditunggu umat Islam seluruh dunia. Para ulama’ menyatakan bahawa wuquf di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat membawa kebaikan. Antara kebaikannya adalah seperti berikut:

  1. Haji yang dilakukan adalah seumpama haji yang telah dikerjakan oleh Rasulullah SAW kerana ketika Nabi menunaikan haji wada’ , wuquf di Arafah jatuh pada hari Jumaat.
  2. Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari dan ia merupakan saat dan waktu yang doa seseorang mudah diperkenankan.
  3. Hari Arafah merupakan hari ‘raya’, dan begitu juga hari Jumaat dianggap sebagai hari ‘raya’. Jadi apabila Arafah berlaku pada hari Jumaat, maka sudah tentu kebaikannya amat banyak.

“Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin” – Surah at-Taubah ayat 3

gambar kaabah di masjidil haram mekah

Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:

  1. Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
  2. Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
  3. Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada’.
  4. Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
  5. Kedua-dua hari tersebut merupakan hari ‘raya’.
  6. Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
  7. Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.

gambar di padang arafah

Berdasarkan tulis Ustaz Noehas dalam entrinya “Haji Akbar Haji Mabrur” , Para Ulamak mempunyai banyak pendapat tentang maksud dari haji akbar. Semua pendapat tersebut berasaskan hujah masing-masing dan termasuk dalam kategori khilaf muktabar yang boleh diterima. Bersyukur kepada yang mendapat peluang mengerjakan Haji Akbar dan paling bersyukur apabila ALLAH pilih untuk kembara rohani membersihkan jiwa menyempurnakan rukun Islam yang ke lima. Bukan semua yang mempunyai keinginan tinggi untuk berkusut masai mengerjakan ibadah haji dipilih oleh ALLAH kerana itu kepada yang terpilih tiada nilai yang boleh dinilai dengan wang ringgit yang dibayar.

Semuga semua jemaah haji yang dipilih ALLAH mendapat haji Mabrur dan mendapat keampunan daripada Maha Esa. Kepada yang tidak terpilih berazamlah kita untuk menyempurnakan ibadah korban biar pun hanya satu bahagian lembu sahaja. Semuga pengorbanan kita yang sedikit itu bakal dilihat terlalu besar di sisi ALLAH.

Qurban & Aqiqah di Kemboja

Berita Haji Terkini


421 Comments

  1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Pengasih

    Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia rasul junjungan kami dan pimpinan kami Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga serta para sahabat baginda semuanya.

    Maha Suci Allah yang telah menyerahkan semua ini untuk keperluan kami, dan kami sebelumnya tidak berupaya menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami, tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia, Maha Suci Allah Tuhan Pemelihara ‘arasy yang agung, segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

    Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu segala sebab-sebab yang boleh menuju untuk kami mendapatkan rahmatMu dan keampunanMu, terselamat daripada mendapat dosa sebaliknya berbahagia mendapat syurga serta terselamat daripada api neraka dan memperoleh keampunan pada hari perhitungan.

    Ya Allah, janganlah kami dibebani dengan satu dosa sekalipun melainkan semoga Engkau mengampuninya, dan tidak tertimpa akan kami sebarang kerunsingan melainkan semoga Engkau meleraikannya, tidak terhutang dengan satu hutang sekalipun melainkan semoga Engkau menjelaskannya, tidak timbul barang satu hajat dari diri kami sama ada hajat yang mengenai hal-hal dunia atau akhirat melainkan semoga Engkau tunaikannya. Mohon limpah rahmatMu jua ya Allah Tuhan sebaik-baik yang memberi rahmat. Ya Allah, bahawa sesungguhnya kami mohon kepadaMu kebaikan dan ketaqwaan di dalam pelayaran bakal-bakal haji kami ini dan moga ia merupakan amalan yang Engkau redai.

    Ya Allah, permudahkanlah (urusan dan beban) di dalam pelayaran mereka ini, dan jadikanlah ia (seumpama perjalanan) yang dekat, ya Allah Engkau adalah Penjaga di dalam pelayaran, khalifah (wakil pengganti diri mereka) terhadap keluarga dan harta-benda mereka (semasa ketiadaan mereka).

    Ya Allah, lindungilah mereka daripada kesukaran (dalam) pelayaran, daripada keadaan yang mendukacitakan, dan daripada seburuk-buruk tempat kembali (terhadap apa yang berlaku) pada harta dan keluarga mereka. Dengan nama Allah yang melancarkan perjalanan ini, sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, apa yang ditentukanNya (Allah) adalah hak Allah untuk menentukannya.

    Ya Allah, berilah kami keselamatan dan kesihatan dan juga pada orang-orang yang melaksanakan ibadah haji, dan orang-orang yang berziarah dan para musafir dari kalangan umat Nabi Muhammad melalui darat, laut dan udara dan jauhilah kami dari kejahatan orang-orang yang zalim khususnya:……(sebutkan nama orang yang naik haji) Kami mohon kepadaMu ya Allah, semoga menjadikan pelayaran mereka, pelayaran yang penuh dengan segala kebaikan tanpa ada satu pun kejahatan yang terdahulu dan yang akan datang. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap sesuatu dan hanya Engkau yang layak memperkenankan doa dengan rahsia firmanMu yang hak: Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu al-Qur’an (Wahai Muhammad), sudah tentu akan mengembalikan engkau kepada apa yang engkau ingini dan cintai.

    Ya Allah, jadikanlah haji mereka haji yang mabrur, dan (usaha amal mereka) usaha amal yang diterima (oleh Allah) dan (dosa-dosa mereka) dosa yang diampunkan dan amal kebaikan mereka yang diterima serta usaha (perniagaan) yang tidak akan menghancurkan atau merugikan.

    Ya Allah, elakkanlah kami dan mereka daripada segala bala bencana, wabak penyakit dan jauhkanlah daripada kami dan mereka dari perasaan was-was dengan kurniaanMu dan kemuliaanMu wahai Tuhan yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan. Ya Allah selamatkanlah dan peliharakanlah mereka dan apa saja yang bersama mereka, dan sampaikanlah (hajat) mereka dan apa saja yang bersama mereka (dibaca 3x)

    Dan Engkau (Allah) cucurilah dengan sepenuh rahmat ke atas junjungan kami nabi Muhammad dan ke atas ahli-ahli keluarga baginda dan seluruh sahabat baginda. Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam.
    Curahan rasa adna2029 @ ..Vitamin Shaklee Bagus Untuk KesihatanMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!