FIFPro Kecam Penggantungan Tujuh Pemain Warisan, Anggap Hukuman FIFA Tidak Setimpal
Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro) tampil mengecam keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung tujuh pemain warisan yang terbabit dalam skandal dokumen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sambil menyifatkan hukuman tersebut tidak setimpal dan menzalimi pemain.
Dalam kenyataan rasmi pada Isnin, badan induk pemain profesional dunia itu menegaskan bahawa kesemua pemain yang digantung bukanlah pesalah seperti digambarkan, sebaliknya mangsa kegagalan pentadbiran yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ke atas pihak lain.
Pemain Tidak Memalsukan Dokumen, Mereka Ikut Prosedur
FIFPro mempersoalkan keputusan berat FIFA yang mengenakan penggantungan 12 bulan kepada semua pemain terbabit, sedangkan laporan siasatan sendiri mengakui bahawa dokumen dikemukakan pemain adalah tulen dan tidak ada satu pun pemalsuan dilakukan oleh mereka.
“Jelas bahawa para pemain adalah mangsa dalam isu ini. Keputusan itu mengesahkan mereka tidak memalsukan sebarang dokumen malah dokumen yang dihantar adalah tulen,” tegas kenyataan itu.
Menurut FIFPro, situasi tujuh pemain yang kesemuanya berada dalam keadaan serupa sudah cukup membuktikan sebarang dokumen yang dipalsukan tidak mungkin dilakukan oleh individu, sebaliknya berpunca daripada proses pentadbiran di luar kawalan pemain.
FAM Didakwa Kemuka Dokumen Dipalsukan, Pemain Jadi Mangsa
Laporan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 18 November lalu telah mendedahkan pegawai pentadbiran FAM dikenal pasti sebagai pihak yang memalsukan dokumen kelahiran tujuh pemain tersebut.
FIFA menjelaskan bahawa FAM mengakui menghantar sijil kelahiran yang dipalsukan, termasuk mengubah lokasi kelahiran datuk dan nenek pemain bagi mewujudkan hubungan keturunan dengan Malaysia demi melayakkan mereka beraksi atas status pemain warisan.
FIFPro menyifatkan tindakan membebankan tanggungjawab itu ke atas pemain sebagai tidak wajar kerana mereka langsung tidak mempunyai kuasa untuk mengesahkan dokumen yang bukan dikeluarkan atau dihantar oleh mereka sendiri.
Pemain Ikut Semua Proses Rasmi, Tapi Tetap Dihukum
Menurut kenyataan FIFPro, pemain telah melalui semua proses yang ditetapkan FAM dan pihak berkuasa Malaysia, termasuk:
- Menyerahkan dokumen peribadi
- Menghadiri sesi dengan pihak berkuasa tempatan
- Menjalani angkat sumpah
- Mendapatkan pasport yang sah
- Menunggu kelulusan kelayakan daripada FAM
Semua ini dikendalikan oleh institusi yang berada jauh di luar bidang kuasa pemain, namun kini mereka perlu menanggung akibat berat termasuk penggantungan ke atas kerjaya dan potensi kerugian jangka panjang.
FIFPro Sokong Penuh Pemain, Harap CAS Batalkan Keputusan
FIFPro menegaskan sokongan penuh kepada tujuh pemain yang terjejas dan percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membetulkan ketidakadilan ini.
“Pemain kini berdepan penggantungan dan implikasi besar tanpa sebarang kesalahan. FIFPro percaya CAS akan membatalkan keputusan tidak adil ini,” kata kenyataan itu lagi.
Integriti Pertandingan Tercemar, FIFA Kekal Dengan Pendiriannya
Walaupun kontroversi memuncak, FIFA tetap berpendirian bahawa pemalsuan dokumen oleh FAM telah menjejaskan integriti pertandingan antarabangsa dan tindakan disiplin perlu diambil.
Namun persoalan besar kini timbul, adakah pemain patut dihukum atas kesalahan pentadbiran yang dilakukan pihak lain?
Perkembangan terbaru ini bakal menjadi tumpuan dunia bola sepak, terutama apabila kes tersebut dibawa ke CAS untuk proses selanjutnya.
Sumber : Astro Awani
