WHO beri amaran, usaha bendung HIV di persimpangan kritikal
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengeluarkan amaran tegas bahawa dunia kini berada pada titik kritikal dalam usaha memerangi HIV. Laporan sempena Hari AIDS Sedunia menunjukkan sebanyak 1.3 juta jangkitan baharu direkodkan pada 2024, satu tanda bahawa kemajuan global semakin perlahan ekoran pengurangan dana antarabangsa yang menjejaskan rawatan, ujian serta program komuniti di pelbagai negara.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menekan bahawa dunia sedang berdepan cabaran besar akibat pemotongan bantuan luar yang menyebabkan banyak perkhidmatan dihentikan atau dikurangkan. Namun beliau juga melihat peluang baharu melalui teknologi dan rawatan yang lebih maju, jika akses dapat diperluas dengan cepat.
Stigma dan undang-undang menghalang golongan berisiko tinggi
WHO menegaskan bahawa halangan undang-undang, stigma dan diskriminasi masih menjadi punca utama golongan berisiko tinggi enggan mendapatkan bantuan kesihatan. Keadaan ini memperlahankan usaha pencegahan, sekali gus meningkatkan penularan di kawasan rentan.
Pada 2024, dianggarkan 40.8 juta orang hidup dengan HIV, manakala 630,000 kematian dicatatkan akibat komplikasi berkaitan virus tersebut.
Pemotongan dana beri kesan serta merta
WHO menjelaskan bahawa pengurangan dana penderma pada tahun ini sudah menimbulkan kesan yang sangat ketara. Banyak negara terpaksa mengecilkan program pencegahan, menghentikan ujian percuma dan mengurangkan akses kepada rawatan.
Menurut Gabungan Advokasi Vaksin AIDS, 2.5 juta pengguna PrEP dijangka kehilangan akses menjelang 2025 jika pemotongan dana diteruskan. WHO menyifatkan keadaan ini sebagai langkah kebelakang yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada usaha global.
Harapan baharu melalui suntikan dua kali setahun
Walaupun dunia berdepan kekangan kewangan, WHO menonjolkan satu perkembangan penting pada 2025, iaitu kelulusan ubat pencegah HIV generasi baharu dikenali sebagai lenacapavir (LEN).
LEN ialah suntikan dua kali setahun yang sangat berkesan untuk pencegahan prapendedahan (PrEP), khususnya untuk mereka yang sukar mengambil ubat oral harian atau berdepan stigma ketika mendapatkan rawatan.
Setakat ini, lenacapavir telah diluluskan WHO pada 6 Oktober dan sedang menunggu kelulusan di Afrika Selatan, Zimbabwe dan Zambia. WHO melihatnya sebagai intervensi transformatif yang mampu mengubah landskap pencegahan HIV.
Seruan kepada kerajaan seluruh dunia
WHO menggesa kerajaan untuk:
- Mengintegrasikan perkhidmatan HIV ke dalam penjagaan kesihatan primer.
- Meningkatkan pelaburan domestik bagi menampung kekurangan dana antarabangsa.
- Melindungi hak populasi utama yang paling terkesan.
- Mempercepat penggunaan inovasi seperti LEN dan rawatan baharu lain.
Agensi itu mengingatkan bahawa tanpa tindakan segera, berjuta orang tidak akan menerima manfaat daripada kemajuan teknologi kesihatan yang tersedia.
Solidariti global masih kunci utama
Walaupun usaha pencegahan terganggu, WHO percaya bahawa kekuatan komuniti yang terjejas masih menjadi pemacu utama dalam perjuangan menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam.
Mesej WHO jelas, hanya dengan solidariti global, komitmen kerajaan dan penggunaan inovasi secara meluas, dunia mampu mengelakkan sejuta jangkitan baharu dalam tahun-tahun mendatang.
