Betulkah roh orang yang mati boleh pulang semula?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.

Roh ialah jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.

Jisim yang biasa tidak dapat diganti, dipisah-pisah mahupun dipecah-pecahkan, bahkan memberi kehidupan kepada jasad dengan segala kaitannya selagi jasad kasar itu wajar menerima curahan cahaya daripadanya dan selagi tidak ada hal-hal yang menghalang alirannya. Jika tidak demikian, matilah jasad itu.

Pendapat ini adalah yang dipilih oleh al-Razi dan Ibn al-Qayyyim dalam kitabnya yang masyhur, al-Ruh.

Ruh juga bukanlah jisim dan bukan pula jenis jasmani. Ia berkaitan dengan tubuh sebagai pembimbing dan pengatur sahaja. Ini pendapat hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dan juga Abu Qasim al-Raghib al-Asfahani. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4020)

Sayyid Qutb berkata: Apabila mereka bertanya Rasulullah SAW mengenai ruh, maka Allah memerintahnya supaya memberi jawapan kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan Allah. Hanya ilmu Allah sahaja yang mengetahuinya dan tiada sesiapa pun yang mengetahui selain Allah.

Firman Allah SWT:

Maksudnya“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”(Surah al-Isra’: 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata: Ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Firman ALLAH lagi:

MaksudnyaAllah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).(Surah al-Zumar: 42)

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan ALLAH yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia.

Ada dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satunya, bahawa roh orang yang ditahan adalah roh orang yang sudah meninggal, sehingga dia tidak mungkin kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan roh orang yang dilepas adalah roh orang yang tidur.

Sesungguhnya roh orang yang hidup dan roh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan roh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya.

Jelas menunjukkan pada kita bahawa roh tidak akan kembali selepas kematian. Cumanya apabila seseorang sentiasa bersama dengan seseorang seperti pasangan suami isteri yang hidup dengan harmoni dan bahagia dan sentiasa pergi ke masjid pada setiap waktu solat.

Apabila salah seorang meninggal dunia, kelaziman ke masjid diteruskan tetapi terasa pasangannya masih bersamanya. Ini lebih kepada perasaan kasih sayang dan imbasan nostalgia kebersamaannya dengan dengan pasangan yang disayanginya.

Kita disyorkan supaya yang hidup, apabila mengingatkan kepada yang mati hendaklah memohon keampunan dan berdoa untuknya. Semoga Allah tempatkan mereka yang mendahului kita pada tempat yang baik bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin. Amin.


Spread the love

One Comment

  1. Untuk ahli keluarga yang masih hidup berbanyakkanlah berbuat kebajikan dan hadiah untuk mereka yang telah meninggalkan dunia supaya Allah swt memberikan mereka keamanan disana.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!