SEO dan 5 Kepercayaan Karut Tentang Backlink

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1 Dunia, seorang lagi rakan FB Group Denaihati Network yang dipilih menjadi penulis jemputan di blog Denaihati.com. Entri ini adalah daripada Zulhilmi Zainudin salah seorang pereka grafik dan pembangun laman web tempatan. Seorang yang begitu obses dengan SEO, WordPress, design, pemasaran dan pengiklanan digital. Joom sama-sama kita baca.

Melangkah masuk ke dunia blogging, SEO menjadi salah satu perbualan yang hangat dan sering menjadi debat antara pengamalnya. Masing-masing mempunyai kepercayaan dan sebab musabab tersendiri akan formula yang berkesan dan tidak berkesan.

Backlink adalah antara perkara yang sering dibincangkan apabila kita berbicara tentang SEO. Secara ringkasnya, backlink bermaksud pautan luar yang menghala ke blog kita. Jika blog Denaihati ini meletakkan satu pautan ke laman Nile.com.my, ini bermaksud Nile.com.my menerima backlink daripada blog Denaihati.

Strategi dalam SEO itu luas dan semakin berkembang sejajar dengan pengenalan pelbagai kemaskini daripada pihak seperti Google khususnya dari semasa ke semasa. Setiap kali kemaskini, akan ada blog yang terkesan. Ada yang kekal, meningkat dan ada juga yang terus hilang daripada muka pertama carian!

Kenapa Ini Berlaku?

Baik. Kita perlu tahu bahawa SEO pada hari ini mengambil ratusan aspek untuk dinilai sebelum dianugerahkan kedudukan terbaik di muka carian. Tidak seperti satu ketika dahulu, cukup dengan menggunakan ‘meta tag’ ringkas, kita sudah boleh berada di kedudukan tertinggi mengalahkan pesaing yang lain.

Persaingan yang semakin sengit ditambah dengan kehadiran kumpulan yang mengamalkan teknik ‘black hat’ telah memaksa mereka di sebalik enjin carian untuk bekerja lebih keras bagi mematahkan strategi jahat mereka ini.

Tidak mustahil hari ini kita melihat kedudukan sesuatu blog itu tidak tetap. Ada naik dan turunnya. Jika kita benar-benar memahami teknik terbaik melakukan SEO dan tidak gopoh mengejar kedudukan di muka pertama, kedudukan kita boleh dikekalkan. Sebaliknya, bersedia sahaja untuk hilang dari muka carian.

Kaitan Dengan Backlink

Oleh kerana backlink adalah antara salah satu cabang daripada SEO yang mudah untuk dimanipulasi pada hari ini, mereka yang rakus gemar untuk mengambil kesempatan dengan melakukan proses backlink secara agresif. Golongan ini percaya bahawa hanya dengan melakukan backlink sahaja, blog mereka boleh berada di kedudukan terbaik muka carian.

Sebenarnya, tanggapan ini salah. Sebagai seorang penulis blog yang mahu tahu dan mendalami ilmu SEO yang sebenar, sikap dan pemikiran seperti ini hanya akan membawa blog anda jauh tertinggal di belakang dalam perlumbaan SEO yang sebenar.

Mitos Backlink – Selamatkan SEO Blog Kita Sekarang

Mari kita lihat dengan lebih mendalam tentang mitos-mitos backlink dalam SEO:

#1 – Perlu Buat Backlink Jika Ada Kata Kunci Yang Relevan Sahaja

Era Web 2.0 hari ini telah memperkenalkan kita dengan terma ‘viral’. Viral di sini bermaksud, berkembang secara natural dan bukan dipaksa-paksa. Lihat sahaja fenomena PRU baru-baru ini. Artikel-artikel politik disebarkan secara meluas di Internet khususnya di media sosial – dengan rela hati.

Jika dilihat dengan mendalam, proses ini juga adalah proses backlink. Pautan blog kita bertebaran di Internet dalam platform yang luas. Ada yang berkongsi di blog peribadi dan ada yang mengupas dengan lebih panjang di media sosial.

Mengikut perkembangan SEO terkini, strategi backlink seperti ini adalah baik di mana ianya berkembang dengan natural biarpun tidak daripada laman web atau blog yang berkaitan (niche) dengan kita. Ianya dipanggil ‘social signal’ dalam kalangan pengamal SEO dan dijangka akan digunakan lebih meluas bermula daripada sekarang.

#2 – Buat Do-Follow Backlink Sahaja, No-Follow Tak Perlu

Tidak dinafikan bahawa do-follow backlink mempunyai pemberat yang lebih kepada backlink. Tetapi, no-follow backlink seperti blog comment tidak wajar kita pinggirkan.

Hal ini kerana, dalam menentukan jumlah backlink sesebuah halaman, jumlah do-follow dan no-follow backlink itu dilihat serentak. Jadi, lakukan kedua-duanya dengan seimbang agar ianya nampak natural.

#3 – Banyak Backlink, Rank Lebih Tinggi

Jika mengikut logik, ianya betul. Jika mengikut ilmu SEO, ianya tidak tepat.

Di Internet hari ini, terdapat ratusan juta halaman yang menyediakan informasi. Tetapi, tidak semua halaman ini berkualiti dan ‘baik’ di mata enjin carian. Terdapat pelbagai faktor lain pula yang digunakan oleh mereka dalam membuat penilaian dan status setiap halaman ini.

Jika kita melakukan backlinking secara melulu tanpa melihat kepada kualiti tempat kita membuat backlink, ianya akan memberi kesan negatif kepada blog kita. Buat backlink secara perlahan-lahan dan berhati-hati.

Tip: Jika anda mengambil servis SEO daripada agensi SEO, pastikan anda jelas dengan strategi SEO yang mereka akan gunakan. Ada dalam kalangan mereka yang menyediakan perkhidmatan SEO, menggunakan laman-laman yang tidak baik seperti ‘black hat sites’, pornografi dan sebagainya untuk membuat backlink bagi anda.

#4 – Backlink Sudah Mati & Ketinggalan Zaman

Dengan kemaskini Penguin dan Panda kebelakangan ini, rata-rata percaya bahawa hanya kandungan yang berkualiti dan asli sahaja dilihat oleh enjin carian. Backlink sudah hilang ‘bisa’nya dan tidak akan memberi apa-apa kesan lagi dalam usaha SEO.

Tanggapan ini tidak benar. Backlink masih mempunyai kuasanya jika digunakan dengna betul. Fahami dan teliti ‘best practices’ dalam melakukan SEO khususnya dalam bab backlinking.

Apa yang kita silap selama ini adalah, kita melihat hanya backlink itu sahaja yang boleh menolak setinggi-tingginya blog kita di muka carian. Pernah atau tidak kita terfikir jika kita menulis kandungan yang baik, asli dan ditambah pula dengan strategi backlink yang betul, ianya akan memberikan kesan positif kepada SEO blog kita?

Satu soalan untuk difikirkan bersama-sama.

#5 – Buat Backlink Dari Laman PR Tinggi Sahaja

PageRank (PR) hanya satu signal untuk enjin carian menyusun dan mengkategorikan blog-blog di Internet. Tiada sebarang masalah jika kita melakukan backlinking di pelbagai variasi PR.

Jika kita hanya fokus kepada blog-blog yang mempunyai PR yang tinggi sahaja, aktiviti ini boleh dikesan dan dianggap sebagai ‘jual beli backlink’ yang secara jelasnya ditegah oleh enjin carian.

Lakukan dengan natural. Gabungkan backlink dari PR rendah hingga ke PR yang tinggi. Kerana, blog yang mempunyai PR yang rendah itu tidak bermakna tidak berkualiti atau ‘jahat’ di mata enjin carian.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai kepercayaan karut dalam SEO. Sebagai seorang yang benar-benar mahu menjadikan SEO sebagai salah satu sumber trafik berterusan untuk blog, fahami dan ketahui seninya terlebih dahulu. Jangan terlalu tamak dan gelojoh dalam mengejar kedudukan terbaik di muka carian. Lakukan dengan konsisten, perlahan-lahan dan natural.

Kredit foto: mkhmarketing, mkhmarketing, kris krüg, Josep Ma. Rosell, عبدالمجيد المطيويع, i k o, johannes p osterhoff.


Spread the love

193 Comments

  1. backlink mampu membantu blog untuk terus kekal di atas. tetapi sebenarnya yang paling membantu adalah keywords density…

    Google Robot sangat menyukai keyword density di samping perkataan2 baru yang di paparkan dalam sesuatu blog post tersebut yang signifikan dengan entri…
    Curahan rasa Pendekar @ ..Pluggin SEO Terbaik Dari Pakar SEOMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!