Kisahnya Secebis Hati part 7

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, part 7 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Bagi yang belum baca episod awal yang telah dipublish sebelum ni boleh klik Part 1, Part 2, Part 3, Part 4, Part 5 dan Part 6. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005


Ahmad Khariri Al-Hadi

Awal Encik Sharif menghubungi saya pagi ini. Masih terlalu awal sekiranya beliau ingin berjumpa saya kerana jam baru menunjukkan pukul 6.15 pagi. Kenapalah agaknya pagi-pagi lagi bapa adik Atiqah ini menelefon saya. Saya tidak menjawab panggilan beliau kerana saya perlu mandi dan solat Subuh terlebih dahulu. Lebih kurang tiga kali panggilan tidak dijawab oleh saya, beliau berhenti menelefon. Mungkin beliau beranggapan saya masih belum bangun barangkali. Tidak mengapa selepas solat Subuh nanti saya akan menelefon beliau semula. Saya hanya khuatir sesuatu yang tidak baik terjadi kepada adik Atiqah.

Selesai sahaja solat, saya terus menghubungi Encik Sharif. Rupa-rupanya beliau sekadar ingin tahu bagaimana dengan perkembangan latihan saya untuk menguruskan badan. Beliau pula yang risaukan saya. Iyala apa-apa yang berlaku kepada saya ada kaitannya dengan anak beliau. Saya jadi serba salah dengan pertanyaan beliau. Adakah saya perlu berterus terang? Atau menanti beberapa hari lagi? Saya fikir lebih baik sekiranya saya berterus terang dengan beliau agar masalah saya ini dapat dikongsi bersama. Lagipun setakat hari ini hanya keluarga saya dan keluarga beliau sahaja yang tahu. Bukannya untuk menambahkan kerisauan beliau tetapi mungkin Encik Sharif ada pandangan yang berguna untuk dikongsi.

Fitness First! Encik Sharif mencadangkan kepada saya agar saya pergi ke Pusat kecergasan Fitness First yang terletak di Subang Jaya. Menurut beliau terdapat sahabat beliau yang mencadangkan agar saya dirujuk ke situ kerana Fitness First sememangnya ada program yang baik untuk masalah seperti saya ini. Saya sendiri pun pernah mendengar mengenainya namun saya yakin kosnya agak mahal. Tempat-tempat seperti ini mana mungkin mengenakan caj perkhidmatan yang rendah kerana sudah pasti mereka mempunyai standard yang tersendiri. Mungkin Encik Sharif telah dapat membaca apa yang sedang saya fikirkan. Menurut beliau, segala kos dan apa jua pembayaran akan ditanggung sepenuhnya oleh seorang individu yang dirahsiakan identitinya. Siapa dia? Sehingga saat ini saya masih tidak mengetahui identiti orang yang membayar segala kos saya di Fittness First itu.

Lebih kurang jam 3.30 petang, saya bersama Encik Sharif pergi ke Fittness First yang terletak di Subang Jaya. Apabila saya masuk sahaja di pusat kecergasan ini, kelihatan tidak terlalu ramai pengunjungnya. Barangkali selepas waktu pejabat atau malam baru mereka mulai ramai. Saya yakin rata-rata yang datang ke sini adalah mereka yang bekerja kerana kosnya yang agak mahal. Saya dibawa berjumpa dengan penyelaras program yang dimaksudkan oleh Encik Sharif. Sememangnya amat eksklusif tempat ini. Bangunan ini mempunyai dua tingkat yang menempatkan beberapa aktiviti kecergasan. Bahagian bawah terdapat banyak mesin-mesin kecergasan dan di tingkat atas program-program yang khusus.

Saya diperkenalkan kepada seorang anak muda bernama Azlan. Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Sains Sukan Dan Rekreasi, UiTM. Beliau mempunyai tiga tahun pengalaman sebagai Personal Trainer (PT) di sini. Menurut beliau, program yang sesuai untuk saya adalah program khusus untuk membuang masalah-masalah di dalam tubuh badan secara yang betul. Program ini merangkumi kardiovaskular, membina otot dan satu program khas. Sebenarnya program ini memakan masa yang agak lama iaitu selama enam bulan namun ianya ‘terpaksa’ disingkatkan menjadi satu bulan! Saya tidak dapat membayangkan bagaimana program yang sebegitu lama dan dijadikan dalam satu tempah yang pendek. Sebelum saya menandatangani apa-apa dokumen, beliau memastikan agar saya faham akan program yang akan dijalankan terhadap saya. Walaupun harapan yang diletakkan kepada saya amat besar, namun beliau tidak mahu sebarang masalah ketika program sedang dijalankan seperti kecederaan, tarik diri dan tekanan.

Apabila saya memandang sekeliling Fitness First ini, saya berazam saya akan buat yang terbaik dan tidak akan menghampakan PT saya dan seterusnya insan-insan yang banyak memberikan semangat kepada saya. Saya sedar bukannya satu perkara yang mudah untuk saya lakukan semua ini jika tidak mendapat sokongan kata-kata semangat daripada kelurga namun titik tolaknya adalah daripada semangat diri saya sendiri terlebih dahulu. Sesiapa pun tidak dapat membantu saya sekiranya saya sendiri tidak dapat membantu diri saya. Teringat pesan dari mak ketika saya mula-mula memaklumkan kepada beliau hasrat untuk mendermakan hati satu masa dahulu. Menurut mak, sekiranya saya tidak mampu untuk melakukan apa yang saya janjikan lebih baik tarik diri sebelum harapan semua orang terletak di bahu saya. Mungkin bukan sekadar harapan adik Atiqah dan keluarga beliau tetapi harapan seluruh rakyat Malaysia untuk saya menyelamatkan sebuah nyawa anak kecil ini. Begitulah pesanan mak berulang kali agar saya dapat memikul tanggungjawab ini dengan berfikir dengan baik.

Menurut Azlan, saya perlu datang petang ini jam 6 petang bagi memulakan sesi program saya yang pertama. Saya diberikan sebuah beg yang mengandungi t-shirt, bekas air, tuala dan headphone. Semuanya ini sebagai kegunaan ketika saya menjalani program ini. Encik Sharif membayar yuran dan semua kos-kos yang dikenakan terhadap saya dalam tempoh ini. Menurut beliau wang ini adalah ‘pemberian’ insan yang ingin membantu saya dan adik Atiqah. Walaupun jumlahnya besar namun saya yakin insan tersebut amat ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Mungkin beliau benar-benar inginkan saya mampu untuk mendermakan sebahagian hati saya dalam keupayaan diri saya yang sebenar. Saya perlu melalui cubaan ini dengan realiti yang sebenar dan bukannya hanya berharap masalah saya akan hilang dengan sendiri.

Sedang dalam perjalanan pulang dari Subang Jaya, Encik Sharif menghubungi saya agar dapat datang ke rumah beliau. Menurut beliau ada wartawan daripada Utusan Malaysia ingin berjumpa dan menemubual saya dan adik Atiqah. Saya jadi serba salah. Adakah saya perlu pergi atau tidak? Sekiranya saya pergi bermakna seluruh rakyat Malaysia akan mengetahui saya bakal menjadi penderma hati. Sudah pasti sahabat-sahabat dan majikan saya juga mengatahuinya kelak. Persoalan demi persoalan menerjah fikiran saya ketika ini. Namun sekiranya saya tidak pergi ianya akan menimbulkan persepsi yang kurang baik kepada keluarga adik Atiqah seolah-olah saya tidak serius pula. Jika diikutkan kata hati saya ketika ini, saya tidak mahu pergi dan minta agar Encik Sharif memberikan alasan yang logik kepada wartawan tersebut. Wartawan adalah seorang yang cerdik. Mereka sangat biasa dalam situasi ini dan akan mendapatkan cerita dengan apa cara sekalipun. Alasan-alasan yang remeh ini sudah lali bagi mereka. Sebenarnya kami sememangnya amat memerlukan wartawan dari media cetak dan elektronik bagi mencari dana pembedahan pemindahan hati ini. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berjumpa juga dengan wartawan ini tetapi dengan niat untuk membantu adik Atiqah dan bukannya kerana mengejar glamour!

Ahmad Khariri Al-Hadi

Setibanya saya di rumah Encik Sharif, kelihatan beberapa orang yang saya tidak kenali berbual di ruang tamu. Saya yakin mereka adalah wartawan yang dimaksudkan. Setelah bersalaman dengan mereka, saya duduk bersebelah dengan Encik Sharif. Adik Atiqah sedang dibangku oleh isteri Encik Sharif. Saya diperkenalkan iaitu dua orang daripada akhbar Utusan Malaysia manakala tiga orang daripada stesyen NTV7 untuk program Edisis Siasat. Saya rasa seperti pernah melihat seorang wartawan daripada NTV7 ini. Barangkali kerana Edisi Siasat ini begitu popular dengan kes-kes yang sebegini. Teringat tag line pengacara Edisi Siasat iaitu Wan Kamaruddin dengan Apa Ke Jadahnya yang membuatkan ramai pihak tidak senang duduk dengan pendedahan demi pendedahan yang dikeluarkan.

Mereka bertanyakan soalan-soalan kepada Encik Sharif berkaitan keadaan adik Atiqah kini. Daripada soalan-soalan berkaitan sakit hinggalah kepada kos rawatan dan pembedahan. Jurugambar sibuk dengan mengambil gambar setiap sudut untuk mendapatkan gambar dan shot yang terbaik. Tidak kira daripada Utusan Malaysia mahupun NTV7 masing-masing memainkan peranan mereka sebagai wartawan yang berpengalaman. Sesekali soalan diajukan kepada saya dan saya sedikit tergagap-gagap apabila menjawab soalan. Maklumlah ini pertama kali saya berdepan situasi seperti ini. Sambil saya menjawab soalan, pasti kamera dan kamera video dihalakan kepada saya. Bermacam-macam perasaan saya ketika ini.

Bersambung …


Spread the love

64 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!