Malaysia #QuranHour 2026 | Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera

Poster for Malaysia #QuranHour event on 30 Aug 2026, 12:00–1:00 PM, at Masjid Al-Sultan Abdullah, Kuala Lumpur with sponsor logos.
Spread the love

Malaysia #QuranHour 2026 kembali membawa mesej besar kepada masyarakat menerusi tema “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera”, sebuah seruan untuk membina kekuatan diri, kepedulian sosial dan kesejahteraan berteraskan panduan al-Quran.

Menurut Ringkasan Eksekutif Malaysia #QuranHour 2026, program ini dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2026 bersamaan 17 Rabiulawal 1448H, dengan membawa pedoman daripada Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Balad dan Surah Al-Baqarah.

Apa Maksud “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera”?

Tema ini membawa masyarakat memahami hakikat bahawa kehidupan manusia tidak pernah terpisah daripada kabad, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Balad ayat 4.

Kabad merujuk kepada kesukaran, tekanan dan perjuangan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan manusia.

Persoalannya bukan bagaimana untuk menghapuskan semua kesusahan dalam kehidupan, tetapi bagaimana seseorang membina kekuatan untuk menghadapinya tanpa membiarkan ujian menjadikan dirinya berputus asa, marah atau hilang kepedulian terhadap orang lain.

Di sinilah mesej “bingkas” menjadi penting. Kita bukan sekadar diminta bertahan, tetapi bangkit dengan iman, kesabaran dan kasih sayang.

Bermula Dengan Kekuatan Hubungan Bersama Allah

Surah Al-Muzzammil memberikan panduan tentang pembinaan kekuatan dalaman melalui hubungan yang kukuh dengan Allah SWT.

Apabila iman dan amal soleh diperkukuhkan, seseorang mempunyai asas yang lebih kuat untuk bersabar, terus berbuat baik dan berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Surah Al-Balad pula membawa manusia melihat bahawa kekuatan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan.

Kekuatan seorang Muslim bukan hanya diukur melalui kemampuannya menghadapi ujian sendiri, tetapi turut terserlah apabila dia mampu melihat dan membantu kesusahan manusia di sekelilingnya.

Dari Kabad Kepada Aqabah

Dalam kehidupan bermasyarakat, cabaran bukan hanya hadir dalam bentuk masalah peribadi.

Ada yang berdepan beban hutang, kehilangan pekerjaan, kemelaratan, kehidupan sebagai anak yatim atau menjadi ibu tunggal tanpa sumber pendapatan yang mencukupi.

Al-Quran mengajak mereka yang mempunyai kemampuan untuk memilih aqabah, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Balad ayat 12, iaitu jalan sukar yang menuntut pengorbanan dan kepedulian terhadap manusia lain.

Ia boleh diterjemahkan melalui sokongan kewangan, peluang pekerjaan, bantuan kehidupan, kepedulian dan pelbagai usaha yang mampu membantu seseorang bangkit semula.

Malaysia Sejahtera Bermula Daripada Jiwa Yang Peduli

Malaysia #QuranHour 2026 membawa satu mesej yang sangat dekat dengan realiti kehidupan.

Daripada kekuatan diri, lahir kepedulian. Daripada kepedulian, lahir tindakan. Daripada tindakan bersama, terbinalah masyarakat yang lebih berbudi, penyayang dan sejahtera.

Semangat ini bukan hanya untuk satu kelompok tertentu. Nilai kemanusiaan, kasih sayang dan kepedulian mampu menyatukan masyarakat merentasi latar belakang agama dan bangsa dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Justeru, “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera” menjadi seruan untuk bangkit daripada kabad, memperkukuhkan diri dengan petunjuk al-Quran dan bersama-sama membantu manusia lain menuju kehidupan yang lebih baik.

Bagi individu, keluarga, organisasi, masjid, surau atau komuniti yang ingin mendapatkan maklumat serta menyertai inisiatif Hotspot Malaysia #QuranHour 2026, boleh merujuk pautan berikut:

Daftar Hotspot Malaysia #QuranHour 2026

Malaysia yang sejahtera tidak hanya dibina melalui kemajuan fizikal. Ia bermula daripada manusia yang mempunyai jiwa kuat, sabar ketika diuji dan tidak pernah berhenti peduli kepada kesusahan orang lain.


Spread the love
author avatar
Amirul Fahim