Kisahnya Secebis Hati part 8

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, entri ni adalah part yang ke-8 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Bagi yang belum baca episod awal yang telah dipublish sebelum ni iaitu Part 1 hingga 7 boleh KLIK SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Ahmad Khariri Al-Hadi

Sampai sahaja di pejabat, saya terus duduk di meja sambil membelek-belek surat khabar Utusan Malaysia yang saya beli pagi ini. Kebiasaannya saya akan terus melihat bahagian belakang sekali kerana membaca ruangan sukan tetapi entah mengapa hari ini saya menyelak bahagian hadapan terlebih dahulu. “Pesakit Bengkak Hati Memerlukan RM270 ribu”.

Terkejut saya membaca tajuk berita ini. Pada mulanya saya tidak berapa perasan dengan tajuknya tetapi apabila kelihatan gambar adik Atiqah bersama ibu dan ayahnya, barulah saya cam. Sedih apabila melihat gambar adik Atiqah dalam keadaan perutnya yang membuncit. Walaupun saya kurang senang dengan gambarnya dipaparkan begitu, namun itu adalah ‘senjata’ utama seorang editor dan wartawan bagi melariskan jualan akhbar mereka. Saya meneruskan bacaan artikel tersebut sehinggalah di satu perenggan ayat berbunyi ‘..bakal penderma hati kepada adik Nur Atiqah Najwa adalah Saudara Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop. Beliau yang ditemui di rumah keluarga Encik Mohd Sharif bersetuju apabila dihubungi untuk mendermakan sebahagian hati beliau kepada adik Nur Atiqah. Pembantu Perancang di sebuah kilang di Shah Alam ini ….’ sekeping gambar saya turut diletakkan dalam artikel itu.

Saya yakin pasti ada sahabat saya yang perasan akan cerita ini. Bukan saya risaukan akan cerita berkaitan adik Atiqah ini tetapi kerana nama dan gambar wajah saya yang turut bersama di artikel ini. Saya sudah menaruh persepsi yang tidak baik terhadap mereka yang akan membacanya. Mungkin mereka akan berjumpa saya dan bertanya macam-macam berkaitan hal ini. Mungkin juga akan ada yang menghentam saya kerana ‘kebodohan’ saya ingin mendermakan hati. Pelbagai persepsi ini berpusing-pusing tiada hentinya. Bagi saya merka ada hak untuk mengatakan apa jua terhadap niat saya ini tetapi mereka tidak boleh mempersoalkan mengapa saya ingin membantu adik kecil ini!

Seperti yang saya jangkakan beberapa orang sahabat saya datang ke meja saya semata-mata ingin mendapatkan kepastian berita yang baru sahaja dibacanya sebentar tadi. Rimas juga dibuatnya pagi-pagi lagi sudah mempunyai ramai ‘peminat’. Mereka sememangnya terkejut kerana perwatakan saya di pejabat ini sentiasa membuat lawak dan menghiburkan mereka dengan telatah saya. Dan amat jarang sekali saya akan menjadi seseorang yang begitu serius. Mungkin mereka beranggapan mana mungkin dengan perwatakan saya ini memberanikan saya untuk menjadi penderma hati. Sudah semestinya penderma itu seorang yang serius dan tidak akan membuat lawak dengan keputusan yang begitu besar kesannya.

Ahmad Khariri Al-Hadi

Bukan setakat sahabat-sahabat malahan majikan saya juga bertanyakan perkara yang sama. Apa yang mereka baca begitulah juga mereka ingin tahu kebenarannya. Saya rasakan dengan tiba-tiba sahaja hari ini saya telah menjadi popular di kalangan kakitangan di SEEM ini. Saya juga tidak boleh melakukan kerja-kerja saya kerana ada sahaja yang ‘mengusik’ saya. Ada yang konon-kononya mahukan autograph saya dan tidak kurang yang meminta saya memberitahu kepada wartawan nama-nama sahabat saya kononnya adalah sahabat baik saya. Kadangkala saya ketawa apabila memikirkan ianya baru sekali keluar di surat khabar. Belum lagi seperti artis yang hampir setiap hari cerita kehidupan mereka menjadi bacaan dan bualan para peminat. Entah bagaimana agaknya sekiranya ditayangkan di televisyen pula. Masalahnya, saya bukan artis atau seseorang yang perlu menjadi perhatian orang sekeliling. Saya hanya seorang Pembantu Perancang di sebuah kilang sahaja!

Ada juga sahabat yang menghantar SMS dan menghubungi saya untuk mengetahui sejauh mana kebenaran cerita di akhbar itu. Saya sengaja tidak mahu membalas SMS mereka kerana semakin dibalas dan dilayan, semakin banyak yang saya akan jawab. Cukuplah sekadar dengan apa yang mereka baca sahaja dan tidak perlu saya ulas selebihnya. Manusia sememangnya begini. Sekiranya dibacanya satu, mereka mahukan diulas cerita itu supaya menjadi lebih banyak atau besar daripada cerita itu. Mereka tidak akan berpuashati dengan apa yang dibaca. Satu demi satu akan ditanya sehingga mereka berpuashati. Masalahnya tiada apa yang perlu saya diceritakan lebih daripada itu. Saya sekadar hanya ingin membantu dengan mendermakan hati saya itupun sekiranya kesihatan saya di tahap yang baik dan sesuai untuk didermakan. Ianya betul-betul diperingkat permulaan dan belum ada kepastian lagi sebenarnya.

Apabila diajukan dengan soalan-soalan yang sedikit ‘kasar’, saya lebih selesa mendiamkan diri kerana mungkin mereka sekadar ingin tahu namun cara bertanya yang kurang sesuai. Saya tidak cepat melatah untuk memarahi atau memaki orang. Saya lebih selesa mengambil pendekatan kurangkan bercakap namun hanya lebihkan senyuman sebagai jawapannya. Terpulang bagaimana mereka ingin membuat kesimpulannya sendiri. Saya khuatir tersalah menjawab soalan mereka akan menimbulkan situasi yang kurang enak. Bukannya ingin menyombong dan jauh sekali untuk membangga diri tetapi kadangkala dalam sesuatu keadaan ada cara tersendiri untuk menanganinya.

Saya sedaya-upaya untuk tidak melibatkan perkara peribadi tersebut ke dalam urusan kerja saya. Saya tidak mahu urusan periuk nasi saya terganggu dengan semua ini. Saya berjumpa dengan Encik Ahmadsur untuk menerangkan apa yang berlaku hari ini agar beliau dapat mendapat gambaran yang sebenar. Walaupun sejak pagi tadi beliau hanya mendiamkan diri namun saya yakin beliau mahukan saya sendiri yang membuat penjelasan kepadanya. Kelihatan beliau sangat professional dalam hal ini kerana bijak mengawal sentimen hari ini. Saya selesa meluahkan kepada beliau kerana beranggapan beliau bukan sahaja sebagai ketua tetapi seorang abang yang baik. Beliau mendengar dengan teliti dan tidak memberikan komen sepanjang sesi perbualan kami. Mungkin beliau cuba ‘masuk’ ke dalam diri saya ketika ini agar dapat memahami apa yang saya rasakan.

Sedikit demi sedikit saya mulai rasa tenang kembali. Jika tidak saya rasakan begitu berat situasi ini untuk ditangani sendirian. Encik Ahmadsur memberikan nasihat dan beberapa langkah-langkah yang perlu diambil untuk meredakan keadaan ini. Beliau minta agar saya berjumpa terus bahagian Sumber Manusia untuk menceritakan perkara ini. Sekurang-kurangnya apabila ada pihak lain atau wartawan yang datang untuk interview saya atau mendapatkan pengesahan daripada majikan, mereka telah sedia maklum akan perkara ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Encik Ahmadsur yang benar-benar membantu saya. Nampaknya saya lebih tenang untuk meneruskan urusan kerja. Saya akan pastikan urusan kerja ini menjadi sebahagian daripada cabaran saya selain cabaran untuk mendermakan hati kelak.

Ahmad Khariri

Ketika sampai sahaja di rumah, kedua-dua anak gadis saya melompat-lompat mendapatkan saya. Di tangan mereka kelihatannya ada surat khabar yang hampir remuk. Barangkali mereka juga telah melihat gambar abah mereka ini di dalamnya. Jangkaan saya tepat apabila Aina memberikan surat khabar yang memaparkan cerita berkaitan adik Atiqah ini. Sememangnya ibu akan membeli surat khabar setiap hari apabila ke kedai. Ibu hanya membaca cerita-cerita yang menarik perhatian terutama cerita masalah masyarakat atau politik terkini. Walaupun ibu tidak minat kepada politik namun beliau gemar untuk memberikan ulasan apabila berbual-bual dengan kami sekeluarga. Ada sahaja yang akan dimarahinya kerana permainan politik ini terlalu kotor dan jahat katanya. Ibu akan menceritakan kepada kami bagaimana Allahyarham abah pernah menyuarakan untuk bertanding dalam pilihanraya setahun sebelum beliau mengalami kemalangan dan meninggal dunia. Kepetahan Allahyarham ketika menyampaikan ceramah membuatkan ramai sahabat beliau yang mengesyorkan agar beliau masuk bertanding sebagai calon wakil rakyat.

Bersambung …


Spread the love

61 Comments

  1. Apa tindakan majikan beliau, apabila saudara Khariri sudi menderma hati, kalau majikannya tegas dlm hal ini, pasti saudara Khariri akan kehilangan pekerjaa, ini akan menyulitkan dan membebankan perjalanan hidup beliau.
    Curahan rasa sensasi2020 @ ..iphone 5 Gadget ImpianMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!