Kisahnya Secebis Hati part 11

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, ini part ke-11 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Bagi yang belum baca episod awal Part 1 hingga 10 yang telah dipublish sebelum ni bolehlah KLIK SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sessi Motivasi berkongsi pengalaman dan kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Ahmad Khariri Al-Hadi

Seperti yang dijanjikan, jam 2.45 petang beberapa orang wartawan media cetak dan media elektronik beserta krew telah sedia menanti di wad yang menempatkan adik Atiqah. Ada seorang rakan media yang saya kenali. Saya memberikan senyuman dan bersalaman dengan mereka. Dalam ramai-ramai wartawan ini, kelihatan seorang wartawan jelita daripada stesyen televisyen swasta. Tidak sangka dapat berjumpa secara live dengan beliau. Berubah sekali wajahnya di kaca televisyen. Jika di televisyen beliau nampak lebih cantik berbanding secara live. Mungkin kerana solekan yang tebal ataupun cahaya lampu yang ‘menipu’ penonton. Jarak saya dengan beliau hanya 5 meter sahaja. Saya berharap beliau memandang ke arah saya namun sayangnya beliau agak sibuk dengan krew beliau untuk sesi wawancara ini. Saya bukanlah peminat beliau tetapi sekadar ingin melihat beliau secara berdepan, itu sahaja!

Krew-krew dari media cetak dan media elektronik telah bersedia dengan kamera masing-masing untuk merakamkan sesi wawancara pada petang ini. Kalau tidak silap, ada lebih kurang 15 orang rakan media yang bersama-sama pada petang ini. Sebagai peminat kamera DSLR, saya sememangnya teruja apabila melihat kamera-kamera yang berharga puluhan ribu ini. Saya pasti lensenya juga berharga lebih kurang sama dengan harga body kamera tersebut. Satu masa dahulu saya pernah memiliki kamera seperti ini namun hanya yang basic. Kamera jenama NIKON ini saya beli dengan harga RM 2700 dan hayat kamera itu berakhir di Pulau Pangkor apabila saya terjatuh ke dalam laut dan kamera itu turut serta ‘menyelam’ air masin. Sejak daripada itu saya hanya menyimpan ‘dendam’ untuk memiliki kamera seperti ini semula namun tidak tahu bila impian ini bakal terkabul.

Adik Atiqah dan kedua ibu bapa beliau telah bersedia untuk diwawancara. Katil dan keadaan sekeliling dikemas agar nampak menarik. Saya menyendiri di belakang para wartawan tersebut. Saya fikir biarlah saya di sini terlebih dahulu kerana tiada keperluannya saya di sisi katil adik Atiqah. Kelihatan beberapa orang Jururawat dan keluarga pesakit di wad ini yang turut serta menyaksikannya. Barangkali mereka terkejut apabila secara tiba-tiba pada hari ini wartawan berkumpul di wad kanak-kanak PPUM ini. Jika sebelum ini hanya pelawat yang menziarahi adik-adik yang sedang mendapatkan rawatan di sini namun pada petang ini suasananya berubah dan nampak ‘meriah’ sekali. Ada yang sengaja lalu lalang di hadapan kamera agar kelibat mereka itu disedari dan dirakam. Mana tahu mungkin mereka berpeluang untuk muncul di surat khabar mahupun kaca televisyen secara percuma! Saya tersenyum sahaja melihat gelagat-gelagat mereka sambil melihat beberapa papan tanda di dinding dan yang paling menarik perhatian saya ialah papan tanda ‘Dilarang Menangkap Gambar’!

Encik Sharif dan isteri beliau diminta untuk memberikan beberapa aksi memegang adik Atiqah. Sekejap adik Atiqah dipegang, sekejap diletakkan di katil. Kasihan pula saya melihat beliau di ‘arah’ berbuat begitu. Walaupun niatnya baik namun seperti ada yang tidak kena dengan cara mereka mewawancara seorang kanak-kanak yang sedang sakit. Sejak dari awal tadi adik Atiqah nampak tidak selesa dengan kehadiran ramai orang di sekeliling beliau. Adik Atiqah merengek-rengek apabila ada beberapa orang wartawan yang berdekatan beliau.

Walaupun jarak saya dengan adik Atiqah adalah dalam 15 meter namun masih kedengaran suara kecil adik Atiqah di celah-celah mereka ini. Cahaya lampu daripada kamera juga membuatkan wad ini seperti lokasi penggambaran yang sedang berlangsung. Mungkin ada di antara penghuni wad ini yang kurang senang dengan suasana begini namun mereka hanya melihat dan menjaga anak-anak mereka yang sedang sakit. Mungkin juga mereka terfikir, mengapa hanya adik Atiqah sahaja yang diambil perhatian? Barangkali ada beberapa keluarga pesakit yang tidak mengenali adik Atiqah kerana mereka tidak berkesempatan membaca akhbar semalam. Sibuk dan penat menjaga anak-anak mereka sendiri dan tidak berkesempatan ‘menjaga’ anak orang lain.

Kelihatan beberapa orang doktor datang untuk merawat kanak-kanak di wad ini. Personaliti doktor ini sememangnya menarik perhatian saya. Dengan beruniform putih dan stetoskop yang tersangkut di leher masing-masing nampak hebat kerjaya tersebut. Ada yang nampak muda dan ada yang nampak seperti seorang doktor ‘senior’. Mungkin juga ada dikalangan doktor-doktor ini yang merawat adik Atiqah.

Mereka juga nampak seperti terkejut dengan situasi ini. Mereka berhenti dan melihat wawancara ini di hadapan saya sambil berbual-bual perlahan. Takut kedengaran suara mereka dan mengganggu pula. selama beliau berada di PPUM ini. ‘Rugi tidak dapat enterframe!’ barangkali itu yang difikir oleh doktor-doktor tersebut.

Sedang Encik Sharif diwawancara, beliau memanggil nama saya. Saya yang pada mulanya bersandar di dinding tiba-tiba terkejut nama saya dipanggil seseorang. Saya cuba menjengah siapa yang memanggil nama saya. Dari celah-celah wartawan dan krew media, Encik Sharif melambai ke arah saya seperti minta saya ke hadapan bersama beliau. Ada beberapa wartawan yang terkejut kerana tidak menyangka orang yang dari tadi berdiri senyap di belakang mereka rupa-rupanya adalah bakal penderma hati kepada adik Atiqah. Saya memberikan isyarat tidak mahu ke hadapan namun dipaksa oleh beliau juga. Ada juga wartawan yang memanggil saya. Mereka memberikan laluan untuk saya. Kelihatan beberapa orang keluarga pesakit, jururawat dan doktor di wad ini memandang ke arah saya seolah-olah saya adalah ‘pesalah’. Tiba-tiba saya malu sangat. Bukan malu kerana terpaksa berhadapan dengan pihak media tetapi kerana dikelilingi oleh orang-orang yang saya tidak kenali dan secara tiba-tiba mengenali saya!

Tiba-tiba kaki ini menjadi lemah apabila melintasi para wartawan dan pengunjung di wad ini. Saya rasakan seperti berjalan di karpet merah untuk menerima ‘Grammy Award’! semua mata dan kamera tertumpu ke arah saya.

Bersambung …


Spread the love

40 Comments

  1. kesian adik atiqah, derita dengan penyakitnya, dikerumuni wartawan pula dan membuat keadaannya tidak selesa…

    Saudara Ahmad Khairi memang seorang yang mulia..tak perlu lah segan dikelilingi orang tak dikenali…biar lah semua orang tahu yang saudara ikhlas menderma hati kepada adik atiqah…

    Bestnya jalan cerita…penuh nilai murni dan pengajaran cerita ini…

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!