Zikir dan selawat mana yang lebih tinggi ganjarannya?

Terdapat banyak ibadah yang disyariatkan dilakukan sama ada ia adalah yang wajib atau yang sunat, semuanya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam masa yang sama, ia adalah untuk meningkatkan iman serta menambahkan ganjaran tidak kiralah di dunia ataupun yang lebih utama adalah untuk saham akhirat kelak.

Antara ibadah sunat yang digalakkan dilakukan dan senang untuk dilazimi adalah dengan memperbanyakkan zikir dan selawat.

Selain daripada dilakukan selepas solat, kita boleh membasahi bibir dengannya tidak kira masa sama ada ketika sedang bekerja, sedang menolong ibu melakukan kerja rumah, memasak dan sebagainya.

Namun, antara zikir dan selawat; kadang-kadang ada segelintir dari kita yang terkeliru dan lebih suka untuk memilih melazimi salah satunya sahaja.

Ada orang yang lebih suka berzikir dan ada orang yang lebih suka berselawat.

Jadi, timbul persoalan di sini; antara kedua-duanya, manakah yang lebih tinggi ganjarannya dan lebih elok diutamakan?

Beza Zikir Dan Selawat

Jika kita melihat kepada maksud kedua-duanya, yang menyamakannya adalah masing-masing untuk menambahkan rasa cinta dan ingat kepada Allah.

Selawat adalah perkataan Arab yang jama’ (gandaan) bagi solat yang membawa maksud doa atau pujian.

Selawat itu berbeza pada jenisnya, iaitu selawat Allah, selawat para malaikat dan selawat orang muslim.

Selawat orang muslim adalah doa untuk memohon supaya Allah menambahkan kemuliaan, melimpahkan rahmat dan kepujian kepada rasul kita, iaitu Muhammad SAW.

Maksud: “Dari Abdullah bin ‘Amr RA, Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, barangsiapa berselawat kepadaku dengan satu selawat, maka Allah akan berselawat kepadanya dengan sepuluh selawat. (Hadis Riwayat Muslim, no. 384)

Manakala, erti zikir pula adalah ingat. Ia bermaksud, setiap perkara yang dilakukan adalah dengan tujuan mengingati Allah sama ada menerusi hati, ucapan mahupun perbuatan.

Maksud: “Daripada Abu Musa RA, Baginda SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6407)

Apabila dilihat pada kenyataan yang diberikan menerusi Mufti Wilayah Persekutuan, selawat dan zikir merupakan ibadah yang disyariatkan untuk dilakukan.

Kesimpulan

Kedua-duanya adalah amalan yang baik dan perlu dilazimi. Bahkan, ulama berpendapat bahawa selawat itu adalah sebahagian daripada zikir.

Dalam kita berdoa, semestinya kita meminta kepada Allah. Maka, ia adalah termasuk kepada perbuatan kita mengingati Allah dalam bentuk doa.

Tiada dalil yang menyebut perbandingan di antara keduanya. Justeru, kedua-duanya boleh diamalkan pada bila-bila masa.

Wallahu a’alam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan , Tzkrh

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!