“Tidak bahagia bila bertudung?”, Antara hipokrit dan melawan hawa nafsu

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setiap kali terbacakan kisah wanita Muslimah yang memilih untuk membuka tudung, saya teringatkan satu peristiwa yang pernah menggegarkan dunia. Kisah Hoda Shaarawi (Presiden pertama Egyptian Feminist Union), yang membuka tudung di khalayak ramai di Dataran Tahrir pada tahun 1923.

Tindakan beliau itu mengejutkan ramai pihak, malah ada juga pemikir feminis lain seperti Malak Hafni Nasif yang tidak menyetujui tindakannya.

Usaha-usaha beliau memartabatkan hak wanita terutamanya dari sudut pendidikan secara umumnya amatlah dipuji, namun pasti ada sesuatu yang terjadi pada beliau, yang telah mencetuskan tindakannya untuk membuka tudung di khalayak. Begitu juga kes terbaru melibatkan Rahaf al-Qunun yang kini masih hangat dibahaskan di peringkat antarabangsa.

Mengapa Islam Menekankan Keperluan Berhijab Bagi Wanita?

Kami terbaca akan artikel berhubung keputusan seorang artis membuka tudung. Setiap akhbar membawakan tajuk yang berbeza untuk menarik pembaca. Kami amat menghormati keputusan beliau. Alasannya yang sempat kami lihat di dada akhbar dan temubual adalah berkenaaan kebahagiaan diri sendiri serta hanya mahu menjadi diri sendiri.

Cuma, seringkali alasan ini digunakan oleh mereka yang berkenaan tanpa memahami maksud sebenarnya. Kata kuncinya adalah bahagia dan hipokrit. Benarkah sedemikian?

Mungkin ada yang sinis dan memikirkan jawapan kami adalah jawapan yang klise. Kami nasihatkan, baca terlebih dahulu dengan hati yang lapang. Dalam Islam, setiap suruhan dan larangan-Nya, pasti ada hikmah yang tersembunyi untuk diteladani oleh umat Islam.

Apabila kita menamakan diri kita sebagai Muslim, maka kita perlu menyedari bahawa terkandung padanya tanggungjawab yang besar untuk menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Ini sebagaimana pengertian “Islam” dari sudut bahasa iaitu tunduk, patuh, atau berserah diri.

Apabila Allah mengharamkan syirik dan kekufuran, Allah juga mengharamkan wasilah-wasilah yang boleh sampai kepada keduanya. Apabila Allah mengharamkan arak, Allah juga mengharamkan wasilah-wasihat yang boleh sampai kepadanya. Dan bagi setiap pengharaman itu, ada pelbagai alternatif lain yang disediakan oleh Islam.

Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan yang bukan mahramnya adalah satu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini adalah berdasarkan firman-Nya:

يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 59)

Dalil wajibnya menurut aurat daripada pandangan yang bukan mahram juga dapat difahami daripada firman Allah SWT:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (Surah al-Nur: 30-31)

Aurat wanita Muslimah juga disepakati oleh ulama Syafi’iyah adalah seluruh badan kecuali wajah dan kedua telapak tangan.

Antara Hipokrit dan Melawan Hawa Nafsu

Hipokrit atau nifaq (اَلنِّفَاقُ) berasal dari kata نَافَقَ-يُنَافِقُ-نِفَاقاً ومُنَافَقَةً yang diambil dari kata nafiqa’ (النَّافِقَاءُ). Hipokrit secara bahasa bererti salah satu lubang tempat keluarnya yarbu’ (sejenis tikus) daripada sarangnya, di mana jika ia dicari dari lubang yang satu, maka ia akan keluar dari lobang yang lain. Dikatakan pula, ia berasal dari kata nafaq (النَّفَقُ) iaitu lubang tempat bersembunyi. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/98)

Dalam Islam, setiap usaha untuk terus konsisten dalam mengamalkan syariat-Nya akan diberikan pahala. Cuba kita tanyakan kepada diri, “Jika benar kita ingin menjadi diri sendiri, mengapakah apa yang kita inginkan itu berlawanan dengan tuntutan-Nya?” Adakah itu benar-benar kemahuan iman atau hanya hawa nafsu?

Tidak dinafikan bahawa melawan dan mengawal hawa nafsu adalah satu perkara yang besar dan sukar dilakukan. Ini kerana, ia memerlukan usaha yang tinggi bagi mengawal hawa nafsu tersebut agar tidak terjerumus ke lembah maksiat.Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT.

Objektifikasi Wanita dan Hikmah Bertudung

Islam begitu memelihara hak wanita untuk dilindungi dan dipelihara sebaik-baiknya. Oleh kerana itulah turun firman-Nya dalam Surah al-Ahzab: 59 dan Surah al-Nur: 30-31. Ia adalah sebagai satu panduan kepada Muslimah untuk tampil berbeza dari yang lain dan bangga dengan identiti yang telah menjadi kod etika pemakaian buat dirinya.

Satu bentuk pemahaman yang kurang tepat apabila menghubungkan tujuan pemakaian tudung dengan wanita sebagai objek seksual. Itu adalah satu penghinaan kepada mereka yang memilih untuk bertudung. Bahkan, pemakaian tudung adalah sebahagian daripada pelaksanaan perintah menutup aurat oleh Allah SWT.

Mungkin ada yang berhujah bahawa menutup aurat juga tidak menjamin keselamatan wanita daripada gangguan seksual dan kes-kes lain yang lebih berat seperti dirogol. Kami tidak menafikannya malah amat bersetuju. Cuma, tidakkah ia adalah kerosakan sampingan (collateral damage) akibat rangsangan nafsu lelaki yang melihat tubuh badan wanita lain?

Justeru, tidakkah ia hujah yang sangat ampuh bagi Muslimah untuk bertudung menutup aurat sebagai mematuhi perintah Allah SWT dan memelihara dirinya daripada pandangan yang jahat?

Mengisytiharkan Maksiat Diri

Perbuatan mengisytiharkan (mujaharah) maksiat iaitu melakukan maksiat secara terang-terangan adalah di antara dosa besar yang dicegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya. – Riwayat Al-Bukhari (6069)

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang mewar-warkan maksiat ataupun melakukannya secara terang-terangan ini terkecuali dari mendapat ‘aafiyah daripada Allah S.W.T. Golongan al-mujahirun ini terbahagi kepada dua bahagian seperti berikut:

Pertama: Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka.

Kedua: Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi. Kemudian dia pergi menceritakan dosa yang telah dilakukan kepada orang lain.

Lelaki Juga Perlu “Menghijabkan” Pandangan

Kita tidak cenderung kepada kelompok yang hanya menyalahkan wanita dalam isu ini dan membiarkan lelaki. Dalam hal wanita yang mendedahkan aurat, lelaki juga berperanan untuk menundukkan pandangan dan bukannya mengecam dengan kata-kata nista atas dosa yang dilakukan wanita berkenaan.

Inilah yang ditegaskan dalam Islam. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan syariat-Nya.

Apa yang dikemukakan di sini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Artikel ini lebih kepada muhasabah bersama dalam berhadapan dengan isu sebegini. Emosi, nafsu dan iman senantiasa akan berlawanan dalam diri manusia.

Oleh itu, rujuklah mereka yang lebih arif dan berpengalaman terutamanya para ulama’ yang sudah pasti pertimbangannya adalah al-Qur’an dan al-Sunnah.

Ingatlah bahawa manusia sentiasa tersalah, namun sentiasa meneruskan kesalahan bukanlah sifat yang sewajarnya ada pada seorang Muslim.

Semoga kita sama-sama dapat menginsafi kekurangan diri dan sentiasa berubah untuk menjadi Muslim yang lebih baik dari semasa ke semasa.
MuftiWP


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!