Terlupa bayar zakat fitrah, apa yang perlu dibuat?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam kegembiraan membuat persiapan hari raya, dalam kesibukan sambut hari raya, mungkin ada yang telah terlupa menunaikan zakat fitrah. Ada yang hanya teringat bahawa masih belum menunaikan zakat fitrah, setelah masuk waktu Maghrib pada petang hari raya pertama.

Apakah yang patut dilakukan? Kerana ada pandangan menyatakan zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum solat raya Aidilfitri didirikan. Selepas itu sudah dikira sedekah biasa.

Zakat fitrah amat besar kesannya dalam kehidupan kita, khususnya memenuhi keperluan jiwa seseorang yang berpuasa.

Ibnu Abbas menyatakan:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah (dengan tujuan) untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberi makanan kepada orang miskin.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Cuba lihat, apabila kita berpuasa, maka kita diwajibkan menahan makan dan minum selama berjam-jam. Maka kita dapat merasai sendiri betapa peritnya orang-orang fakir dan miskin menahan lapar.

Maka, zakat fitrah yang difardukan adalah pelengkap kepada puasa tersebut. Ini kerana, andai kita insaf betapa deritanya para fakir miskin, maka berkongsilah sedikit harta dengan mereka agar terangkat sedikit derita. Inilah roh zakat fitrah di sisi Ramadan.

Atas dasar itulah, dalam perbahasan fiqh, zakat fitrah itu boleh dilunasi lebih awal daripada waktu wajibnya. Memanglah masa wajib zakat fitrah, adalah selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan dan sebelum mendirikan solat aidilfitri, itulah waktu yang paling utama di sisi Allah; namun tidak pula menjadi kesalahan andai kita bertindak menyegerakannya.

Maka, dalam hal ini para fuqaha telah membahagikan waktu menunaikan zakat fitrah kepada empat fasa:

1. fasa harus bermula satu Ramadan
2. fasa wajib bermula terbenamnya matahari sehingga terdirinya solat sunat aidilfitri
3. fasa makruh selepas mendirikan solat aidilfitri
4. fasa haram selepas terbenamnya matahari satu Syawal, yakni masuknya dua Syawal.

(Rujuk buku Zakat Terapi Kekayaan, hal. 395).

Andai kata ada yang sudah terlupa, dan hanya teringat selepas terbenamnya matahari satu Syawal, maka pada waktu itu sudahpun melewati waktunya dan pastilah hukumnya haram dan berdosa.

Samalah orang yang melewatkan solat fardu sehingga melewati batas waktunya tanpa uzur, maka jelaslah berdosa orang berkenaan.

Namun, itu tidak bermakna kita tidak wajib mengqadakannya. Dalam hal ini, hendaklah dengan segera mengeluarkan zakat fitrah tersebut, walaupun sudah masuk waktu haram. Kala itu, zakat fitrah saudara sudah dianggap sebagai qada di sisi Allah SWT.

Agihan zakat dapat dilakukan dengan berkesan kepada asnaf jika bayaran zakat diserahkan kepada para amil yang dilantik.

Inilah keindahan Islam, ibadat yang dianjurkan kepada kita adalah satu bentuk disiplin yang jika ditaati mampu membentuk keperibadian dan akhlak yang cantik di sisi manusia, apatah lagi di sisi Allah SWT.

Ini kerana, setiap amalan ada batas waktunya yang tersendiri, sama ada solat, zakat, puasa dan haji.

Kita wajib solat bila masuk waktunya, wajib zakat bila sampai tempoh haulnya, wajib puasa hanya pada Ramadan sahaja dan wajib haji hanya pada musim haji sahaja. Kita tidak boleh menukarkan waktunya, mengikut kalendar dan kehendak hati kita, dan inilah disiplin namanya.

Oleh itu, hendaklah kita semua lebih berhati-hati pada hari mendatang. Jangan sampai terlepas lagi waktu berzakat ini. Bayangkan, andai kita terlepas pesawat untuk terbang ke luar negara kerana kelalaian sendiri, sedangkan harga tiketnya ribuan ringgit, pasti sahaja kita terasa betapa ruginya diri.

Demikianlah juga dalam hal ibadah, setiap kelalaian akan mengakibatkan kerugian. Lebih malang jika kita tidak sempat pula menggantikannya, kerana ia kelak akan menjadi hutang di sisi Allah SWT.

Menurut fuqaha, hutang di akhirat hanya dapat dilunasi dengan pahala. Maka, banyak manakah pahala kita untuk melunasinya. Andai pahala sudah habis, maka apa lagi modalnya.

Maka, qadalah amalan yang terhutang di dunia, demi mengelakkan hutan akhirat yang melanda. Wallahua’lam.
-KZM-


Spread the love

4 Comments

  1. Banyak kemudahan membayar zakat termasuk zakat fitrah disediakan pihak berwajib untuk kemudahan pengguna – termasuk bayar atas talian. Malah kempen & promosi (offline/online) bayar zakat kerap dilaksanakan. Kesibukan & tidak sempat mahupun lupa adalah alasan yg tidak relevan lagi – masa kini. Gunakanlah sebaiknya ;).
    Curahan rasa Airinaa @ ..Blogger Image Gallery Lightbox with Caption by Magnific JsMy Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!