Tangisan ahli neraka yang dahsyat

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Dalam setiap umat Islam hukumnya wajib mempercayai adanya Syurga dan Neraka, bahkan di dalam Al Quran ada disebut bagaimana keadaan dan kehidupan di dalamnya. Kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara, yang selamanya adalah di hari akhirat kelak.

Mohon seminit LIKE page baru kami yang penuh dengan ILMU untuk jadi top 10 Malaysia! Klik Sini

Kisah penjenayah dipenjara memiliki gelaran paling buruk yang diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka. Ada digelar si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas banduan ini.

Kalau pun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah ALLAH nanti? Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar?

Apakah kita boleh mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Setiap perbuatan kita baik dan buruk sudah pastinya Malaikat Raqib dan Atid mencatatnya tanpa ada kurang sedikit pun.

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. ( Surah Ali Imran : 104 )

Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah ALLAH SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa?

Jawapannya adalah firman ALLAH bermaksud:
“Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. ALLAH Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.

Manusia lupa, manusia alpa. Ada manusia yang ingin menentang hukum ALLAH. Yang perempuan hendak jadi lelaki, terbuka aurat sana sini. Yang lelaki hendak jadi perempuan bergelek sana sini.

Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?

Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, ayat 107)

ALLAH menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada ALLAH .

Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Balasan ALLAH sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!