Sultan Muhammad V letak jawatan Agong

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

SULTAN Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa, hari ini.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi Istana Negara, hari ini.

Sebelum ini, tular pelbagai cerita kononnya Sultan Muhammad V melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Laporan itu turut mendakwa satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja kononnya membuat keputusan meminta Yang di-Pertuan Agong berhenti secara terhormat jika tidak mahu disingkir daripada jawatan itu sebelum 9 Januari ini.

Berikut merupakan kenyataan penuh Istana Negara:

Bagi menjujung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, dengan ini lstana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuatkuasa 6 Januari 2019 (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras dengan Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-raja.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, Baginda telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja yang telah memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV bermula 13 Disember 2016.

“Baginda juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah memberi kerjasama dalam mentadbir negara. Selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Baginda amat berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang telah dicurahkan kepada Baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaufat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.” 

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara hari ini.

Dalam kenyataan itu, turut dinyatakan bahawa baginda berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kerjasama mentadbir negara dan berharap rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan.

https://www.facebook.com/denaihatinews/photos/a.1050532805116100/1133255093510537

Biodata Agong, Sultan Muhammad V.

– Baginda diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

– Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

– Baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

– Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan mendorong baginda berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga 1989.

– Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

– Tanggal 24 Mei 2009, baginda dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

– Pada 13 September 2010 baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

– Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada 2016, Majlis Raja-Raja melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15, berkuat kuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

– Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat mencemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

– Baginda turut membabitkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

– Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

– Selain aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa.

– Baginda berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu Persatuan Menembak Kelantan; Yayasan Sultan Kelantan (YSK); Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan, Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM); Persatuan Bulan Sabit Merah; Persatuan Sukan Berkuda; Persatuan Motor 4 x 4; Persatuan Memanah.

– Baginda dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor – Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan – April 2011)., D.K. (Johor – 2011)., D.K. (Perak – Julai 2011)., D.K. (Perlis – Oktober 2011)., D.K. (Kedah – Mac 2012)., D.K.(Terengganu – November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017).

sumber : bharian, hmetro, Mkini


Spread the love

15 Comments

  1. Rata-rata rakyat semua terkejut dengar berita ni. Tapi kita tak tahu apa yang DYMM rasa. Mungkin ada reason sendiri. Kita doakan yang baik-baik. Insyallah.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!