Seronok bermain mercun. Apa sebenar hukumnya?

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Sesungguhnya Allah sahajalah yang berhak mendapat pujian setinggi-tinggiNya. Ucap syukur atas segala nikmat yang diberikan.

Pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menghitung segala tindakan dan kelakuan kita agar sentiasa mengikut segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah SWT.

InsyaAllah pada hari esok kita akan menyambut hari raya Aidilfitri bersama walaupun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ingat, kekal sahaja di rumah dan jangan cuba-cuba untuk balik kampung untuk menyambut perayaan di sana.

Baca: PKPB: Polis dan ATM akan periksa rumah ketika hari raya

Di musim hari raya, tidak akan terlepas daripada bermain mercun. Di hujung Ramadhan, sudah kedengaran anak-anak kita akan meraikannya dengan bermain mercun.

Definisi Mercun

Mercun ialah sejenis perkakas letupan kecil yang direka terutamanya untuk menghasilkan bunyi bising yang amat kuat, terutamanya dalam bentuk dentuman kuat; apa-apa kesan visual turut bersampingan dengan tujuan ini. Mercun mempunyai sumbu dan dibalut dengan longsongan kertas yang sangat tebal agar dapat menampung letupan besar. Mercun, serta bunga api kini dipercayai berasal dari China.

Budaya

Mercun secara umumnya digunakan semasa pesta ataupun cuti perayaan, seperti Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat, Deepavali, Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Mercun juga digunakan oleh masyarakat Vietnam semasa Hari Raya Tet terutamanya pada tengah malam Giao Thua (Malam Tahun Baru). Mercun dipercayai kononnya boleh menghalau semangat jahat serta menarik dewa kekayaan ke pintu rumah.

Hiburan Dalam Islam

Islam pada prinsipnya membenarkan umatnya untuk berhibur tetapi dalam batasan yang meraikan maslahat dan menjarakkan daripada mafsadah. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam Al-Halal Wa al-Haram Fi al-Islam telah menyebut beberapa bentuk hiburan yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dengan panjang lebar.

Hukum Mercun

Berdasarkan kepada banyak nas, kami mendapati bahawa hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan. Antara asas dan dalil pengharaman tersebut ialah:

Pertama: Ia Amat Berbahaya

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (Surah al-Baqarah: 195)

Zahir ayat ini jelas menunjukkan agar kita jangan mencampakkan diri kita dalam perkara yang boleh merosak dan membinasakan. Antara bahaya mercun ialah:

Bahaya pada diri sendiri, bahaya kepada orang lain, bahaya pada jiran tetangga, boleh menyebabkan kebakaran dan kerosakkan harta benda.

Kedua: Memberi Mudarat Kepada Orang Lain

Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan. [Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)]

Ketiga: Berlaku Banyak Pembaziran

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan (Surah al-Isra’: 27)

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. [Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475]

Keempat: Wajib Menghormati Jiran Dan Tetangga

Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. [Riwayat Bukhari (6475) dan Muslim (47)]

Dengan bermain mercun kadang-kala menggangu jiran tetangga yang sepatutnya kita hormati hak dan privasi mereka.

Kelima: Menyusahkan Ramai Orang

Dengan sebab bermain mercun yang kadang-kadang membawa kepada kecederaan atau kerosakan harta benda seperti terbakar dan lain-lain sudah tentu akan menyusahkan orang ramai dan banyak pihak.

Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tanganya. [Riwayat Bukhari (10) dan Muslim (41)]

Ibn Battal Rahimahullah berkata: Maksud dengan hadis ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain. [Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/38]

Keenam: Pencemaran Bunyi

Ini kerana dentuman mercun terkadag-kadang melahirkan gempa sehingga menyebabkan sebahagian orang terkejut, terperanjat dan tersentak disebabkan oleh bunyi tersebut.

Kanak-kanak yang sedang tidur akan merengek dan menangis. Begitu juga imam dan makmum yang sedang asyik solat terawih dan berqiyam boleh jadi tersasul dan terkejut dengan bunyi yang kuat itu.

Pengharaman Mercun

Secara umumnya, semua mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan berkuasa rendah. Terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran.

Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya Melayu-Muslim semasa musim perayaan Hari Raya.

Kes kecederaan walaubagaimanapun semakin meningkat apabila mereka beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh.

Jaga diri kita, anak-anak kita dan ahli keluarga kita.

Sumber: Mufti Wilayah


Spread the love

2 Comments

  1. permainan yang menyeronok tetapi membazir dan juga berbahaya..

    lebih elak dan jauhi.

    selamatkan duit dan juga diri sendiri

  2. Sebelum main atau beli mercun, bayangkan duit RM50 ada 10 keping lepas itu anda bakar satu per satu, mesti rasa sayang kan…

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!