Segala Aktiviti Masjid Di Selangor Tangguh Sehingga 31 Mei 2020

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Satu kenyataan dari Majlis Agama Islam Selangor telah dikeluarkan di laman sosial Facebook mereka iaitu mengenai KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR BERHUBUNG MAKLUMBALAS TERKINI ANCAMAN WABAK COVID-19 DI NEGERI SELANGOR

Pada 13 April 2020, satu Mesyuarat Khas telah diadakan atas titah D.Y.M.M. Sultan Selangor bersama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklum balas terkini berhubung ancaman wabak Covid-19 di Negeri Selangor.

Berikutan dengan itu saya telah dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor untuk mengeluarkan Kenyataan Rasmi seperti berikut: –

Melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di seluruh Negeri Selangor, D.Y.M.M. Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap 6.5 juta penduduk Negeri Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh. Baginda berharap tidak ada lagi rakyat Negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Bagi mengurangkan jangkitan wabak berbahaya itu dan sebagai usaha memutuskan rantaian penularannya, Baginda menitahkan supaya langkah-langkah berikut diambil berkuatkuasa serta merta.

1. Demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor, D.Y.M.M. Sultan Selangor dengan berat hati menitahkan agar tempoh penangguhan Solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah di semua Masjid, Surau dan Musolla di Negeri Selangor DILANJUTKAN sehingga 31 Mei 2020. Namun demikian, jika sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

2. Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan Solat Zuhur dan Solat-solat Fardhu serta Solat Sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

3. Setiap rakyat perlulah lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak ini dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial (social distancing).

4. Patuhi peraturan dan arahan Kerajaan serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Baginda menegaskan adalah sangat penting supaya semua perkara-perkara tersebut dipatuhi bagi mengelakkan rakyat daripada berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Sejak akhir-akhir ini juga, Baginda dukacita dengan penyebaran berita-berita palsu (fake news) dan video-video palsu (fake videos) berkaitan wabak ini yang semakin menular. Oleh itu, Baginda mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka fake news yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.

Baginda juga berharap agar rakyat tidak mudah mempercayai dan hendaklah menyemak terlebih dahulu kesahihan setiap berita yang diterima di media sosial.

D.Y.M.M. Sultan Selangor turut menyeru rakyat supaya terus memperbanyakkan doa agar Negeri Selangor dijauhi dari wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.

Baginda mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam dan semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

“DUDUK DI RUMAH, JANGAN BERHIMPUN, HENTIKAN WABAK”

sumber : Majlis Agama Islam Selangor


Spread the love

6 Comments

  1. Dah sampai tahap Sultan sendiri bertitah melalui Kenyataan Rasmi… sangat sedih bila masjid tiada aktiviti seperti biasa hingga bulan Mei ni, bulan puasa pulak tu…

  2. Apa-apa pun logiknya segala aktiviti elok dilakukan selepas raya sahaja. Sudah buat PKP ni, buat kena betul. Hendak buat kali kedua memang akan sukar.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!