Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sedekah setiap Muslim ganjarannya bergantung kepada keikhlasan dan harta yang dimiliki.
Ada Muslim yang bersedekah dengan nilai satu dirham, namun ganjarannya mengatasi orang yang bersedekah seratus ribu dirham kerana ia bersedekah separuh dari hartanya walaupun yang disedekahkan dari segi jumlahnya sedikit namun nilainya sangat besar.
Ada Muslim yang bersedekah seratus ribu dirham, mungkin dari segi jumlahnya banyak namun nilainya kecil di sisinya kerana dia memiliki jutaan dirham yang lain.
Sedekah yang lebih penting adalah kualiti
Dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Satu dirham dapat mengalahkan seratus ribu dirham“. Lalu ada yang bertanya, “Bagaimana boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan, “Ada seorang yang memiliki dua dirham lalu mengambil satu dirham untuk disedekahkan. Ada pula seseorang memiliki harta yang banyak sekali, lalu ia mengambil dari hartanya seratus ribu dirham untuk disedekahkan.” (HR. Nasai No: 2527) Status: Hadis Hasan
Galakan bersedekah tidak hanya kepada orang kaya malah juga kepada orang yang kurang berada kerana sedekah itu tidak akan mengurangi hartanya.
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (HR. Muslim no. 4689)
Sedekah Kepada Ahli Keluarga
Dari Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa’id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda,: “Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu”.(HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih
Amalan bersedekah kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim. Sedekah yang baik ialah sedekah yang diberikan setelah menunaikan kewajiban nafkah keluarga.
Bersedekah yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab keluarga. Firman Allah:
“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (QS. Al Baqarah: 219).
Sedekah kepada keluarga terlebih dahulu lebih diutamakan kerana ganjarannya lebih besar berbanding sedekah kepada orang lain. Maka mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu.
Sedekah Dari Sumber Haram
Dari Musab bin Sa’d dia berkata, “Abdullah bin Umar menemui Ibnu Amir untuk menjenguknya yang saat itu sedang sakit. Ibnu Amir lalu berkata, ‘Tidakkah engkau mendoakanku wahai Ibnu Umar’. Ibnu Umar menjawab, ‘Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak diterima solat tanpa bersuci, dan tidak diterima sedekah dari pengkhianatan (harta haram) ‘ (HR Muslim No: 329) Status Hadis Sahih
Orang yang solat tanpa berwuduk atau bertayamum, tidak akan diterima oleh Allah. Orang yang bersedekah dari harta yang Ghulul (harta haram) tidak diterima oleh Allah.
Ghulul yang dimaksud di sini adalah harta yang berkaitan dengan hak orang lain seperti harta rampasan perang yang dicuri, harta rompakan, rasuah, menipu atau sebarang sumber yang haram.
Sedekah dengan harta yang berkaitan dengan hak orang lain (ghulul), maka Ibnu Rajab menyatakan sedekah tersebut tidak diterima, bahkan ia berdosa kerana telah memanfaatkannya.
Demikian hikmah daripada sedekah yang mudah-mudahan dapat bermanfaat bagi kita sekalian. Perlu menjadi catatan bahawa sepatutnya amal ibadah hanya ditujukan untuk meraih redha ALLAH. Jika itu perintah, maka ada keutamaan atau tidak semestinya tetap kita lakukan agar ALLAH redha kepada kita.
Wallahu’alam.
3 Comments
Banyak kebaikan dan ganjaran yang diperolehi daripada amalan bersedekah ini. Sedekah tidak semestinya dilakukan di waktu berharta. Sedekah menjadi lebih bermakna bila dilakukan dalam keadaan tidak berharta namun mampu menyumbangkannya mengikut kemampuan yang ada.
Curahan rasa Ekin Azhari @ ..Keropok Viral Tok Ma Kekalkan Bahan Segar
artikel menarik untuk dibaca. sedekah penyuci harta. dalam harta kita ada bahagian saudara kita yang lain.
Comments are closed.