Raya dah dekat, ikuti 16 tips penting persediaan sebelum balik kampung

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hanya beberapa hari sahaja lagi untuk semua umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, dan sudah semestinya ramai yang merasa tak sabar untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Pada minggu ini EZTakaful ingin berkongsi tips-tips dan persediaan sebelum anda pulang ke kampung sempena Hari Raya ini agar anda dapat bercuti dengan tenang bersama keluarga tersayang.

1. Servis Kereta

Ini merupakan perkara yang paling mustahak perlu anda lakukan sekiranya anda bercadang untuk memandu pulang ke kampung. Sudah tentu anda tidak mahu kereta meragam atau tersadai di tepi jalan akibat kehabisan air bateri atau tayar pancit. Pastikan juga anda menjadualkan servis kereta dengan awal kerana pada musim perayaan ini, pusat servis kereta sentiasa penuh.

2. Tutup Punca Kuasa Elektrik

Periksa semua suis di setiap sudut di dalam rumah anda dan pastikan setiap plag di cabut dari soketnya. Ini bukan sahaja menjimatkan elektrik malahan dapat mencegah berlakunya perkara yang tidak diingini seperti litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran.

3. Tutup kepala tong gas memasak

Kebanyakan rumah masih memasak menggunakan tong gas silinder. Pastikan anda menutup atau cabut kepala gas agar risiko kebakaran dapat dicegah sewaktu anda pulang ke kampung.

4. Tutup paip air

Periksa semua paip atau pili air di rumah anda dan pastikan ia telah ditutup sebelum anda keluar rumah. Sekiranya rumah anda mempunyai kolah mandi, kosongkan air di dalamnya dan segala tempat yang ada takungan air di dalam rumah dan di luar rumah dibersihkan dan dikeringkan untuk mengelakkan nyamuk aedes dari membiak.

5. Simpan segala barangan berharga di tempat yang selamat

Seboleh-bolehnya simpan segala barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, komputer riba dan lain-lain di dalam peti besi. Jika anda tidak mempunyai peti besi, mungkin boleh menyimpannya di dalam almari yang berkunci atau di tempat yang tidak mudah dijangka oleh perompak yang berkemungkinan memecah masuk ke rumah sewaktu anda tiada.

6. Kunci semua pagar dan pintu

Pastikan semua pintu dan pagar dikunci, dan adalah lebih baik sekiranya pintu mempunyai sistem kunci berganda sekiranya anda tidak mempunyai sebarang sistem penggera keselamatan. Jangan menyimpan kunci di bawah pasu atau di bawah alas kaki dengan alasan takut terlupa membawa kunci apabila pulang dari kampung. Bawa ia bersama anda.

7. Buka lampu dalam rumah

Mungkin anda fikir ia membazir elektrik. kaedah ini sangat membantu! Mungkin anda ingin memasang lampu automatik di mana ia akan terbuka dan tertutup secara automatik mengikut masa yang telah anda tetapkan dengan gunakan timer. Jadi anda tidak perlu risau sekiranya anda perlu meninggalkan rumah untuk jangka waktu yang lama.

8. Bersihkan dan buang sampah

Penting untuk anda memastikan semua sampah di dalam rumah telah dibuang agar tidak reput berulat dan mendatangkan bau yang kurang menyenangkan di dalam rumah.

9. Telefon bimbit dan gajet

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan telefon anda telah dicas penuh kerana dalam perjalanan pulang ke kampung, berkemungkinan berlaku perkara yang tidak diingini dan anda perlu menghubungi pihak yang dapat membantu anda. Boleh juga bawa powerbank dan juga soket pengecas.

10. Jangan lupa bawa baju raya!

Jangan meraung di pagi raya kerana terlupa membawa baju raya! Raya setahun sekali dan ini lah masanya masing-masing hendak menunjuk fesyen baju raya terkini kan? Yang pakai baju tahun-tahun lepas pun tida masalah, pakai saja. Pastikan anda telah siap mengemaskan baju raya anda di dalam beg malam sebelum anda bertolak.

Tip dan peringatan lain untuk balik kampung Hari Raya ini

  1. Patuhi had laju lebuhraya untuk keselamatan keluarga dan elak dari disaman.
  2. Jangan main whatsapp atau text semasa memandu.
  3. Lorong kecemasan hanya untuk kecemasan sahaja.
  4. Pakaikan tali keledar dan gunakan carseat.
  5. Jangan mengekori kenderaan berat dengan terlalu dekat.
  6. Beri perhatian kepada jalan dan kawal stereng kereta dengan kedua-dua tangan.

Yang paling penting, kita semua kena bersabar dengan satu sama lain kerana semua pun nak balik ke kampung dengan selamat dan tanpa kejadian yang tidak diingini.

Berhenti memandu jika mengantuk, bawa bergilir-gilir apabila perjalanan itu jauh.

Pandulah dengan cermat semasa balik kampung Hari Raya ini. Dapatkan rehat yang cukup pada malam sebelumnya dan amalkan sikap toleransi antara satu sama lain. Selamat pulang ke kampung!


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!