Pengumuman pembentukan kabinet dijangka minggu ini

Spread the love

KUALA LUMPUR: Tumpuan minggu ini terarah kepada pengumuman pembentukan kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu dilantik Sabtu lalu.

Ini termasuk pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya Perdana Menteri yang dilantik perlu secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengesahkan keabsahan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Antara yang menjadi perbincangan hangat sejak pelantikan Ismail Sabri ialah, individu yang bakal menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri, malah sama ada jawatan itu akan diwujudkan atau pun tidak, seperti mana ketika penubuhan kerajaan Perikatan Nasional pada awalnya.

Ini termasuk formula pembentukan kabinet sama ada legasi jawatan Menteri Kanan dan pelantikan Senator sebagai Menteri akan diteruskan atau tidak.

Jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri dipecahkan kepada 37 daripada UMNO, Bersatu (31), Pas (18), Gabungan Parti Sarawak (18), Bebas (empat), MCA (dua) dan masing-masing satu daripada MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Namun dengan 50 Ahli Parlimen, Perikatan Nasional merupakan rakan kongsi terbesar dalam pentadbiran Ismail Sabri yang mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen manakala BN mempunyai 42 Ahli Parlimen.

Hubungan antara beberapa pemimpin Bersatu dan UMNO dilihat masih longgar susulan perselisihan faham sesama mereka mengenai jenama kerajaan baharu yang bakal dibentuk itu sama ada mengekalkan jenama Perikatan Nasional atau sebaliknya.

Sementara itu, ramai pihak menggesa agar Ismail Sabri mengumumkan pelantikan kabinet baharu pada kadar segera bagi memastikan agenda pemulihan negara serta cabaran menangani COVID-19 dapat diselesaikan secepat mungkin.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dalam ucapan sulungnya pada Ahad menyatakan negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal dan ia merupakan landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

Justeru itu, beliau menawarkan solusi kerjasama rentas parti untuk mewujudkan kestabilan politik sekali gus menghilangkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Maka dengan itu, Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Pada Sabtu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pelantikan Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, dibuat selepas beliau menerima sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen menerusi surat akuan (SD) yang diserahkan kepada Agong.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Sumber: Awani


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!