Penghina Rasulullah SAW, adakah halal darahnya?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Isu penghinaan kepada Rasulullah SAW dan Ummul Mukminin Aisyah R.Anha adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dibawa main-main. Firman Allah SWT :

Maksudnya: “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: “Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Taubah, 61)

Menyakiti Rasulullah SAW selepas kewafatannya, sama seperti menyakitinya semasa hayatnya. Keimanan kepada Baginda akan menghalang orang mukmin daripada melakukan perbuatan yang akan menyakiti Baginda. Ini adalah dosa dan kederhakaan yang paling besar.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (melakukan perkara yang tidak diredai) Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina..” (Surah al-Ahzab: 57)

Imam Ibn Katsir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.”

Mempertahankan Rasulullah SAW Adalah Kesempurnan Iman

Justeru, setiap umat Islam wajib mencintai Rasulullah SAW kerana mencintai baginda adalah kesempurnaan iman. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dia akan merasai kemanisan iman: seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” Riwayat Bukhari (16) dan Muslim (43)

Antara cara menunjukkan keimanan dan kecintaan ini, seperti mana yang dilakukan oleh para sahabat dan Salaf al-Soleh dengan mempertahankan baginda sekalipun dengan kekerasan.

Daripada Saidina Umar al-Khattab, bahawa pada suatu hari, dihadapkan kepadanya seorang lelaki yang mencaci Nabi SAW. Maka Saidina Umar pun menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Kemudian Saidina Umar berkata:

مَنْ سَبَّ ٱللّٰهَ أَوْ سَبَّ أَحَدًا مِنَ ٱلأَنْبِيَآءِ فَاقْتُلُوْهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencaci Allah, atau mencaci seseorang daripada para Nabi, maka bunuhlah dia.”

Kerajaan Berhak Menangkap dan Menghukum Pencela Rasulullah SAW

Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan menghina Rasulullah SAW. Kesimpulannya, pihak pemerintah mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat dengan menghina Rasulullah SAW sehingga boleh merosakkan kerukunan masyarakat.

Mereka hanya dibenarkan memperkatakan perkara yang baik tentang agama Islam. Jikalau mereka memburuk-burukkan al-Quran, Rasulullah SAW atau mencaci undang-undang Allah, mereka akan dihukum ta’zir.

Hukuman ta`zir itu pada asalnya bermaksud ta`dib (mendidik) penjenayah dan masyarakat. Oleh itu, pihak pemerintah perlu menggunakan kuasa yang diberikan dalam Hukum Syarak ini dengan kebijaksanaan supaya kes-kes seperti ini tidak berulang lagi. Selain hukuman, perkara yang paling penting yang perlu dilakukan pemerintah dan umat Islam, ialah menyampaikan fakta yang sebenar tentang Rasulullah SAW dan menghilangkan syubhat tentang peribadi baginda.

Boleh jadi mereka menghina dan mencaci kerana tidak pernah mengetahui ajaran sebenar Islam dan mendapat berita palsu. Memikirkan kesan atau natijah dari sesuatu pendekatan dakwah atau yang kita sebut sebagai Fiqh al-Ma’al dalam pendekatan hukuman dan dakwah adalah sangat penting.

Oleh itu, dalam konteks Malaysia di mana kita memiliki sistem undang-undang untuk mengekang perlakuan menghina agama Islam, hendaklah kita melaporkan kepada pihak berkuasa apa-apa ucapan, perlakuan dan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina Rasulullah SAW, supaya mereka diambil tindakan mengikut laras undang-undang.

Tidak boleh kita mengambil tindakan sendiri untuk menghukum jika tidak mengikut tindakan undang-undang, apatahlagi dengan kekerasan, kerana boleh mendatangkan bahaya kepada imej Islam, umat Islam dan keharmonian negara, seperti yang disebut “boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai liar dan takut untuk memeluk Islam.”

Semoga penjelasan ini memberikan panduan dan kefahaman kepada penanya.
-MuftiWilayah-


Spread the love

3 Comments

  1. orang yang sanggup menghina agama lain mempunyai hati yang resah dan gelisah..

    mereka mungkin sengnaja dan cuba untuk menaikkan sentimen pemusuhan.

    orang begini wajar ditangkap dan dihukum dengan berat kerana cuba mencetuskan keadaan huru hara dalam masyarakat..

    semoga hukuman tersebut memberi iktibar kepada orang lain supaya jangan berbuat demikian
    Curahan rasa mrhanafi @ ..Cara Menaikkan Energi Getaran ManusiaMy Profile

  2. Apa yang boleh dibuat oleh kita sebagai umat Islam adalah: Pihak yang terlibat dalam bidang agama boleh berjumpa dengannya, ajak berbincang. Jangan marah-marah. Tanya kenapa dia menghina. Kalau sebab kurang ilmu, beri penerangan padanya. Jika sengaja hanya untuk menimbulkan kemarahan Umat Islam…pihak berkuasa patut menghukumnya.
    Curahan rasa ahmadyani @ ..Bisnes Air Balang Vs Katering Air Balang Mana Lebih Bagus?My Profile

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!