Pendakwah Jelas Cara ‘Transgender’ Menunaikan Ibadah Umrah

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Apabila sampai seruan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci sama ada bagi mengerjakan umrah atau haji, tunaikanlah tuntutan itu kerana Insya Allah dengan izin-Nya, semua urusan serta perancangan berjalan lancar.

Siapa yang tidak teringin jika berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun peluang mengerjakan ibadat itu tidak boleh diambil mudah. Tujuan utama ke Tanah Suci Makkah adalah untuk beribadat dan wajib mengikut hukum yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam.

Hukum mengerjakan umrah adalah sama dengan hukum mengerjakan haji iaitu wajib sekali seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan untuk menunaikannya.

Umrah Dari Segi Pengertian

Umrah dari maksud bahasa ialah ziarah. Dari segi syarak pula, adalah bermaksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu semasa menunaikan ibadah haji. Hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.

Dalil wajib umrah ialah seperti pada firman Allah SWT:

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Al-Baqarah: 196)

Dalam pelaksanaan melakukan umrah, terdapat beberapa perbezaan perkara yang dilakukan antara jemaah lelaki serta jemaah wanita. Antaranya ialah sunat bagi jemaah lelaki untuk bercukur iaitu menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Selain itu, ketika melakukan tawaf dan saie yang mana disunatkan bagi jemaah lelaki untuk melakukannya dalam keadaan bersegera namun tidak begitu bagi kaum wanita. Jemaah wanita boleh berjalan seperti biasa baik ketika melakukan tawaf mahupun saie tanpa perlu berlari-lari dan bersesak-sesak.

Meskipun begitu, bagaimana pula dengan golongan transgender? Bolehkah golongan ini menunaikan ibadah umrah? Dan sekiranya boleh, bagaimana caranya?

Seorang penceramah bebas telah mengupas isu ini dan mengatakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi golongan transgander untuk mengerjakan ibadah umrah, selagi mereka mengikuti syarat dan hukum yang telah termaktub di dalam syariat Islam.

Menerusi laman Facebook, Syed Shahridzan telah menjelaskan hukum serta cara-cara untuk golongan transgender yang ingin ke Kota Suci bagi mengerjakan umrah.

Ustaz Syed Shahridzan

Baca perkongsian penuh di bawah:

Tahun lepas saya pernah dihubungi oleh 2 wakil syarikat agensi umrah tanahair, mereka bertanya apakah hukum mereka membawa golongan mak nyah untuk mengerjakan umrah. Ini kerana 2 syarikat ini telah didekati oleh golongan ini untuk menguruskan ibadah umrah mereka.

Respon saya:

  • Hukumnya harus dan mereka layak untuk mengerjakan ibadah umrah selagi mereka muslim. Namun pihak agensi perlu meletakkan beberapa syarat penting yang mana golongan ini WAJIB mematuhinya.
  • Antara syarat yang wajib tunaikan, perserta dari golongan mak nyah wajib mengerjakan umrah berdasarkan hukum asal jantina mereka iaitu lelaki bukan sebagai wanita.
  • Untuk mengelakkan payudara tiruan mereka kelihatan oleh orang awam ketika memakai kain ihram, maka mereka diwajibkan memakai kain bengkung yang tidak berjahit.
  • Mereka bukan sahaja hanya wajib berihram seperti lelaki malah wajib berpakaian lelaki di Mekah dan Madinah demi menghormati kesucian kedua-dua Tanah Haram. Mereka tidak boleh berpakaian seperti perempuan walaupun bertudung atau bertelekung.
  • Golongan mak nyah ini juga wajib mengerjakan ibadah di ruang solat lelaki, begitu juga tandas yang ingin digunakan mestilah tandas lelaki. Bahkan agensi wajib memastikan bilik penginapan mereka tidak boleh bercampur dengan wanita tulen.
  • Jika mana-mana agensi umrah tidak menitik beratkan syarat-syarat tersebut atau membiarkan mereka beraksi sama seperti keadaan mereka di tanahair iaitu seperti perempuan, maka ini bermakna pihak agensi telah bersubahat atas perkara mungkar yang dibiarkan berlaku di tanahsuci. Bagi saya ini satu penghinaan yang dilemparkan ke atas kedua-dua tanah haram yang mulia.
  • Peringatan dari saya kepada pihak agensi jika kelakuan mungkar ini jika tidak dibendung atau dibiarkan ia akan menjadi penyebab reputasi dan nama baik agensi itu tercalar, malah akan menerima kecaman dari orang ramai.
  • Sekarang visa umrah boleh didapati dengan dua cara, samaada visa umrah atau visa pelancong. Jika melalui visa umrah para peserta umrah mesti melalui syarikat agensi umrah yang berdaftar. Manaka visa pelancong tidak wajib melalui agensi bahkan boleh urus dan pergi umrah sendiri. Berita di bawah ini saya tidak pasti metod mana satu yang digunakan oleh peserta umrah ini, samaada ikut agensi atau pergi sendiri.

Wallahu A’lam

Sebagai kesimpulan, tidak salah bagi sesiapa sahaja untuk mengerjakan umrah dan haji kerana tiada halangan dalam beribadat asalkan mengikut hukum yang telah ditetapkan di dalam syariat Islam.

Sumber : seismik, Syed Shahridzan


Spread the love

5 Comments

  1. waalaikumussalam. sebetulnya sungguh benar bagai dikata pendakwah. agensi umrah kena tegaskan kepada tauke kosmetik tu. bukannya lepas tangan T_T

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!