Nasyrul Quran Pusat Cetak Al Quran Kedua Terbesar di Dunia

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam menyusuri kemuncak peradaban dan kerohanian Islamiah, penyalinan mushaf Al Quran menjadi asas pembinaan budaya yang cemerlang. Biar di mana pun Islam melabuhkan sinarnya, disitulah seni mushaf Al Quran berkembang. Bermula di Makkah al Mukarramah, di tanah Arab menyusuri Andalusia di sebelah barat hinggalah ke China di sebelah timur, benua Asia dan ke persada Nusantara.

Budaya penyalinan al Quran telah melahirkan pelbagai gaya tulisan yang unik, indah, dan mempunai ciri-ciri kekuatannya yang tersendiri. Khat Nasakh digunakan secara meluas dalam penyalinan Al Quran walaupun lebih daripada 1000 tahun telah berlalu.

Perkembangan penyalinan Al Quran untuk memperlihatkan penggunaan bahan daripada alam semulajadi seperti handam, ijuk, buluh, duri landak, bulu ayam dan kulit gandum.

Alatan menulis khat
Alatan mewarna motif mushaf Al Quran
Prosedur pembuatan Al Quran Mushaf Malaysia

Seni mushaf dan motif dalam Al Quran

Seni mushaf ini dibangunkan semula pada penghujung abad ke 20, Yayasan Restu adalah antara pelopor yang menyalin Al Quran di Malaysia. Garis panduan yang dikeluarkan oleh Lajnah Resam Al Quran Mushaf Malaysia perlu diikuti.

Al Quran Mushaf Malaysia menggunakan khat Nasakh gaya Hashim Al-Baghdadi dengan tetap mengekalkan lenggok Melayu. Setiap cetakan Al Quran perlu mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan perlu melalui beberapa prosedur percetakan sehingga terhasilnya sebuah Al Quran yang lengkap.

Setiap Al Quran yang dihasilkan di Nasyrul Quran ini akan mempunyai beberapa perkara seperti motif hiasan, iluminasi mengikut negara atau negeri serta warna yang berbeza. Pada peringkat awalnya, mesin cetakan yang mempunyai 4 warna iaitu cyan, magenta, kuning dan hitam akan mencetak di atas sekeping kertas besar yang akan mempunyai 16 mukasurat.

Kemudian ia digabungkan serta dijahit bahagian tepinya mengikut susunan. Setiap setengah jam, pemeriksa kualiti akan memeriksa hasil cetakan dan di dalam sehari, mesin boleh mencetak sehingga 50 ribu ke 70 ribu naskah Al Quran.

Lembaran cetakan Al Quran

Motif hiasan yang dihasilkan adalah berbeza mengikut negara atau negeri.

Sekiranya Kami turunkan Al Quran ini ke atas sebuah gunung,  nescaya engkau melihat gunung itu khusyu serta pecah belah kerana takut kepada Allah.  Dan ingatlah misal misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (Al-Hasyr : 21)

Nasyrul Quran Pusat Percetakan Al Quran terbesar di Malaysia

Nasyrul Quran merupakan sebuah pusat percetakan al-Quran bersepadu utama di rantau Asia Tenggara yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.514 ekar di Presint 14, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kos keseluruhan projek ini adalah sebanyak RM60 juta bagi tujuan pembinaan dan pembelian mesin cetak yang dibantu oleh Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Kompleks ini dibina demi pelaksanaan cita-cita murni Negara bagi memiliki sebuah pusat pengeluaran al-Quran bertaraf antarabangsa dan kedua terbesar di dunia.

Nasyrul Quran diilhamkan daripada perkataan Arab yang bermaksud “Penyebaran al-Quran”. Ia memberikan gambaran fungsi kompleks ini sebagai pusat penyebaran al-Quran bermula daripada bidang penyelidikan, percetakan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan seterusnya pengagihan al-Quran.

Nasyrul Quran yang terletak di Presint 14, Putrajaya
Kilang percetakan Nasyrul Quran, Putrajaya
Dari aras 1 Nasyrul Al Quran

Yayasan Restu latih penulis Khat

Nasyrul Quran ini juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat serta penggemar seni khat dari dalam dan luar Negara. Ia juga bakal menjadi mercu tanda baharu kemajuan syiar Islam kepada Malaysia dan Putrajaya khususnya.

Fasa 1 pembangunan Nasyrul Quran yang meliputi kawasan kilang dan tempat mesin-mesin percetakan telah siap dan akan mula beroperasi. Sememangnya kejayaan fasa pertama bahagian kompleks percetakan al-Quran ini adalah daripada usaha gigih pelbagai pihak, iaitu Kerajaan Pusat, Yayasan Restu dan beberapa jabatan, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Perbadanan Putrajaya yang membolehkan Nasyrul Quran beroperasi sempena tarikh peristiwa Nuzul Quran.

Lawatan daripada Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al Amin

Nasyrul Quran telah dibina ini bukan untuk bersaing dengan negara pencetak lain tetapi merupakan bentuk sumbangan Malaysia dalam mengembang dan memartabatkan kitab suci umat Islam itu di persada dunia. Pengoperasian kompleks itu akan menjamin usaha menampung keperluan Al-Quran di peringkat domestik dan dunia kerana populasi umat Islam dijangka mencecah tiga bilion orang daripada sembilan bilion penduduk dunia pada 2050.

Bagi yang ingin melawat kilang tersebut, digalakkan secara berkumpulan dan emel ke nasyrulquran.nq@gmail.com atau talian Whatsapp sahaja ke 016-7182741.

Semoga usaha dakwah ini akan berterusan dan kita sebagai umat Islam wajib mengamalkan apa yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran.


Spread the love

26 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!