Nasom terima sumbangan RM20,000 hasil jualan gelang tangan

PETALING JAYA: Penerbit filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Multimedia Entertainment pada Rabu menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) bagi menyokong usaha memupuk kesedaran masyarakat mengenai autisme.

Sumbangan itu adalah hasil daripada jualan gelang tangan buatan kanak-kanak autisme di bawah persatuan itu kepada orang awam di beberapa acara tayangan khas dan pameran filem berkenaan sejak 25 Ogos lepas.

Ia disampaikan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Entertainment Datuk Steven Lim kepada Presiden Nasom Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharudin sambil disaksikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Steven berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat syarikatnya dalam usaha menyumbang komuniti setempat.

“Ini adalah usaha daripada kami dalam membantu meningkatkan penerimaan, kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap sindrom autisme,” katanya kepada pemberita sewaktu tayangan khas filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di sini malam tadi.

Sementara itu, Khairy berkata acara malam tadi adalah sebahagian tanda kasih sayang dan penghargaan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak autisme.

“Saya difahamkan gelang tangan yang dihasilkan ini diinspirasikan daripada satu babak filem melalui watak Mejar Adnan yang dilakonkan Datuk Adi Putra yang mempunyai anak autisme.

“Saya juga dimaklumkan malam ini kita semua pakai gelang tangan daripada anak-anak yang diraikan. Saya juga ada anak autisme tetapi tidak dapat hadir kerana dia tiada mood. Jadi, abang dan adiknya wakilkan untuk dia,” katanya.

Tayangan khas itu dihadiri 170 orang termasuk isteri Khairy, Nori Tun Abdullah serta kanak-kanak, ibu bapa dan kakitangan Nasom selain barisan pelakon Aiman Hakim Redza, Nas T, Sara Ali, Iman Corinne dan Carmen Soo.

Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu mengisahkan tentang anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) diketuai Kapten Adib dan mentornya Mejar Adnan, yang bertugas dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, iaitu sebuah negara bergolak.

Filem itu berjaya mencatat kutipan lebih RM28 juta dalam tempoh 21 hari tayangan.

— BERNAMA

2 Comments

Leave a Reply to Geng Borak Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!