Mengumpat yang dibenarkan oleh Syarak?

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Adakah terdapat mengumpat yang dibenarkan oleh syarak?

Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim.

Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujarat ayat (12):

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

BACA: Hukum menyebarkan aib orang lain

Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya.

Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi.

Definisi al-Ghibah (mengumpat)

Definisi bagi mengumpat ini sebagaimana yang diberikan oleh Rasulullah SAW:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” [Riwayat Muslim (2589)]

Mengumpat Yang Dibenarkan

Berikut merupakan nukilan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya. Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:

  1. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  2. Membantu dalam menentang perkara yang munkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  3. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  4. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  5. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 432-433]

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. [Lihat: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173]

Kesimpulannya, mengumpat adalah satu perbuatan yang haram melainkan dengan sebab-sebab yang diizinkan syara’ sepertimana yang telah jelaskan di atas. Selain itu, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia.

Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia. Amin.

Mufti Wilayah


Spread the love

5 Comments

  1. Prinsipnya jika kita tidak tahu jangan sekali-kali mewar-warkan dalam media sosial. Jumpalah orang terbabit, atau maklumkan kepada pihak yang berkenaan jika kita mempunyai isu terhadap seseorang.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!