Malaysia #QuranHour: Pesan kemerdekaan dengan Al-Kahf

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Pada tanggal 30 Ogos 2019 telah berlangsungnya program Malaysia #QuranHour yang mana ia menjadi detik berharga buat sahabat al-Quran semalam. Di samping, ianya dapat menyerikan lagi sambutan kemerdekaan negara pada hari ini.

Program Malaysia #QuranHour telah dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, badan korporat serta warga sekitar Putrajaya dan Selangor.

Mereka menjayakan penganjuran Malaysia #QuranHour di lokasi perdana Masjid Putra Putrajaya bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah hari dengan penuh cinta dan penghayatan terhadap Al-Quran.

Dalam masa yang sama, alunan surah al-Kahf yang bergema di Masjid Putra semalam secara tidak langsung menghangatkan lagi sambutan kemerdekaan di Dataran Putrajaya pada hari ini.

Bezanya, penganjuran kali ini memfokuskan surah al-Kahf untuk dibaca, tadabbur dan tazakkur disesuaikan dengan pesan kemerdekaan berpandukan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah tersebut.

Penganjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Turut yang hadir sama, Pengasas WUIF, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Majlis dimulakan dengan bacaan 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir surah al-Kahf diketuai Pembawa Panji terdiri daripada Johan Qari Antarabangsa 2014, Ahmad Tirmizi Ali dan Johan Qari Antarabangsa 2011, Amirahman Abas.

Sesi tadabbur surah pula dijayakan oleh Penolong Pengarah Jakim, Mohd Hariri Mohamad Daud dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail.

Majlis seterusnya diisi dengan Pesan Kemerdekaan daripada wakil anak muda, Muhammad Afiq Ismail, 23, dan tokoh korporat, Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Lebih menarik lagi apabila pembacaannya turut diadakan secara serentak di 1,800 lokasi berdaftar di seluruh negara dan 11 lokasi di sembilan negara.

Sementara itu, Malaysia #QuranHour juga menarik minat umat Islam di seluruh dunia apabila turut melibatkan lokasi hotspot di 12 buah negara antaranya Jepun, Arab Saudi, Sepanyol, Argentina, Indonesia, Australia, Amerika Syarikat dan Jerman.

Dalam pada itu, tahun ini turut mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan 1.46 bilion capaian di media sosial berbanding hampir 1.4 bilion sebelum ini ketika World #QuranHour.

Akhir sekali, selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-62 kepada semua rakyat Malaysia. Semoga kita semua hidup aman dan harmoni di satu bumbung tanah air di samping mencintai Al-Quran Al-Kareem.

Sumber: Sinar Harian


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!