KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Prihatin dengan situasi yang berlaku di Syarikat Utusan Melayu, MAIWP telah menyalurkan bantuan zakat kepada kakitangan syarikat tersebut.
MAIWP pada hari ini telah menyalurkan bantuan kecemasan kepada 25 orang kakitangan Utusan Malaysia berupa wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang. Mereka turut menerima barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang dan susu kepada mereka yang mempunyai anak kecil yang bernilai keseluruhan RM30,000.00.
MAIWP menerusi Bahagian Baitulmal pada 5 September 2019 yang lalu telah turun padang ke pejabat Utusan Melayu menyampaikan taklimat tentang bantuan zakat yang disediakan yang layak dipohon oleh kakitangan Utusan Melayu. Susulan taklimat itu, seramai 25 orang telah menyerahkan borang permohonan bantuan.
Bantuan yang disalurkan pada hari ini adalah Bantuan Kecemasan yang merupakan bantuan awal sebelum bantuan-bantuan lain disalurkan mengikut keperluan mereka.
Pengerusi MAIWP, Dato’ Sri Syed Hussien Alhabhsee yang menyampaikan bantuan berkata dengan penutupan operasi Syarikat Utusan Melayu pada 9 Oktober baru-baru ini, MAIWP menyeru kepada kakitangan Utusan Melayu yang lain untuk hadir memohon bantuan zakat Baitulmal MAIWP.
Menurut beliau, MAIWP menawarkan 28 skim bantuan zakat meliputi bantuan keperluan asasi, pendidikan anak-anak, perubatan dan sebagainya yang mana permohonan akan diproses mengikut prosedur dan syarat yang telah ditetapkan.
Syarat umum yang ditetapkan adalah warganegara Malaysia, beragama Islam, bermastatutin di Wilayah Persekutuan sekurang-kurangnya setahun dan tertakluk kepada pengiraan Had al-Kifayah yang mengambil kira pendapatan dan keperluan bulanan isi rumah.
Turut hadir pada program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Abdul Aziz Jusoh; Datuk Mohd Zaini Hassan mewakili kakitangan Utusan Malaysia dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP, Mohd Nizam Yahya.
Semoga bantuan yang disalurkan akan meringankan beban kakitangan Utusan Melayu dan ia juga membuktikan bahawa MAIWP proaktif menunaikan amanah para pembayar PPZ-MAIWP dalam mengagihkan zakat kepada mereka yang memerlukan.
3 Comments
Semoga semua nya cepat mendapatkan pekerjaan dan rezeki yang lebih besar lagi,
Syukur alhamdulillah ada pihak yang prihatin untuk bantu mereka yang terjejas kerjanya seperti staf Utusan Melayu.
Curahan rasa Ikhwan @ ..Contoh Soalan Peperiksaan Pembantu Tadbir N19
Kita doakan mereka akan mendapat pekerjaan lain sebagai sumber rezeki hidup mereka. Moga mereka tabah menghadapi ujian hidup ini.
Curahan rasa ahmadyani @ ..22 Perkara Yang Patut Anda Fikirkan Dulu Sebelum Berhenti Kerja Untuk Buat Bisnes Sepenuh Masa
Comments are closed.