Kisah dulu Perang Besar sekarang jadi Putrajaya

Spread the love

Semasa Abang Denai belajar di UKM pada awal tahun 90 an sering berulang alik ke Shah Alam melalui jalan dalam, estet kelapa sawit ke Puchong dan terus ke Shah Alam. Menaiki motor kapcai kena berhati-hati kerana ketika itu terlalu banyak lori pasir yang di pandu laju menuju ke Perang Besar.

Apabila membaca coretan Kak Pah mengimbau kembali kenangan zaman tersebut. Pasti ramai yang belum tahu sejarah Putrajaya dan apa nama asal Putrajaya.

Assalamualaikum. PUTRAJAYA, nama asalnya Ladang Perang Besar. Apabila mantan bos Kak Pah, Datuk Hj Hushamuddin Hj Yaacub, menyebutnya dalam hantaran beliau di muka buku ini kelmarin, pasti ramai yang baru pertama kali mengetahuinya. 

Sudah bertahun-tahun nama Perang Besar itu ditenggelami nama gah Putrajaya. Apabila Tuan Haji (panggilan mesra kami untuk Datuk) bertanya, Apa ada pada Perang Besar?, memori Kak Pah segera berputar kepada apa yang ada di sana sebelum ia bernama Putrajaya. 

Selain penduduknya yang terdiri daripada pekerja ladang getah, ramai yang tidak tahu apa yang ada di Perang Besar pada waktu itu. Ramai yang tidak dapat membayangkan langsung keadaannya. Tetapi, bagi Kak Pah ,Perang Besar adalah sebahagian nostalgia Kak Pah sewaktu remaja. 

Ketika tinggal di asrama sekolah Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang pada tahun 1978, hampir setiap dua mminggu sekali Kak Pah akan ke Perang Besar. Kerana di sanalah perhentian bas terakhir Kak Pah untuk ke Tanah Rancangan Belia Limau Manis, Sg Merab Kajang.

bas-station-perang-besar

Kakak sulung Kak Pah tinggal di sana kerana suaminya adalah peserta rancangan tanah berkenaan. Cuti hujung minggu atau cuti sekolah, Kak Pah akan ke sana untuk membantu kerja-kerja di ladang kelapa sawit. 

Kawasan ini juga sudah menjadi sebahagian Putrajaya sekarang. Menyemai, mendebunga dan mengutip buah kelapa sawit adalah sebahagian kerja Kak Pah. Kak Pah tidak membantu untuk memetik atau dipanggil menombak, kerana alat pemotong tandan sawit begitu berat dan Kak Pah tak larat. 

Dari perhentian bas di Kajang, Kak Pah akan menaiki bas berwarna merah, Bas Sum untuk ke perang besar. Tambangnya ketika itu dalam 45 sen untuk jarak lebih kurang 12-16 kilometer. Kiri kanan jalan, dipenuhi pokok getah dan jalannya tidak berturap tar, hanya jalan tanah merah. 

Selepas melalui jalan sempit dan agak berliku bas akan sampai ke kawasan rumah pekerja ladang di pekan kecil Perang Besar. Perjalanan dari Kajang tidak begitu jauh, tetapi bas bergerak perlahan. Biasanya bas penuh sesak dengan pekerja ladang dan anak-anak pekerja ladang yang bersekolah di Kajang. Jalan sempit, kalau hujan, licin dan berlumpur. Sering bas terpaksa berhenti di tepi jalan untuk memberi laluan kepada kenderaan dari arah bertentangan, setiap kali berselisih jalan. 

bas-sum-perang-besar

Walaupun lambat sampai, Kak Pah memang tidak ada pilihan. Terutama apabila jiran kakak Kak Pah, Wak Jelani atau Wak Jan tidak dapat menjemput Kak Pah di asrama dengan motorsikal mereka. Wan Jelani biasanya menjemput Kak Pah dengan vespa Sharif Dolnya. 

Bas akan berhenti di depan deretan kedai di kawasan perumahan pekerja. Dari sana kak Pah akan menaiki kereta sapu Pakcik Alias (Al Fatihah) atau Pakcik Akob untuk ke tanah rancangan belia pula. Biasanya tambang Kak Pah abang ipar yang bayar, tak tahu berapa. 

Jika belum ada kereta sapu, Kak Pah akan duduk di tepi tembok rumah makcik Cinnamah, wanita pekerja ladang berusia 40an. Sambil menunggu, Kak Pah akan berbual dengannya. Ahli keluarganya yang lain Kak Pah tak kenal, tetapi kebanyakannya bekerja di ladang itu. Biasanya terpaksa menunggu sehingga satu jam, baru Pakcik Alias sampai. Pakcik Alias memang ramai penumpang tetap. Isterinya, Makcik Awa (Al Fatihah) seorang Mak Andam, pernah mengandam seorang kakak Kak Pah. 

Ada ketikanya Pakcik Alias membawa Makcik Awa, yang terpaksa ke pekan Kajang (waktu itu disebut pekan) membeli barang keperluan. Kalau ada makcik Awa, Kak Pah rasa lebih selamat dan selesa. Untuk ke tanah rancangan, terpaksa pula melalui hutan kecil dan anak sungai berjambatan kayu dan papan. Jaraknya tidak sampai 5 km, tetapi keadaan jalan yang dilalui lebih teruk dari laluan dari Kajang ke Perang Besar. 

istana-keadilan-putrajaya

Kak Pah beruntung dapat menyaksikan transformasi Perang Besar menjadi Putrajaya. Ketika pembinaannya, Kak Pah selalu mengikut adik ipar Kak Pah, seorang jurutera pembinaan, melawat projek-projek pembinaan yang beliau jalankan di sana. 

Selepas lebih 40 tahun berlalu, setiap kali melintasi kawasan kompleks pentadbiraan kerajaan di Putrajaya, pasti Kak Pah terhimbau kenangan lalu. Kata adik ipar Kak Pah, Di sanalah tapak semaian anak sawit dan sungai kecil tempat Kak Pah memancing ikan, tertimbus di bawah kompleks-kompleks indah yang sedang berdiri gagah. 

gambar-putrajaya

Apa yang Kak Pah saksikan lebih 40 tahun lalu dikawasan ini, sudah tidak ada yang sama. Hutan kayu sudah bertukar menjadi hutan batu. Gelap malam, bertukar limpahan neon yang terang benderang. Tidak ada lagi nyanyian ungka dan kera.Napuh dan pelanduk juga, entah di mana jejaknya. 

Dari deretan bangunan indah, Kak Pah tercari-cari di mana tapak rumah Makcik Cinnamah. Sayang sekali, Kak Pah tak ingat di mana lokasinya. 

Namun kemesraan makcik Cinnamah, Kak Pah akan ingat sampai bila-bila.

Syarifah Abu Salem


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!