Kerajaan Akan Mengambil Tindakan Tegas Kepada Mereka Yang Sebarkan Maklumat Palsu

Spread the love

Sebanyak 184 kertas siasatan dibuka dan 20 kes didakwa di mahkamah sehingga semalam terhadap penyebar berita palsu mengenai COVID-19 di media sosial, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak akan berkompromi serta akan terus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu.

Berita palsu terus berlegar di negara kita walaupun sepatutnya semua mesti membantu kerajaan tetapi masih ramai penyebar berita palsu seperti beberapa hari lepas ada berita palsu yang menunjukkan kononnya pusat kuarantin yang buruk keadaannya di Sabah dan ia telah pun dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 413 individu ditahan kerana ingkar PKP semalam dalam sekatan jalan raya dan rondaan dilakukan PDRM.

Beliau berkata penahanan pada hari ketiga PKP fasa dua itu menunjukkan penurunan sebanyak 21.18 peratus berbanding hari sebelumnya dengan 524 orang ditahan.

“Saya harap trend ini berterusan dan ia boleh dianggap sebagai gambaran bahawa pematuhan semakin meningkat,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 731 sekatan jalan raya dan melakukan pemeriksaan terhadap 426,764 kenderaan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 426 kawasan di sekitar 11 negeri telah dinyah kuman semalam menerusi operasi sanitasi awam.

Antara kawasan yang dinyah cemar termasuk 170 balai polis dan 38,140 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berisiko tinggi.

Fasa pertama PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac, diikuti fasa kedua dari 1 hingga 14 April ini.

Kita jangan cuba menjadi agen penyampai yang pertama untuk sebarkan sesuatu maklumat tanpa kita selidik terlebih dahulu. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita yang sahih.

Boleh layari sebenarnya.my untuk mendapatkan berita-berita yang sahih dan benar.


Spread the love

3 Comments

  1. Ada cara untuk mencari kebenaran. Tapi jujur cakap, bila hati sudah ‘rosak’, kebenaran tidak dicari, yang tidak benar itulah yang hendak disebarkan. Bila buruk datang, tidak pula mahu mengaku salah. Yang disalahkan adalah orang lain.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!