Kelebihan Bulan Muharram Yang Kita Perlu Tahu

Spread the love

MUHARAM antara bulan yang begitu istimewa. Bukan sahaja disebabkan kelebihan yang ada padanya, malah ia merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam.

Ia juga dikenali sebagai salah satu daripada empat bulan haram sebagaimana yang disebutkan dalam nas.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” (Surah al-Taubah, ayat 36)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW memberikan penjelasan tentang empat bulan haram tersebut.

Sabda baginda SAW: “Dalam setahun itu ada 12 bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadilakhir dan juga Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam empat bulan haram itu, kita diharamkan berperang.

Ketahuilah, bulan-bulan berkenaan sangat dihormati dari sudut amalan soleh. Begitu besar ganjarannya jika melakukan amal kebajikan pada bulan-bulan berkenaan.

Namun, awas jika kita melakukan dosa dan maksiat! Ini kerana dosa dan maksiat itu akan menjadi lebih besar dalam bulan-bulan haram.

PADA BULAN MUHARAM JUGA, ADA SATU AMALAN SOLEH YANG SANGAT DITUNTUT UNTUK DILAKUKAN OLEH UMAT ISLAM IAITU MEMPERBANYAKKAN BERPUASA SUNAT.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seafdal-afdal puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan ALLAH al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam (qiyamullail).” (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis lain ada diceritakan tentang seorang lelaki yang telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadan? Maka jawab baginda SAW:

“Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan, maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan ALLAH.” (Riwayat al-Tirmidzi)

MELIHAT HADIS BERKENAAN, JELAS MENUNJUKKAN BAHAWA MUHARAM BUKAN BULAN CALANG-CALANG. IA JUGA DIKENALI SEBAGAI BULAN ALLAH YANG TIDAK DISEBUT PADA BULAN-BULAN LAIN.

JIKA SUATU PERKARA ITU DISANDARKAN KEPADA ALLAH, PASTINYA IA MENJADI SESUATU YANG MULIA. IA SAMA SEPERTI BAITULLAH, RASULULLAH, ABDULLAH DAN SEUMPAMANYA.

Justeru, banyakkanlah melakukan amal kebajikan pada bulan ini. Elakkan diri daripada melakukan sebarang perkara yang ditegah oleh agama.

Jadikan bulan pertama dalam tahun baharu hijrah ini untuk membentuk diri ke arah yang lebih baik.

Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Spread the love
OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!