Kadar Tol PLUS berkurang 18% untuk semua pengguna kenderaan persendirian

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Berita gembira buat pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Mulai tengah malam jam 12.01 am, 31 Januari 2020, kalian semua akan menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 Peratus. Berita menarik begini mesti sudah ternanti-nanti oleh semua orang.

Walaupun tak dapat nak hapuskan tol, pengurangan harga tol pun sudah cukup gembira buat kami semua.

Langkah mengurangkan kadar tol oleh pihak kerajaan akan menyaksikan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, lebih rendah berbanding tahun 1999 iaitu 11.24 sen/km.

Ini bermakna, pengguna lebuh raya dari tol Jalan Duta ke Alor Setar hanya membayar RM45.50 berbanding RM55.50, manakala dari tol Jalan Duta ke Skudai pula, kadar yang ditetapkan sekarang ialah RM38.50 berbanding RM47 sebelum ini.

Usaha pihak kerajaan untuk manfaat rakyat itu diputuskan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Januari, dan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menyebut bahawa langkah itu selaras dengan pengumuman yang dibuat pada Belanjawan 2020.

Lebih menarik lagi, pengguna lebuh raya (PLUS) juga boleh menarik nafas lega apabila kadar itu tidak akan meningkat sehingga tempoh konsesi tamat pada 2058. Ini adalah satu tempoh yang cukup lama dan sangat bersyukur buat kami semua.

Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus itu akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu:

  • Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)
  • Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE)
  • Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA)
  • Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2)
  • Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH)
  • Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)

Diskaun itu juga akan diguna pakai bagi kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Sejajar dengan keputusan kerajaan itu, tempoh konsesi di semua lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 ke 2058 dan ini bagi memastikan PLUS mampu meneruskan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan.

Pihak kerajaan yakin keputusan itu akan memberi banyak manfaat melalui pengurangan beban kadar tol dan pada masa sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

Kerajaan juga tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS yang bakal menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi itu sekali gus penjimatan itu boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif yang menguntungkan rakyat.

Kredit: BERNAMA


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!