Kadar dividen ASNB 2022 diumum 4.6 sen, bonus tambahan 0.5 sen

Spread the love

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan adalah sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.

Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria, berkata walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pengurus dana terbesar di Malaysia itu telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB.

“Bonus tambahan itu adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata tahun ini syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya.

“ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

“Jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit.

“Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka,” katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana berkenaan.

Pengiraan pengagihan bonus tambahan adalah tertakluk kepada 30,000 unit pertama untuk setiap akaun.

Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2023.

Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan bonus tambahan dibayar daripada dana proprietari PNB atas budi bicara syarikat.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 31 Disember 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Januari 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 3 Januari 2023.


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!