Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Bertakbir semasa hari-hari raya adalah syiar yang disunatkan kita melaksanakannya. Namun begitu, terdapat perincian dan perbezaan antara takbir pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Berikut kami nyatakan kaifiat dan perbezaan antara keduanya.
Jenis-Jenis Takbir Raya
Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.
Takbir Mursal: Ia juga disebut Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat. Justeru, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfiri sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.
Para ulama menetapkan bahawa perlaksanaan Takbir Mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Hari Raya Aidiladha.
Takbir Muqayyad: Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu). Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu.
Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilftri melainkan Takbir Mursal sahaja yang juga lebih ditekankan bagi Aidilfitri.
Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.” (Riwayat al-Hakim (no. 1111) dengan sanad yang sahih)
Waktu Bertakbir
Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, terdapat perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Kaifiat berikut kita peroleh daripada perbuatan Nabi SAW dan para sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.
Hari Raya Aidiladha: waktunya Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.
Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah.
Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
Hari Raya Aidilfitri: waktunya Takbir Mursalnya bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, yakni masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.
Kesimpulan
Waktu takbir Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri adalah berbeza antara satu sama lain.
Namun tujuannya adalah sama daripada satu sudut yakni mengagungkan Allah SWT pada hari-hari yang kita digalakkan oleh Syarak untuk merayakannya.
Inilah syiar dan simbol agama kita yang hendaklah kita sungguh-sungguh meraikannya sebagai tanda komitmen dan kepatuhan kita kepada Tuhan yang Esa.
5 Comments
takbir memang syahdu kalau dialun pada masa yang tepat dan sesuai..
hati akan jadi merinding sayu
waaa thank you for the info.. saya pun baru tau jenis-jenis takbir raya ni.. terbaik.
Kita biasa takbir pada hari ke10 Zulhijjah. Janggal takbir 9 Zulhijjah padahal ia termasuk dalam mazhab Syafie yang kita ikuti. Alhamdulillah, sekarang sudah ramai yang mula takbir pada 9hb, bermakna ada 5 hari untuk bertakbir.
Ingatkan ada satu jenis takbir sahaja, rupanya ada lagi jenis jenis takbir yang harus diketahui.
Curahan rasa Ikhwan Fahmi @ ..3 Produk Tempatan Yang Boleh Dijual Di Ebay
Ada banyak jenis rupa nya ya takbir ni. Terima kasih atas perkongsian ini 🙂
Curahan rasa Syazni Rahim @ ..Kedai Makan Western di Kota Bharu | Red D Station Pasir Pekan
Comments are closed.