Isteri jadi pengurus, Suami jadi pemimpin

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam kehidupan kita seharian, terdapat pelbagai kisah di mana suami dan isteri serta keluarga bahagia menjadi idaman semua insan. Namun, kesemuanya bermula dengan seribu satu kisah di antara lelaki dan perempuan. Bagi perempuan sudah tentu mencari suami yang terbaik untuk memimpin keluarga. Manakala lelaki pula pastinya ingin mencari isteri yang akan mengiringinya hingga hujung nyawa.

Berdasarkan surah an-Nisa’ ayat 34, terdapat satu kenyataan yang mengatakan bahawa suami menjadi pemimpin kepada isteri manakala isteri menjadi pengurus kepada suami :

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (An-Nisaa’ : 34)

Berdasarkan ayat di atas, dua sifat lelaki yang sememangnya ketara adalah memimpin dan membelanja. Dengan bentuk fizikal lelaki yang lebih besar dan sikap yang lebih agresif, memang sepatutnya suami berperanan sebagai pemimpin dan melindungi keluarganya. Oleh itu, isterinya hendaklah membantu suaminya berperanan dan bersikap sebagai seorang pemimpin.

Lelaki dan perempuan adalah saling bergantung satu sama lain

Ramai isteri impikan suami idaman

Ciri-ciri lelaki atau suami sebenarnya boleh diketahui dengan mempelajari perwatakan dari lelaki itu sendiri. Sememangnya lelaki yang setia itu selalu menjadi idaman para wanita kerana lelaki seperti itulah yang akan menjadi seorang pemimpin yang baik dalam keluarga.

Salah satu sifat kepimpinan yang perlu diketahui oleh isteri ialah suami suka membuat sesuatu kerja atas kehendaknya sendiri, bukan atas arahan orang lain. Jika sesuatu kerja itu diarah oleh isteri, maka kerja itu pasti tidak dilakukan atau dilaksanakan dengan hati yang tidak senang.

Kita tidak boleh memimpin sekiranya orang yang kita pimpin itu tidak taat kepada kita. Maksud ayat 34 surah an-Nisaa’ itu juga menerangkan sifat wanita yang solehah adalah wanita yang taat. Wanita akan memberikan ketaatan sepenuhnya kepada suami jika suaminya itu benar-benar berperanan memimpinnya seperti seorang ketua memimpin di tempat kerja.

Kasih suami isteri hingga ke syurga

Suami belanja, isteri memelihara

Antara sifat lelaki adalah suka membelanja. Sudah menjadi lumrah bagi lelaki jika dapat membelanja rakan-rakannya minum di kedai kopi. Lecehlah rasanya jika sepanjang sembang-sembang di kedai kopi itu, kita tidak pernah mengeluarkan wang sendiri untuk membayarnya.

Berlawanan pula dengan sifat wanita yang dinyatakan iaitu memelihara. Apa sahaja yang diberikan suami kepadanya atau yang diusahakan sendiri akan dipelihara sebaik-baiknya untuk diri, suami dan keluarga. Jika suami beri kepercayaan untuk menjaga hal ehwal kewangan keluarga, pastinya isteri akan uruskan perbelanjaan dan simpanan dengan sebaik-baiknya.

Dengan ini, jelaslah kepada kita bahawa peranan lelaki dan wanita adalah saling bergantung sesama kita. Kesemua ini penting untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan di dunia yang sementara ini.

Suami isteri membentuk keluarga bahagia

Pelbagai perkara yang harus dilakukan seorang suami dalam menjaga hal ehwal keluarganya di dunia dan di akhirat. Berpegang teguh pada perintah Allah SWT, memberi perhatian penuh terhadap pendidikan agama Islam, memerintahkan dan membantu keluarganya dalam melakukan amalan ketaatan, serta menasihati dan mencegah kemungkaran.

Kebahagiaan hidup adalah seperti sepohon tanaman yang memerlukan air dan baja untuk terus membesar dan mengeluarkan bunga serta buah untuk dimanfaatkan. Begitu juga dengan kebahagiaan, ia memerlukan siraman air dan baja dari masa ke semasa mengikut keperluan dan kehendak perkembangan umurnya.

Apa yang kita perlu ingat adalah Suami Isteri Bukan Untuk Dimiliki.


Spread the love

38 Comments

  1. insyaAllah. Semoga rumah tangga kita semua yang dibina sentiasa mendapat keberkatan dan berada di bawah perlindungan Allah S.W.T

  2. Suka ayat ni “Kebahagiaan hidup adalah seperti sepohon tanaman yang memerlukan air dan baja untuk terus membesar dan mengeluarkan bunga serta buah untuk dimanfaatkan”

  3. Manusia tidak pernah sempurna. Tapi suami-isteri akan melengkapi sesama sendiri untuk membina sebuah keluarga bahagia.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!