ISLAM selamatkan lelaki ini daripada gelandangan di kaki lima, hilang arah hidup

Spread the love

Pernah hidup sebagai gelandangan, malah pernah juga cuba membunuh diri sebanyak tiga kali kerana hilang arah tujuan hidup, kini semua itu menjadi lipatan sejarah hidup seorang mualaf sebelum mengenal Islam.

Mohammad Syukur Yong Abdullah, 50 ketika mengenang detik hitam itu tekad tidak mahu kembali kepada hidup lamanya.

Menyingkap kembali kisah hidupnya, Mohamad Syukur membesar di sebuah kampung Cina di Ampang.

Ketika berusia sekitar lapan tahun, setiap kali azan dilaungkan di kaca TV, hatinya berasa seronok meskipun ketika di usia mentah itu, dia tidak mengetahui apa-apa tentang azan.

Malah dia juga tertanya sendiri, mengapa hanya lelaki sahaja yang solat Jumaat sedangkan wanita tidak perlu.

“Saya lihat ramai orang lelaki ke masjid untuk solat tapi tiada perempuan pun.

“Saya kira perempuan tidak perlu solat pada hari jumaat. Tapi itu dulu, ketika saya tidak tau apa-apa lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Mohamad Syukur yang kematian kedua ibu bapanya sejak kecil mengambil keputusan untuk berdikari dan keluar mencari kerja, namun nasib tidak menyebelahi dirinya apabila akhirnya dia menjadi gelandangan.

Hidup di kaki lima bukan mudah, setiap hari mengharap bantuan orang ramai serta ihsan adik-beradik, namun jarang-jarang yang hadir membantu.

“Saya pernah berjalan kaki dari Ampang ke Kepong untuk mencari abang saya dan meminta bantuan. Ketika itu saya tidak punya satu sen pun.

“Saya berjalan sehingga kaki saya luka dan tak boleh berjalan lagi. Namun setelah sampai ke rumah abang saya, dia tidak melayan saya, malah dia kata tak boleh tolong saya lagi. Dia suruh saya cari orang lain,” katanya sambil cuba menahan air mata.

Selepas rintihannya tidak diendahkan, Mohamad Syukur hilang arah, dan merasakan tiada tempat untuknya lagi di dunia ini sehinggakan dia merasakan, mengakhiri riwayat hidup adalah jalan terbaik untuknya.

“Masa tu saya terlalu sedih dan ingin mati saja. Saya cuba bunuh diri dengan menelan racun tikus, tapi mungkin belum ajal, saya hidup sehingga kini,” jelasnya sambil ketawa kecil ketika mengimbau pengalaman pahit itu.

Titik perubahan hidup

Tanggal 11 Ogos 2010 kehidupan Mohamad Syukur mula berubah apabila seorang rakan lamanya yang dikenali sebagai Ali melawatnya di kaki lima jalan.

Ali sebelum ini beberapa kali cuba mengajaknya untuk memeluk islam.

Namun hari itu Mohamad Syukur mengambil keputusan berbeza apabila dia mengikut Ali ke Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

Setibanya di bangunan Jawi dia mengikut sahaja kata-kata Ali untuk ke tingkat enam bagi mengucapkan Syahadah.

Mengingat kembali detik itu, Mohamad Syukur teringat pertanyaan seorang ustaz alasannya memeluk Islam, Mohamad lantas menjawab:

“Hati saya memang nak masuk islam. Saya suka dengar azan,” katanya tersenyum.

Selepas masuk Islam, Mohamad Syukur mula belajar agama di Kelas Fardu Ain Anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Bukit Indah Ampang serta dia cuba mendapatkan bantuan daripada pusat zakat.

Temu jodoh

Dia turut mengakui hidupnya sangat tenang dengan Islam dan bertekad akan menjadi seorang Islam yang baik.

Selain hidup yang lebih tenang, Mohamad Syukur juga telah mendirikan rumah tangga dengan Norani Mohamad Nor, 47.

Mengakui meskipun tidak mempunyai harta yang banyak, kedua mereka saling melengkapi. 

Dalam wawancara itu, Noraini turut di samping Mohamad Syukur bagi mendengar kisah hidup suaminya.

Menurut Noraini, dia menderita sakit jantung berlubang yang kronik dan pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, jalan kehidupannya juga tidak mudah apabila kematian ibu bapa sejak dari kecil dan tidak memiliki ahli keluarga yang lain.

Dalam nada sebak, Noraini berkata sebelum mengenali Mohamad Syukur, dia tiada tempat mengadu namun dia bersyukur dan menganggap jodohnya dengan suaminya itu satu rahmat.

“Tuhan temukan saya dengan seorang mualaf. Dapat saya tumpang bahagia. Saya senang hati kerana apa-apa hal, saya boleh mengadu pada suami. Bila saya sakit, suami ada untuk tolong,” katanya mengelap air mata.

Kedua-dua mereka berikrar akan saling menyayangi, menjaga satu sama lain hingga ke akhir hayat dan berusaha mencari kehidupan yang diberkati.


Spread the love

5 Comments

  1. I have noticed you don’t monetize denaihati.com, don’t waste your traffic, you can earn additional bucks every
    month with new monetization method. This is the best adsense
    alternative for any type of website (they approve all sites), for more
    info simply search in gooogle: murgrabia’s tools

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!