Hidupkan semula penghayatan Rukun Negara

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

MAJLIS sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang diadakan baru-baru ini bertujuan menyedarkan rakyat betapa pentingnya penghayatan Rukun Negara untuk mengeratkan perpaduan antara kaum selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

kredit foto: Berita Harian

Diisytiharkan sebagai salah satu ideologi kebangsaan pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara menganjurkan lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Rukun Negara menjadi asas kepada pembentukan bangsa Malaysia yang menjadi cerminan dengan jelas dalam kehidupan rakyat sehingga kini.

Setiap satu prinsip Rukun Negara membawa inti pati tersendiri yang perlu diperhalusi dan didukung oleh setiap warganegara.

Prinsip kedua, Kesetiaan kepada Raja dan Negara mendidik rakyat Malaysia secara amnya untuk menyanjungi dan menghargai serta memberikan taat setia terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu yang memayungi negara kita sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Dalam konteks ini, institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting, apatah lagi dalam suasana ketidaktentuan politik yang melanda negara ketika ini.

Peranan penting Yang di-Pertuan Agong jelas tergambar apabila kewibawaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin al-Mustafa Billah yang berjaya meleraikan kemelut politik yang berlaku setelah Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan secara tiba-tiba pada awal tahun.

Yang di-Pertuan Agong menggunakan budi bicara baginda secara bijaksana dalam memilih seorang Perdana Menteri baharu dengan bersandarkan kuasa baginda yang termaktub dalam Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda memperolehi sokongan majoriti, namun Perlembagaan Persekutuan tidak menggariskan proses yang perlu dilalui untuk menilai tahap sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan baginda untuk menentukan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepada calon Perdana Menteri yang dicadangkan sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menyelamatkan negara daripada terjerumus ke dalam krisis politik berpanjangan yang tidak membawa sebarang keuntungan kepada negara.

Mengambil kira akan kepentingan peranan Raja-Raja Melayu dan Institusi Yang di-Pertuan Agong, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang baru sahaja menamatkan tempoh menjawat jawatan Yang Di-Pertua Dewan Negara menggesa agar pihak kerajaan mengembalikan semula kuasa Raja-Raja Melayu dengan menyemak semula pindaan terhadap kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dibuat pada tahun 1993.

Gesaan Vigneswaran amatlah relevan kepada eko-politik semasa negara dan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menghidupkan semula semangat penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat.

Institusi tertinggi

Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi tertinggi negara dan menjadi nadi kerajaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam sebarang perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali di mahkamah khas.

Menurut Perkara 150 pula, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pengisytiharan perintah darurat.

Kuasa pengisytiharan ini pernah dilaksanakan apabila tercetusnya rusuhan kaum pada tahun 1969.

Menurut Perkara 55 (2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh menangguhkan atau membubarkan Parlimen.

Amat jelas sekali bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak negara yang menjamin perpaduan kaum, keharmonian dan kemakmuran negara.

Namun begitu, kerajaan pada satu ketika telah membuat pindaan terhadap beberapa perkara, terutamanya terhadap Perkara 66 (4)(a) (Kuasa Perundangan Yang di-Pertuan Agong) dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikuatkuasakan sejak Mac 1993.

Meskipun pengubalan beberapa pindaan itu dilaporkan bertujuan untuk memperkemaskan undang-undang dalam negara, namun pindaan itu ternyata mewujudnya situasi kehilangan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang (RUU).

Pindaan terhadap perkara-perkara tersebut disokong oleh 133 daripada 180 Ahli Parlimen.

Namun, wakil pembangkang termasuk DAP dan Pas pada masa itu mengambil dasar berkecuali dan tidak mengundi untuk menyokong pindaan tersebut.

Malah pemimpin dan ahli parti Semangat 46, satu lagi parti pembangkang bertindak keluar dewan semasa pengundian.

Walaupun pada prinsipnya DAP bersetuju dengan pindaan tersebut, namun mendakwa proses pindaan tersebut didapati tidak mengikut lunas-lunas Perlembagaan kerana pindaan tersebut didakwa tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu seperti dikehendaki oleh Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, Dewan Negara meluluskan pindaan tersebut dengan sebulat suara.

Menurut Perkara 66 (4), Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu RUU dikemukakan kepadanya untuk memperkenankan RUU itu dengan Mohor Besar dicopkan pada RUU itu.

Perkara ini dipinda dan ditambah dengan Klausa 4A yang membawa maksud jika sesuatu RUU tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), maka RUU itu hendaklah menjadi undang-undang apabila tamat tempoh yang ditentukan dalam Fasal itu.

Pindaan ini menimbulkan suasana di mana sesuatu RUU boleh menjadi undang-undang negara tanpa mendapat perkenan dalam jangka masa 30 hari daripada Yang di-Pertuan Agong.

Persoalannya, sekiranya undang-undang yang melibatkan kuasa dan kedudukan Raja-Raja Melayu boleh dibuat dengan adanya kuasa majoriti dalam Parlimen, apatah lagi pindaan terhadap beberapa perkara penting yang melibatkan hak orang Melayu serta hak orang bukan Melayu?

Apapun, kenyataan Vigneswaran telah membuka minda rakyat terhadap betapa pentingnya kuasa Raja-Raja Melayu yang menjadi pelindung kepada hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu.

Malah kenyataan Vigneswaran “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” dan “Raja-Raja Melayu bukan hanya untuk orang Melayu, bahkan juga untuk orang bukan Melayu” mempamerkan sikap patriotisme yang perlu didukung oleh rakyat termasuk memberikan taat setia kepada Raja dan negara seperti yang jelas terkandung dalam Rukun Negara.

Sumber: (Awani) Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.


Spread the love

3 Comments

  1. ramai yang lupa tentang rukun negara dan lupa terutamanya warga asing, sampai buat macam negara mereka. minta hak sama rata dan sebagainya

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!