Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Harta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia.
Harta juga menjadi ujian kepada kita, sama ada menjadikan kita semakin dekat dengan Allah atau semakin lalai dan jauh daripada Nya.
Rasulullah SAW tidak bimbang kemiskinan yang ada pada seseorang, namun baginda bimbang anugerah harta dan perhiasan didunia yang menyebabkan manusia lalai dan leka serta berlumba-lumba mengejar harta dan semakin jauh pada Allah.
Dunia boleh menjerumuskan seseorang kepada kebinasaan, disebabkan persaingan yang tidak sihat untuk mendapatkannya, kecintaan yang berlebihan terhadapnya serta kesibukan dalam mengejarnya sehingga melalaikan dari mengingat Allah dan balasan di akhirat.
Harta Yang Membimbangkan
Abu ‘Ubaidah datang dengan membawa harta (jizyah) dari negeri Bahrain. Kedatangan Abu ‘Ubaidah ini didengar oleh Kaum Ansar bertepatan dengan waktu solat Subuh bersama Rasulullah SAW. Setelah solat selesai, baginda segera pergi namun mereka berkerumun menghampiri baginda.
Maka Rasulullah SAW tersenyum ketika melihat mereka seraya berkata: “Aku kira kalian telah mendengar bahawa Abu ‘Ubaidah telah tiba dengan membawa sesuatu”. Mereka berkata; “Benar sekali wahai Rasulullah”. Maka Baginda bersabda: “Bergembiralah dan bercita-citalah dengan apa yang dapat membuat kalian berbahagia.
Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku takutkan (akan merusak agama) kalian, akan tetapi yang aku takutkan bagi kalian adalah jika harta dunia dibentangkan (dijadikan melimpah) bagi kalian sebagaimana (perhiasan) dunia dibentangkan bagi umat (terdahulu) sebelum kalian, maka kalian pun berlumba-lumba mengejar dunia sebagaimana mereka berlumba-lumba mengejarnya, sehingga (akibatnya) dunia (harta) itu membinasakan kalian sebagaimana dunia membinasakan mereka (HR Bukhari No: 2924)
Orang yang mencintai dunia atau harta secara berlebihan tidak akan lepas dari tiga kerosakan dan penderitaan :
- Kekalutan fikiran yang tidak pernah hilang
- keletihan yang berpanjangan
- penyesalan yang tiada berakhir
Harta Menjadi Fitnah
Dari Ka’ab bin ‘Iyad berkata: Aku mendengar nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap ummat itu memiliki fitnah dan fitnah ummatku adalah harta.” (HR Tirmizi No: 2258)
Sesungguhnya pada setiap umat atau kaum ada fitnah yang merosak atau menyesatkan mereka.
Fitnah atau sesuatu yang boleh merosakkan pada umat Rasulullah adalah harta apabila seseorang itu menyibukkan diri dengan harta secara berlebihan sehingga melalaikan manusia dari melaksanakan ketaatan kepada Allah dan lupa kepada akhirat.
Kepuasan memiliki harta
Bagi orang yang dibukakan baginya pintu-pintu harta, hendaknya dia berwaspada terhadap bahaya dan fitnah harta, dengan tidak berlebihan dalam mencintainya dan terlalu berkeinginan dalam mengejarnya.
Rasulullah SAW mengingatkan sifat manusia: “Seandainya seorang manusia memiliki dua lembah (yang penuh berisi) harta/emas, maka dia pasti akan menginginkan lembah (harta) yang ketiga”. (HR Bukhari No: 6075).
Secara tabiatnya, nafsu manusia tidak akan pernah merasa puas dan cukup dengan harta dan kemewahan dunia yang dimilikinya, kecuali orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah.
Moga harta tidak menjadi fitnah yang merosakkan iman dan amal kita. Pastikan rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan baik. Semoga harta tidak menjadikan kita leka dan lalai beribadat kepada Allah.
3 Comments
Harta walau sedikit asalkan halal. Kenal pasti sumber dan daripada mana ia diperolehi. Sejauh mana urusniaga dilakukan dengan penuh amanah dan berusaha mendapat keberkatan dariNya. Elakkan harta yang haram walau nilainya tinggi apatah lagi mudah diperolehi kerana kita akan dipertanggungjawabkan di hadapanNya kelak.
Curahan rasa Ekin Azhari @ ..Keropok Viral Tok Ma Kekalkan Bahan Segar
dunia yang dicerari memang tidak akan ada penghujungnya. semoga kita diberikan keberkataan dan sifat syukur hatta dengan harta yang sedikit.
Curahan rasa encikhafiz.my @ ..Harga Renew Lesen Memandu 2019
Harta kita adalah apa yang telah kita guna dan telah kita ‘laburkan’ untuk agama. Harta yang kita simpan bukan kita punya!
Curahan rasa ahmadyani @ ..Salam Hari Lahir Untuk Adik Kembar Hidayah Dan Fadhilah
Comments are closed.