Harga petrol dan diesel turun mulai 5 Januari 19

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing 27 sen, manakala 14 sen bagi diesel sen mulai 12 tengah malam ini.

Harga runcit RON95 akan diturunkan daripada RM2.20 kepada RM1.93 seliter, manakala RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 kepada RM2.23 seliter bagi tempoh mulai tengah malam ini hingga 11 Januari ini.

Bagi diesel, harga runcit bahan api itu diturunkan daripada RM2.18 kepada RM2.04 seliter.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras aliran penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Januari lalu mempertimbangkan penetapan mingguan itu dan akan mula dilaksanakan tengah malam ini.

“Harga runcit produk petroleum akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, pengumuman harga runcit akan dibuat pada Jumaat setiap minggu dan berkuat kuasa mulai Sabtu sehingga Jumaat.

Menurutnya, harga baharu itu mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari lalu.

“Keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum ini sudah mengambil kira pandangan semua pihak termasuk Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

“Sehubungan ini, kerajaan bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi RON95 dan tambahan tiga sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel. Ini adalah kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan tiga sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa.

“Kali terakhir kadar margin ini disemak semula pada 2008,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan terus komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

Guan Eng berkata, apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

“Namun, apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi.

“Kaedah baharu ini ialah inisiatif Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang tidak pernah diamalkan sebelum ini. Pengekalan harga pada paras ini adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran,” katanya.

Bermula 7 Jun tahun lalu, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

sumber: bharian


Spread the love

7 Comments

  1. Alhamdulillah dah turun. Harap minggu depan kalau minyak naik, jangan naik teruk sangat. Kalau minggu depan harga turun lagi, lagi bagus.

  2. Alhamdulillah. Turun juga akhirnya. 😁

    Sepatutnya, rakyat lebih awal menikmati harga minyak lebih murah.

    Akhirnya, kerajaan PH terpaksa UTURN ikut formula kerajaan BN.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!