Haiwan di hutan makin pupus, manusia semakin rakus!

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Apabila isu kepupusan pelbagai hidupan liar dibahaskan, pasti ada jari mudah menuding ke arah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tanpa memikirkan beban dipikul.

Kurang yang memperkatakan faktor pembangunan tidak terkawal dan usaha Perhilitan menangani kerakusan pemburu haram mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada populasi hidupan liar dilindungi.

Lebih memeranjatkan, kematian hidupan liar dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan iaitu 7,451 (2017) berbanding 6,767 (2016) dan 6,258 (2015) dengan Selangor, Johor dan Perak mencatatkan kematian hidupan liar tertinggi iaitu 1,745, 1,616 dan 792 (Statistik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) 2018).

Masalah kepupusan pelbagai hidupan liar di negara ini sentiasa menjadi fokus utama pihaknya yang dipertanggungjawab untuk memikirkan kaedah terbaik menangani isu itu.

Menurutnya, antara spesies haiwan yang didapati amat terancam adalah tenggiling, harimau Malaya, badak Sumatera dan banteng. Selain empat spesies ini, Perhilitan turut memberi fokus terhadap gajah, rusa sambar, kambing gurundan botak upeh.

Berdasarkan maklumat dikumpul, bilangan gajah yang tinggal kini adalah 1,000 hingga 1,100 ekor di Semenanjung Malaysia, seladang (150 hingga 200 ekor), harimau belang (kurang 200 ekor), tapir (700 hingga 800 ekor), rusa sambar (350 hingga 400 ekor), kambing gurun (200 hingga 500 ekor ) dan burung botak upeh (20 hingga 30 ekor).

Meskipun pelbagai strategi pengiklanan dan program kesedaran dikeluarkan saban tahun, isu pemburuan haram dan penjualan hidupan liar secara haram menjadi masalah utama.

Manusia sudah memang hakikat, nak mencari keuntungan sahaja.

Mungkin ramai yang terkejut apabila mengetahui harga seekor Harimau di Malaysia (Panthera tigris malayensis atau Panthera tigris jacksoni) sama nilainya dengan banglo dua tingkat di Lembah Klang atau sebuah kereta mewah BMW M5.

Itu fakta diperoleh apabila nilai seekor harimau belang Malaysia melepasi angka RM600,000 hingga RM1 juta di pasaran gelap menyebabkan haiwan ikon kebangsaan dilindungi ini menjadi sasaran utama pemburu haram.

Haiwan liar dilindungi sepenuhnya ini diburu secara haram untuk mendapatkan kulit, daging, kuku, taring serta tulangnya.

Pemburuan harimau semakin menjadi-jadi di negara ini berikutan negara jiran seperti Vietnam, Kemboja dan Thailand sudah kehabisan ‘bekalan’ harimau. Permintaan juga semakin meningkat untuk setiap anggota badan harimau yang dijual sebagai makanan atau perubatan melalui pasaran gelap.

Jadi sangat penting untuk PERHILITAN menjalankan operasi secara besar-besaran supaya harimau kita tidak pupus begitu saja.

Aktiviti pemburuan dilihat menjadi ancaman utama kepupusan hidupan liar selain penggunaan jerat sebagai alat utama kerana ia boleh membawa kecederaan serius dan kematian haiwan berkenaan.

Bagi kita rakyat Malaysia, marilah sama-sama menyokong secara besar-besaran untuk menyelamatkan haiwan-haiwan yang sudah semakin pupus ini.


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!