Fungsi dan peranan Perdana Menteri caretaker

Spread the love


PUTRAJAYA:
 Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ turut menjalankan fungsi sebagai kerajaan ‘caretaker’, demikian menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam satu kenyataan hari ini mengenai fungsi dan peranan kerajaan ‘caretaker’, Mohd Zuki berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan ‘caretaker’, namun berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, ia hanya berfungsi untuk mentadbir negara sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

“Dalam hal ini, kerajaan caretaker boleh mengambil tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan caretaker tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat, atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Pelantikan sebagai perdana menteri sementara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri, serta seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa semalam.

Memperincikan mengenai peranan kerajaan ‘caretaker’ itu, Mohd Zuki berkata, kerajaan ‘caretaker’ boleh menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan kerajaan berfungsi.

Beliau berkata, kerajaan ‘caretaker’ juga boleh mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan ‘caretaker’ boleh meneruskan pelaksanaan dasar serta program sedia ada, berdasarkan peruntukan kewangan yang diluluskan sebelum perdana menteri meletakkan jawatan seperti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Pelan Pemulihan Negara dan bantuan-bantuan lain.

“Kerajaan ‘caretaker’ juga boleh melaksanakan apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji, yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan atau peruntukan mengenainya telah diluluskan di Parlimen, seperti Belanjawan tahun semasa,” katanya.

Mohd Zuki berkata, kerajaan ‘caretaker’ juga boleh mengadakan mesyuarat dan menghadiri majlis-majlis rasmi yang telah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan.

Sumber : Bernama


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!