Elak Saman Parkir? Mudah saja caranya!

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hidup seharian dengan kenderaan. Tidak kira jenis kereta buatan Malaysia atau luar negara, yang pastinya kita perlu membayar sejumlah wang untuk tujuan parkir.

Bukan sahaja kenderaan di negara kita telah melalui perubahan. Cara bayar parkir kenderaan pun telah beberapa kali berubah. Semuanya dibuat untuk menyesuaikan zaman yang semakin maju dan seharusnya kita akur, perlu ikut teknologi.

Masih ingat lagi tak? Bayar parkir di setiap kotak parkir dengan menggunakan wang syiling. Dahulu warnanya hitam atau kelabu, dan meternya pula secara analog. Dipusing tombolnya untuk berapa lama kita ingin parkir. Kemudian ia ditukar kepada jenis digital.

Tak bayar parkir, silap haribulan memang kena kompaun lah.

Revolusi parkir bermula

Masa berlalu pantas, mesin tersebut itu pun mungkin banyak yang sudah rosak. Dan banyak juga rasanya tangan-tangan tidak bertanggungjawab memecahkannya. Tidak pasti sama ada tujuan untuk mendapatkan wang atau untuk melepas geram. Sudahnya, tidak perlu bayar di petak parkir tersebut.

Selepas itu telah ada wujudnya sistem parkir berkupon. Masih ingat lagi kupon yang berlubang-lubang mengikut tahun, bulan, hari dan jam? Mungkin sekitar tahun 2000, kupon parkir berlubang itu digunakan dan kemudiannya kupon bergores pula diwujudkan.

Kemudian, wujud pula mesin bayaran parkir dengan memasukkan nombor plet kenderaan. Duit syiling masih digunakan dan pada masa ini ada juga digunakan kuasa solar dan dilihat lebih efisien.

Mesin rosak atau vandalisme?

Namun, mesin bayaran parkir ‘pay and display’ itu tidak juga bertahan lama. Dan masalah serta alasan pengguna adalah sama. Syiling tidak dapat masuk atau mesin itu rosak. Terpaksalah berjalan mencari mesin bayaran parkir yang elok.

Sambil itu berharap penguatkuasa tidak datang menyaman kenderaan sementara mencari mesin bayaran ataupun mencari ejen yang menjual tiket parkir bergores. Sudah pasti ada ramai yang mengadu tentang hal ini di mana adakalanya ejen kupon parking tiada stok.

Orang yang datang kerja pada waktu pagi mungkin akan ingat tentang kupon parking. Tetapi apabila kupon parking sukar didapati, maka ianya akan terlupa dan kesudahannya penguatkuasa memberikan surat kompaun. Dek kerana hanya 40 sen atau 50 sen, pengguna dikenakan kompaun RM30. Jika nak jimat, bayar dalam masa 24 jam boleh dapat bayar RM10 sahaja bagi Majlis Bandaraya Shah Alam.

Aplikasi parkir diwujudkan

Contoh di Shah Alam ini, Suasa Efektif antara yang dipertanggungjawabkan untuk hal pengurusan parkir dan stiker bulanan juga diwujudkan bagi yang kerap atau sememangnya bekerja di kawasan Shah Alam. Maka tidak perlu risau dengan ketiadaan kupon bergores yang perlu digores setiap pagi.

Namun masalah terus berlaku dengan mereka yang mungkin datang ke kawasan pejabat atau restoran, yang mengambil masa hanya dua tiga jam. Dan mungkin juga mereka yang datang, adalah dari kawasan yang berlainan contohnya dari Ampang, Selayang dan Sepang.

Aplikasi Flexi Parking diwujudkan. Dengan merangkumi 5 majlis perbandaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang. Cukup mudah dan dah gunakan aplikasi ini sejak lebih setahun lepas.

Cara bayar parkir guna aplikasi di smartphone

Kita boleh gunakan aplikasi tersebut untuk bayar parkir kenderaan dengan masa dan tempoh yang dikehendaki. Contohnya hanya untuk satu jam atau tiga jam, kerana kemudiannya kita akan ke lokasi lain pula. Tambah nilai boleh dibuat dengan menggunakan perbankan atas talian, kad kredit dan juga boost eWallet.

Pada tahun ini, aplikasi Smart Selangor Parking pula diperkenalkan dengan tambahan Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Intipatinya sama cuma bertambah satu kawasan penguatkuasa sahaja. Bagi yang belum muat turun Flexi Parking, disarankan terus muat turun aplikasi Smart Selangor Parking di  Google Store.

Tambah nilai semakin efisien dan pantas serta setiap resit transaksi kita direkodkan. Salinan juga akan dihantar ke emel dan boleh rujuk semula ke dalam aplikasi untuk melihatnya semula.

Yang menariknya,kita boleh menyimpan sehingga enam nombor plet kenderaan untuk diuruskan bayaran parkir. Mungkin ada tetamu, jemputan atau sahabat yang singgah di pejabat, maka bayaran parkir dapat diuruskan dengan mudah sekali.

Rekod resit parkir dan kompaun

Aplikasi Boost menyediakan servis bagi membayar parkir di kawasan Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Tiada lagi alasan untuk mencari di mana duit syiling, di mana kupon gores dan mesin ‘pay and display’. Ada juga yang menggunakan Aplikasi JomParking untuk urusan parking di Kuala Lumpur dan MCash di Kota Bharu.

Ringkas, mudah dan pantas.

Penulis sudah menggunakan lebih setahun dan dilihat lebih menjimatkan masa dan wang ringgit. Kita boleh tambah nilai RM10 atau RM30 dan seterusnya gunakanlah mengikut waktu dan tempoh yang diperlukan. Bagi yang tidak mahu fikir banyak, terus sahaja bayar untuk bayaran bulanan di aplikasi tersebut. Penguatkuasa pun tidak akan ganggu kita dengan kompaun.

Senarai aplikasi parking di Malaysia

  1. Flexi parking – Selangor (MBSA, MPKJ, MPAJ, MPSEPANG, MPSELAYANG)
  2. Smart Parking Selangor – (MBSA, MPKJ, MPAJ, MBPJ, MPSEPANG, MPSELAYANG)
  3. Boost – Kuala Lumpur dan Kota Bharu
  4. MBJB Spot – Johor Bahru (info dari Ana Fadil)
  5. Jom Parking – DBKL, MPJASIN, MPTAWAU, MB ISKANDAR PUTERI,CYBERJAYA, LRT PWTC (info dari Mohd Azri Naquiddin)
  6. MyMCash – DBKL & MPKB (info dari Mohd Imran)
  7. ParkByPhone – MD Kuala Langat, Putrajaya

Kita masih belum boleh di tahap ini.

Kita sudah dapat melihat perubahan yang dilalui sejak 10 hingga 20 tahun dahulu tentang parkir di Malaysia. Dari menggunakan wang syiling di mesin analog sehinggalah kepada membayar tanpa tunai hanya di aplikasi telefon bimbit.

Diharap lokasi lain termasuk negeri-negeri lain di Malaysia ini akan juga terus menggunakan alternatif dan juga sistem baru yang lebih mudah.

Zaman dan dunia sudah semakin maju. Mungkin akan datang, ada lagi kemajuan yang akan kita lalui. Mampukah kita hidup tanpa wang tunai?


Spread the love

51 Comments

  1. Barulah tak culas nak bayar parking.. lagi mudah nak bayar parkir, nak tunggu syiling memang susah la sebab bukan semua mesin boleh terima.

  2. Bagus ada smart apps macam ni. Bila bila masa boleh bayar parking di tgn je. Tak perlu nak cari mesin parking yg asyik rosak

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!