Ekor taufan Lekima punca ribut di semenanjung utara, seorang wanita maut

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Pada hari esok, umat Islam khususnya di Malaysia akan menyambut hari raya Aidil Adha, dalam masa yang sama negara kita telah diuji dengan peristiwa sedih apabila mendapat perkhabaran semalam berlakunya tiupan angin kencang yang melanda negeri-negeri di utara tanah air.

Ekoran kejadian semalam, Taufan Lekima yang membadai timur negara China turut membawa tempias ke negara-negara berdekatan seperti Thailand dan Malaysia apabila ekor taufan berkenaan menghempas negeri-negeri di Utara malam tadi.

Memetik laporan berita Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kejadian ribut di beberapa negeri utara tanah air disebabkan ekor Taufan Lekima yang membadai timur negara China.
Ketua Pengarahnya Jailan Simon, ketika dihubungi Astro AWANI, berkata garis badai itu berlaku akibat tumpuan angin di selatan Thailand yang turut menerima kesan sama.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah kita panggil garis badai, garisan ribut petir akibat tumpuan angin barat daya dan barat laut di tengah laut berpunca ribut tropika berlaku di timur China.

Di selatan Thailand berlaku tumpuan angin menyebabkan garis badai ini. Ia bergerak daripada barat laut ke arah tenggara dan mengenai beberapa kawasan di Kedah dan Langkawi.

Kelajuan yang dicatatkan setakat ini 28 meter per saat bersamaan 100.8 kilometer sejam. Bagaimanapun gelombang kedua bergantung kepada kedudukan taufan. Ketika ini (MetMalaysia) tidak menjangka gelombang kedua kerana kebiasaannya ia berlaku sekali sahaja,” jelasnya.

Kejadian kira kira jam 8 malam Jumaat itu membadai beberapa kawasan antaranya di Langkawi, Alor Setar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Wanita maut digilis sebuah kereta

Lagi satu khabar sedih ekoran kejadian tidak terduga ini, seorang wanita maut apabila  motosikal yang ditunggangnya terkena sekeping zink besi yang diterbangkan ribut di depan Masjid Sharifah Fatimah, Batu 13, Jitra, malam tadi.

Mangsa, Marziah Che Omar, 27, yang menunggang bersendirian terjatuh selepas terkena zink besi terbabit sebelum digilis sebuah kereta yang berada di bahagian belakang motosikalnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata kejadian berlaku ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan terbabit.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 62 tahun itu dalam perjalanan dari arah Batu 13 menghala ke bulatan Jitra.

“Angin yang kuat menerbangkan sekeping zink besi yang terkena mangsa dan menyebabkan mangsa jatuh. Zink yang sama kemudiannya mengenai dan menutup cermin depan kereta yang berada di belakang motosikal mangsa. Ia menyebabkan pemandu tidak nampak apa-apa lalu tergilis mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemandu yang tidak cedera kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Jitra.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!