Durian Tahi Gajah jadi rebutan tauke balak, harga cecah ribuan ringgit

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kedengaran agak aneh namun Durian Tahi Gajah pernah menjadi rebutan suatu ketika dahulu hingga harganya mencecah ribuan ringgit setiap biji.

Pegawai Pertanian Daerah Segamat, Nur Akmal Abdullah, berkata, kewujudan durian itu bukan gurauan sebaliknya pernah popular di daerah ini sekitar 1980-an.

Menurutnya, durian tahi gajah adalah durian yang ditelan bulat-bulat oleh gajah liar sebelum dibuang bersama najisnya.

“Difahamkan durian itu kemudian akan dikutip oleh individu yang mengekori gajah itu sebelum ia dibersihkan.

Peniaga durian suatu ketika dahulu sanggup tadah najis gajah untuk dapatkan durian tahi gajah yang bernilai tinggi

Durian ini kemudian dibeli oleh ‘tauke balak’ yang sanggup membayar mahal untuk merasai durian ini.

“Durian ini dianggap istimewa kerana mengalami proses pencernaan di dalam perut gajah. Pembeli biasanya percaya ia mempunyai khasiat yang tidak dimiliki durian lain,” katanya.

Beliau berkata, harga durian terutama durian dihasilkan di daerah ini kekal tinggi berikutan permintaan dalam kalangan penggemar durian.

PEKEBUN pada tahun 1958 menjual durian kampung secara longgok dengan harga 80 sen.

“Penghasilan durian terbaik Segamat tidak berlaku sekelip mata berikutan ia mengambil masa puluhan tahun hasil kerjasama pekebun, jabatan pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (Fama) dan pelbagai agensi berkaitan.

“Di daerah ini terdapat 4,225.31 hektar kebun durian yang berdaftar sehingga akhir 2018 lalu membabitkan pengeluaran berpuluh juta tan durian setiap musim,” katanya.

Nur Akmal berkata, antara jenis durian klon popular boleh diperoleh di daerah ini antaranya Musang King, duri hitam, D168, D24, udang merah selain beberapa jenis baru dalam proses penjenamaan dan terkini iaitu siri D204.

Durian memang jadi buruan peminat tegarnya

“Rasa pahit dan sedikit payau selain isi tebal menjadi dambaan pembeli dari luar daerah ini termasuk di eksport hingga ke Singapura.

“Harga sekilogram durian berkualiti tinggi mampu mencecah puluhan ringgit sehingga ratusan ringgit namun biasanya pelanggan luar tidak akan bersungut berikutan menyedari rasanya yang istimewa,” katanya.

Menurutnya, langkah terkini kerajaan mendapat persetujuan Kerajaan China untuk mengeksport durian dianggap rahmat dan mampu meningkatkan pendapatan pekebun durian di daerah ini.
-hmetro-


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!