Doa Untuk Ibu Bapa Yang Telah Meninggal Dunia

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Memang terdapat beberapa doa yang boleh diamalkan oleh seseorang anak untuk ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia. Persoalannya, adakah doa yang dibacakan itu akan sampai pahalanya kepada meraka?

Mari kita renungkan sebuah hadith yang sahih daripada Imam Muslim :

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”

[Riwayat Muslim (1631)]

Imam al-Nawawi mengatakan para ulama memahami hadith ini dengan mengatakan bahawa amalan si mati akan terputus dengan kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya melainkan tiga perkara ini (dalam hadith).

Baca : Berbakti kepada Ibu Bapa Selagi Mereka Masih Hidup

Jadi, seorang anak yang soleh dan solehah yang mendoakan kedua ibu bapa, amalan dan pahalanya tidak akan putus dan doa itu akan sampai kepada mereka dengan izin-Nya.

Di sini, kami nukilkan beberapa doa yang diajar oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran:

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Surah Ibrahim ayat 41

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan.”

Firman Allah SWT:

رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ

Surah Nuh ayat 28

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku.”

Tambahan pula, di dalam berdoa terdapat keluasan selagimana doa atau makna doa itu adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama maka ia dibenarkan di samping tidak menafikan bahawa doa yang terbaik adalah doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi SAW yang sahih.

Baca : Hadiahkan Doa Buat Ibu Bapa Anda Setiap Hari

Di samping itu juga, doa yang terbaik juga adalah doa yang difahami dan tidak semestinya di dalam bahasa arab. Ini kerana, jika seseorang itu berdoa dengan apa yang difahami maka doa itu lebih dekat dengan hati.

Kesimpulannya, seseorang itu boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun kepada ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia dengan syarat doa tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan agama serta makna doa itu baik.

Semoga roh ibu dan bapa yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman serta dimasukkan ke dalam syurga Firdaus. Amin.

Wallahua’lam. Dah baca klik share 🙂

Baca : Anak, tak mampukah nak balas jasa ibu bapa?

Sumber : muftiWP


Spread the love

3 Comments

  1. Selepas solat, amalkan untuk hadiah alFatihah kepada ibubapa. Sama ada masih hidup atau sudah meninggal. Ini adalah sebesar-besar doa.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!