Datuk Dr. Noor Hisham tersenarai antara tiga doktor terbaik dunia tangani krisis COVID-19

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.

Menurut laporan CGTN, Dr. Noor Hisham tersenarai antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang wabak coronavirus, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, mengenengahkan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik ini.

Menurut CGTN, mereka bukan menteri Kabinet, namun berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi wabak COVID-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

“Di tengah pandemik global yang tidak pernah dialami sebelum ini, ketika kerajaan di serata dunia kadang kala lambat bertindak atau memperkenalkan langkah yang mengelirukan serta menghantar mesej bercelaru, Dr Fauci, Dr Bloomfield dan Dr Hisham menjadi suara yang bermakna, menenangkan dan meyakinkan,” lapor CGTN.

Dr Noor Hisham, 57, memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, dan dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia kerana memberikan maklumat terkini mengenai COVID-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Baca juga: Biodata Dato’ Dr. Noor Hisham bin Abdullah

Beliau sentiasa mengemas kini maklumat kepada umum menerusi media sosial sehingga lewat malam, jauh melepasi waktu kerja rasmi.

CGTN berkata penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan Dr Noor Hisham manakala Bloomfield disifatkan sebagai kakitangan awam paling secocok bagi menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dr Noor Hisham, yang berkelulusan ijazah Sarjana dalam Surgeri dan Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyertai sektor awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.

Beliau kemudian memilih bidang kepakaran dalam surgeri endokrin dan menjalani latihan di pelbagai universiti termasuk di Adelaide dan Sydney, Australia selain menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa dan tempatan serta menulis kandungan buku teks berhubung surgeri endokrin.

Dr Fauci, 79, pula dilaporkan bekerja hampir 16 hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu sehingga orang ramai mula bimbang bila beliau tidak kelihatan ketika sidang media harian di Rumah Putih.

Bloomfield juga menerima pujian kerana ketelitian dan maklum balas yang jelas ketika bercakap kepada media, dengan ramai penduduk New Zealand mencalonkan beliau bagi anugerah ‘Tokoh Negara’.

Malah, peminat Dr Fauci dan Bloomfield turut memulakan laman sosial khusus di media sosial.

Dr Fauci diberi gelaran ‘coronavirus crush’ dan ‘national treasure’ oleh The Atlantic and The New York Times, dengan hampir 15,000 orang menandatangani petisyen a Change.org untuk dicalonkan sebagai People Magazine’s Sexiest Man Alive 2020.

Sementara itu, walaupun peminat Dr Noor Hisham tidak sampai ke tahap itu lagi, mereka mengambil inisiatif mengucapkan terima kasih dan memuji beliau dengan berkata Malaysia amat bernasib baik mendapat beliau. – AGENSI

Sumber: bharian


Spread the love

9 Comments

  1. Kagum dengan Dr Hisyam. Setiap kali tampil di kaca tv untuk membuat sidang akhbar dia sentiasa tenang menjawap soalan satu persatu.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!