Cari keberkatan urusan pada waktu pagi

Spread the love

‘Night owl or morning person?’

Ada orang mengkategorikan dirinya dalam dua kategori di atas. Night owl adalah istilah barat yang digunakan bagi menggambarkan orang yang aktif dan lambat tidur pada waktu malam. Biasanya mereka rasakan kerja-kerja yang dilakukan pada malam lebih berkualiti dan mampu berjaga hingga larut malam.

Manakala morning person pula orang yang lebih suka bangun awal pagi dan aktif melakukan kerja pada sebelah pagi.

Yang mana satukah anda?

Apa pun pilihan anda sekarang, apa kata kita rujuk sebentar bagaimana Islam memandang gaya hidup begini. Mudahnya, tidak ada kategori ‘night owl’ atau ‘morning person’ ini tetapi Rasulullah SAW jelas mengatakan bahawa awal waktu pagi lebih istimewa waktunya dan lebih dekat dengan keberkatan.

Nabi SAW telah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ. ‏‏  

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan). [Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih]

Apabila disebutkan tentang keberkatan pada waktu pagi, ia bukan tentang rezeki atau duit sahaja, tetapi keberkatan bermaksud suatu yang bertambah atau berkembang. Waktu yang singkat boleh dirasakan panjang, banyak perkara boleh diselesaikan, malah kejernihan proses berfikir pada waktu pagi juga boleh membantu urusan diselesaikan dengan berkualiti.

Rentetan daripada hal ini, ada juga yang mengatakan Islam melarang tidur selepas Subuh kerana tidak berkat. Sebenarnya, tidak ada nas yang menghalang tidur selepas Subuh tetapi banyak galakan contohnya hadis di atas untuk memanfaatkan masa pada waktu pagi.

Hukum untuk tidur selepas Subuh masih harus. Kadangkala ada orang yang waktu kerjanya memang pada waktu malam, justeru tidak salah jika dia ingin berehat pada sebelah pagi selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Justeru, jika tidak ada keperluan yang mendesak, amalkanlah tidur lebih awal pada waktu malam supaya badan lebih bersedia untuk bangun awal dan melakukan aktiviti pada awal pagi. Marilah kita mencari keberkatan seperti yang didoakan oleh Rasulullah SAW supaya Allah SWT memberikan keberkatan buat umat baginda pada waktu pagi.

TZKRH


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!