Cara angkasawan Muslim solat dan puasa di angkasa

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kisah berada di International Space Station (ISS) yang jauh dari bumi.

Untuk pengetahuan semua, Dr Sheikh Muszaphar bukan merupakan angkasawan Muslim pertama. Sebelum ini, Putera Sultan bin Salman dari Arab Saudi, lebih awal mengukir nama dengan menaiki kapal angkasa Discovery pada 1985 dan diikuti pada tahun 2006 Anousheh Ansari, jutawan wanita Amerika Syarikat yang berasal dari Iran, melancong ke angkasa lepas.

Berbeza dengan Putera Sultan dan Anousheh, yang melaksanakan ibadah mengikut kemampuan dan pengetahuan masing-masing, Malaysia membuat perancangan teliti mengenai cara beribadah di angkasa lepas. Para ulama dari seluruh dunia berkumpul bagi membincangkan mengenai tatacara ibadah di ISS bersama-sama JAKIM dan diadakan selama berbulan-bulan.

Akhirnya sebuah booklet dapat dihasilkan hasil perbincangan tersebut. Hari ini, ramai yang boleh membaca isi kandungan daripada isi booklet tersebut mengenai cara bersolat. Banyak lagi isi yang terkandung di dalam booklet tersebut, boleh download booklet perlaksanaan ibadah di ISS tersebut.

Kaedah wuduk

Untuk berwuduk, penggunaan air adalah sangat minimum di dalam kapal angkasa. Malah di dalam keadaan graviti mikro, air tidak jatuh ke bawah. Masalah air terhad untuk berwuduk diselesaikan dengan bertayammum. Bagaimanapun, tanah atau debu mustahil dibawa ke dalam kapal angkasa kerana faktor keselamatan.

Sehubungan itu, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin dalam kapal angkasa walaupun tiada debu. Dalam isu berkaitan, katanya istinjak untuk membersihkan hadas besar atau kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu.

Tunaikan solat

ISS mampu mengelilingi bumi dalam tempoh hanya 90 minit, berbanding satu pusingan bumi yang memerlukan 24 jam dengan semua lima waktu solat fardu perlu dilaksanakan dalam tempoh itu. Ini bermakna, setiap angkasawan Islam terpaksa melaksanakan sehingga 80 waktu solat fardu dalam tempoh 24 jam di bumi berikutan ISS mengelilingi bumi sebanyak 16 kali dalam tempoh berkenaan.

Oleh itu, angkasawan diberi kelonggaran untuk bersolat lima waktu dalam tempoh 24 jam menggunapakai waktu solat tempat berlepas angkasawan. Maka Dr. Sheikh Muszaphar perlu mengikut waktu solat di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan semasa berada di ISS.

Kelonggaran bersembahyang boleh dipraktikkan berdasarkan kepada kaedah rukhsah dan darurat yang memudahkan seorang Muslim untuk melaksanakan ibadah dalam keadaan bermusafir.

Arah kiblat

Arah kiblat boleh berubah sebanyak 180 darjah dalam satu sesi solat kerana ISS bergerak selaju 27,577 km sejam mengelilingi bumi. Maka, para ulama menetapkan penentuan qiblat adalah mengikut kemampuan berdasarkan urutan berikut:
i. Kaabah
ii. Unjuran Kaabah
iii. Bumi
iv. Mana-mana arah.

Dari segi cara solat, antara cara yang boleh dilakukan ialah mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa. ISS mempunyai tali pinggang yang diikat kepada kapal angkasa apabila tidak mahu terapung. Dalam keadaan statik itu, angkasawan boleh menunaikan solat.

Berpuasa

Secara kebetulan, Ramadan masih berlangsung selepas Dr Sheikh Muszaphar berlepas ke ISS. Jakim menggalakkan angkasawan negara berpuasa di ISS kerana pengalaman ini sukar dirasai pada masa depan dan pada masa sama, mengetahui persamaan dan perbezaan berbanding berpuasa di bumi. Jika memberatkan dan menimbulkan masalah, angkasawan boleh meninggalkan puasa, tetapi perlu menggantikan semula.

Seperti solat, waktu berbuka dan bersahur adalah mengikut waktu tempat kapal angkasa berlepas.

Islam tidak menghalang umatnya mencapai kejayaan di dunia. Hal ini kerana Allah telah memilih manusia sebagai khalifah di muka bumi untuk memakmurkan bumi ini. Marilah kita sama-sama menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik melalui penglibatan dalam bidang sains dan teknologi.


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!